Ziana Zain Kembali Ke Pentas melalui Ziana Zain Konsert 2024 Penuh Inspirasi dan Penghargaan

Konsert CSA ACADEMY MEMPERSEMBAHKAN ZIANA ZAIN KONSERT 2024 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, selama 2 jam menjadi sebuah kenangan abadi dan pengalaman yang penuh makna bagi lebih kurang 5000 penonton yang hadir. Suasana yang dipenuhi dengan penghargaan dan kekaguman terhadap Ziana Zain serta disertai dengan nyanyian bersama yang tidak pernah berhenti sepanjang konsert.

Konsert Ziana Zain 2024 pada 25 Mei 2024 bukan sahaja menjadi berita penting dalam karier diva seni suara ini tetapi juga bagi industri hiburan tempatan. Selepas 22 tahun tidak mengadakan konsert solo, Ziana Zain disambut dengan meriah oleh para peminatnya yang kebanyakannya merupakan penyokong setia beliau. Rindu terhadap penampilan vokal hebat beliau di atas pentas konsert solo merupakan sebuah ‘understatement’.

Kehadiran para peminat turut menyertai konsert dengan nyanyian ‘karaoke’ bersama untuk setiap lagu, malah beberapa di antara mereka turut muncul dalam konsert yang dipersembahkan oleh CSA Academy sebagai penaja utama. Konsert ini juga dianjurkan oleh Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.

Ziana Zain terakhir mengadakan konsert solo melalui Ziana Zain In The Park di PWTC (kini World Trade Centre) Kuala Lumpur pada tahun 2001. Dalam ucapan terima kasihnya, Ziana Zain berkata, “Saya sangat terharu dan sangat berterima kasih kepada para peminat yang telah menjadi tulang belakang dalam kerjaya saya selama ini. Juga kepada pihak media yang sentiasa membantu saya dalam perjalanan karier dan tidak henti-henti membantu mempromosikan konsert ini.”

Pihak penganjur, Anuar Zain bagi Anuar Zain Network Sdn Bhd, juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan kerajaan yang berterusan dalam pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik bagi menjayakan konsert tersebut.

Bersama-sama dengan nama-nama hebat dalam industri, termasuk Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik dan Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert, pentas meriah ini menjadi sebuah pengalaman yang tidak terlupakan bagi semua yang turut serta.

Konsert ini juga menyaksikan gandingan hebat pemuzik-pemuzik tanah air seperti Nan Alias (gitar), Wan Gigi (gitar), Gideon (bass), Derrick Siow (dram), Firdaus (keyboard), Steve Thornton (perkusi) serta Mariam, Fazira dan Affan sebagai penyanyi latar.

Konsert ini ditambahkan kemeriahan dan kekayaan bunyi dengan kehadiran barisan pemain violin iaitu Brian Larson, Ergys Koni, Mabel Wong, Melanie Ooi, Jacqueline Tan dan Joey Young.  Juga diserikan dengan kehadiran Toko Inomoto (viola), Jonathan Oh (Cello) serta Zachary Suwito selaku protools operator.

Dalam durasi 2 jam lebih, penonton-penonton disajikan dengan lagu-lagu seperti Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Berpisah Jua,, Dingin, Kekal Dan Puncak Kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *