Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim paling popular di dunia, hari ini melancarkan inisiatif kandungan terbaharu berjudul Stories by Muslim Pro. Usaha ini tampil sebagai sebuah hab kreatif yang memberi ruang kepada suara tulen, perspektif pelbagai dan naratif berasaskan pengalaman yang mencerminkan kekayaan serta kepelbagaian kehidupan masyarakat Muslim di seluruh dunia.
Pelancaran rasmi Stories by Muslim Pro disertakan dengan sesi diskusi panel bertajuk “Storytelling in the Digital Era” yang menampilkan Nafees Khundker, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro serta Abrar Hussain, pembikin filem antarabangsa yang pernah meraih pelbagai anugerah. Abrar turut berperanan sebagai juri utama bagi pertandingan global Stories of the Beloved, iaitu pertandingan filem pendek dan kandungan digital yang membuka peluang kepada pembikin filem profesional dan pencipta kandungan harian.
Menurut Nafees Khundker, Muslim Pro kini bukan lagi sekadar aplikasi utiliti keagamaan, sebaliknya telah berkembang menjadi teman budaya dan rohani kepada jutaan pengguna. Beliau menegaskan bahawa Stories by Muslim Pro adalah bab baharu dalam perjalanan aplikasi ini sebagai sebuah platform yang menghimpunkan kisah menginspirasi, menghubungkan dan menyatukan umat Islam merentas sempadan geografi, budaya dan generasi.

Sebagai pembuka tirai, Stories by Muslim Pro mempersembahkan tayangan perdana eksklusif dokumentari Madina: The Enlightened City arahan Abrar Hussain, yang sebelum ini dikenali dengan karya dokumentari One Day in the Haram dan One Night in Al Aqsa. Abrar menjelaskan bahawa dokumentari ini bukan sekadar rakaman visual keindahan dan sejarah Madina, tetapi sebuah kisah yang menggambarkan nilai kemanusiaan, kerendahan hati dan pengabdian yang menjadikan kota suci ini begitu luar biasa.
Selain dokumentari, inisiatif ini turut memperkenalkan festival kandungan digital global Stories of the Beloved yang meraikan pengalaman Muslim dalam kehidupan seharian. Festival ini mengangkat keindahan iman yang dizahirkan melalui pelbagai medium penceritaan. Pemilihan pemenang festival dikendalikan oleh juri antarabangsa, termasuk Fikri ZamRi, pencipta kandungan digital Malaysia yang mewakili suara rantau ini di pentas global. Kehadiran beliau mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam membentuk naratif Muslim sejagat.
Muslim Pro turut membuka peluang kepada komuniti pengguna untuk terlibat melalui undian bagi kategori UGC Shorts Viewer’s Choice Award yang berlangsung di aplikasi Muslim Pro dari 9 hingga 21 September 2025. Penonton juga boleh membuat pra-belian dokumentari Madina: The Enlightened City bermula 11 September sebelum tayangannya dilancarkan secara rasmi pada 1 Oktober. Semua kandungan Stories by Muslim Pro boleh diakses melalui aplikasi Muslim Pro serta platform video Qalbox dengan sokongan Gobi Partners.