Durioo+, aplikasi video selamat untuk kanak-kanak, telah melancarkan geran bernilai RM500,000 untuk tahun 2025, bertujuan menyokong pembuat kandungan tempatan dalam menghasilkan video yang bermanfaat, menarik, dan selamat untuk kanak-kanak. Pelancaran geran ini berlangsung di Pusat Sains Negara, dan turut menjadi platform untuk menyatukan komuniti pembuat kandungan dari seluruh Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan memperkasa pencipta kandungan tempatan untuk menghasilkan karya yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga mendidik generasi muda. Durioo+ turut memperkenalkan beberapa program utama yang direka khas untuk menarik lebih ramai individu menyumbang kandungan yang berkualiti:
- Durioo Creator – Program terbuka untuk semua pencipta kandungan yang ingin menghasilkan video menarik, mendidik, dan sesuai untuk tontonan kanak-kanak.
- Durioo EduCreator – Projek khas yang disasarkan kepada guru dan pendidik untuk menghasilkan kandungan yang berlandaskan silibus sekolah dalam subjek seperti Pendidikan Islam, KAFA, Bahasa Melayu, Sains, Matematik, dan banyak lagi.
- Durioo Creator Plus – Kolaborasi bersama pembuat kandungan terpilih untuk menghasilkan video yang sesuai dengan niche dan kepakaran masing-masing, sambil memastikan kandungan tersebut bermanfaat untuk kanak-kanak.

Pengasas Durioo+, Sinan Ismail, berkata, “Durioo+ percaya bahawa pencipta kandungan adalah nadi kepada industri hiburan kanak-kanak. Dengan pelancaran geran ini, kami ingin memberi peluang kepada lebih ramai pembuat kandungan tempatan untuk menghasilkan konten berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik dan membimbing kanak-kanak dalam aspek iman, akhlak, dan ilmu.”
Melalui program-program ini, Durioo+ berkomitmen untuk membina komuniti pembuat kandungan yang kukuh dengan lebih banyak pertandingan, siri eksklusif, dan bengkel berkala bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran dan kualiti kandungan. Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh mengikuti Durioo+ melalui platform sosial rasmi mereka di Instagram, Facebook, dan TikTok.