Majlis Malaysia Most Outstanding Wealth Advisors (MMOWA) 2023 anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara adalah suatu pengiktirafan kepada penasihat kewangan yang banyak membantu masyarakat memperoleh pemahaman khususnya berkaitan literasi kewangan.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Nik Adi Sukiman Nik Ahmad Fauzi berkata, peranan penasihat kewangan amat penting dalam membantu masyarakat mencapai matlamat kewangan dengan memberikan nasihat profesional dan menyediakan strategi yang sesuai khususnya dalam ‘Financial dan Estate Planning’.
Penasihat kewangan tidak hanya membantu individu merancang perancangan kewangan jangka panjang, tetapi juga memberikan pendidikan tentang pelbagai aspek kewangan seperti pelaburan, pengurusan hutang, perlindungan aset dan persaraan.
Penerima anugerah pada malam itu telah menunjukkan komitmen dan kecemerlangan dalam memperjuangkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Chairlady MMOWA, Sim Wen Yee berkata, pengiktirafan kepada penerima anugerah MMOWA merupakan tanda penghargaan atas sumbangan mereka yang tidak mementingkan diri sendiri dalam membantu individu yang mengalami masalah kewangan.
Penerima anugerah telah menunjukkan keazaman, ketekunan dan kecekapan dalam mempelajari dan mengaplikasikan prinsip-prinsip literasi kewangan ke dalam kehidupan seharian.
Majlis yang berlangsung gilang-gemilang itu turut dihadiri Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Paduka Dr. Kevy KV Yeo; Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Inovasi Jabatan Perkhidmatan Awam, Muazam Mokhtar dan Penasihat Kebangsaan MTPN, Datuk Seri Paduka Dr. Hasmizal Hassan.
Turut hadir, Timbalan Presiden Kebangsaan MTPN, Abdul Malik Jamaran serta Timbalan Setiausaha Agung Kebangsaan MTPN, Noorman Kamsani.