Terima Kasih, Jay Jay – Simbol Kebaikan Sejati

“Seorang sahabat yang sangat berdedikasi, berbakat dan amat disenangi ramai,” ujar Dato’ Freddie ketika mengenang pemuzik tersohor dan rakan seperjuangannya, Jay Jay – atau nama sebenarnya Mohd Fauzi bin Darus – yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Ogos 2024 dalam usia 67 tahun. Menyedari jasa besar arwah dalam industri muzik tanah air, anak bongsunya, Nur Camelia (Cammy), tampil dengan hasrat agar diadakan sebuah acara penghargaan. Seruan ini disambut oleh sahabat-sahabat seni, yang kini bersatu menganjurkan “Malam Rindu Bayangan”, sebuah malam istimewa penuh kenangan.

Acara amal ini bakal berlangsung pada Ahad, 11 Mei 2025 jam 8.00 malam di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang. Ia merupakan persembahan makan malam selama tiga jam yang menghimpunkan nama-nama besar dunia seni seperti Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Hattan, Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), Tam (Spider), serta barisan asal kumpulan Carefree. Turut memeriahkan acara ialah Hairee Kool dan Tengku Hadirah. Persembahan pentas akan diiringi pemuzik maestro tanah air termasuk Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist dan Firdaus.

Selain persembahan muzik, malam itu turut menyaksikan jualan amal lukisan penghargaan oleh Fathullah Luqman dan penampilan istimewa Tapa, pereka grafik yang pernah berganding karya dengan arwah. Kutipan dana acara akan disalurkan kepada artis-artis yang memerlukan bantuan, termasuk tiga penerima awal iaitu Shuib (Freedom), Ramlah (balu Allahyarham Yazit Search), dan Ali (XPDC). Tempahan meja dibuka bermula RM1,500 hingga RM10,000, manakala tiket individu berharga RM150 hanya terhad kepada 100 tempat. Untuk maklumat lanjut, hubungi Dato’ Freddie di 012-2071400.”