Dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri nyata memberi tamparan buat Penang FC, namun ketua jurulatihnya Wan Rohaimi Wan Ismail percaya skuad bimbingannya mampu bangkit apabila berdepan Kelantan TRW FC pada 30 Ogos ini.
Mengulas mengenai kekalahan 1-2 menentang KL City FC malam tadi, Wan Rohaimi mengakui kelekaan pemain menjadi punca utama pasukan dihukum. Gol kedua lawan hadir berpunca daripada kesilapan mudah apabila pemain berhenti bermain seketika selepas beranggapan pengadil akan meniup wisel.
“Kecuaian sebegini tidak sepatutnya berlaku di tahap ini. Jika pemain lebih fokus, rembatan jarak jauh yang menghasilkan gol itu pasti dapat dielakkan,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya, selain memuji pertahanan muda, Mohammad Khairul Akmal Rukisham, yang tampil beraksi dengan cemerlang sebelum mengalami kecederaan.
Di kem lawan, jurulatih KL City, Risto Vidakovic, menganggap kemenangan tersebut sebagai titik kebangkitan selepas pasukannya tersingkir daripada Piala FA minggu lalu. Dengan dua perlawanan penting bakal menyusul, beliau mahu momentum positif ini diteruskan.
Bagi Penang FC, cabaran terbesar kini adalah mengekalkan fokus sehingga ke wisel penamat dan menamatkan badi tanpa kemenangan yang terus menghantui mereka sejak awal musim.
