Gabungan luar biasa antara muzik dan animasi kini tercipta apabila kumpulan muzik popular Indonesia, NIDJI, muncul dengan lagu tema rasmi untuk Ejen Ali The Movie 2, berjudul “Teman Sejati”. Lagu yang membawa semangat setia kawan dan perjuangan ini kini boleh ditonton secara penuh di saluran YouTube rasmi Ejen Ali!
🎶 Teman sejati tak pernah bertanya Menghulurkan tangan tanpa diminta 🎶
Menampilkan melodi pop yang menyentuh emosi, “Teman Sejati” ialah karya ciptaan Andi Ariel Harsya dan diterbitkan oleh Petra Sihombing, disusun khusus untuk menjiwai tema persahabatan serta nilai setiakawan yang kuat dalam naratif filem Ejen Ali The Movie 2. Lagu ini juga menjadi simbolik kepada semangat ejen muda yang berjuang bersama menentang ancaman besar dalam dunia futuristik Cyberaya.
Lagu ini turut dimuatkan dalam album terkini NIDJI berjudul Manifestasi Hati (2025), yang telah mendapat sambutan hangat sejak dilancarkan pada Januari lalu. Dianggotai oleh Yusuf Ubay (vokal), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (keyboard), Ramadhista Akbar (gitar), Andi Ariel Harsya (gitar) dan Adri Prakarsa (drum), NIDJI terus mencipta gelombang muzik serantau yang penuh semangat dan inspirasi.
“Teman Sejati” bukan sekadar lagu ia adalah nadi kepada keseluruhan cerita dalam Ejen Ali The Movie 2, menyatukan elemen pengorbanan, keberanian dan nilai murni dalam ikatan persahabatan yang sejati. Lagu ini dijangka menjadi anthem ikonik kepada para penonton dan peminat setia francais Ejen Ali.
Misi menyelamatkan dunia sedang berlangsung – jom serbu pawagam seluruh negara sekarang! Saksikan kehebatan animasi tempatan yang penuh aksi, nilai dan kejutan emosi yang mendalam.
ROCKOLOGY CONCERT TOUR 2025 TAWAR PELAN BAYARAN 50/50 UNTUK PEMINAT
Berita baik buat peminat muzik rock tanah air, Rockology Concert Tour 2025 kini memperkenalkan pelan bayaran mudah yang membolehkan peminat membeli tiket dengan hanya 50% bayaran pendahuluan. Baki pembayaran boleh dijelaskan selewat-lewatnya tujuh hari sebelum konsert berlangsung, memberi lebih fleksibiliti kepada peminat untuk merancang kewangan mereka tanpa perlu lepaskan peluang keemasan menikmati konsert terbesar tahun ini.
Inisiatif ini diperkenalkan oleh RPM Events Sdn. Bhd. sebagai respons terhadap cabaran ekonomi semasa, selain usaha untuk memastikan lebih ramai peminat muzik rock tempatan dapat hadir dan merasai sendiri kehangatan pentas yang akan digegarkan oleh dua nama besar – Dato’ Awie dan Search (Kid Din). Kedua-dua artis lagenda ini bakal tampil bersama dalam persembahan penuh tenaga, emosi dan nostalgia, menjadikan Rockology Concert Tour 2025 sebagai sebuah pengalaman konsert yang tidak wajar dilepaskan.
Dato’ Eddy selaku Pengarah RPM Events berkata bahawa pelan bayaran ini dicipta khas untuk memberi peluang kepada semua lapisan peminat rock. Menurut beliau, rock adalah milik semua, dan pihaknya ingin memastikan tiada peminat yang terlepas peluang hanya kerana kekangan kewangan. Dengan pelan ini, peminat boleh ‘lock’ tempat duduk mereka lebih awal tanpa perlu membayar penuh serta-merta.
Tiket konsert boleh didapati melalui platform rasmi UberTickets, dan peminat hanya perlu memilih opsyen bayaran 50/50 semasa membuat pembelian. Bagaimanapun, tiket yang tidak diselesaikan bayaran penuhnya selepas tarikh akhir akan dibatalkan secara automatik dan bayaran pendahuluan tidak akan dikembalikan. Oleh itu, peminat digalakkan merancang dengan teliti agar tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan epik ini.
Rockology Concert Tour 2025 akan berlangsung di Midtown PERDA, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 dan di EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025. Konsert ini dijangka menarik ribuan peminat dari seluruh negara, dengan sistem bunyi bertaraf antarabangsa, visual pentas yang gah, serta barisan lagu-lagu hits yang pasti menggegarkan suasana.
Dalam pada itu, pihak penganjur juga mengalu-alukan penyertaan penaja korporat dan rakan jenama yang berminat untuk menyertai konsert ini sebagai sebahagian daripada usaha mengangkat industri hiburan tempatan. Penajaan ini membuka ruang kerjasama promosi, aktivasi jenama secara langsung di lokasi, dan pendedahan media yang luas kepada khalayak sasaran.
Dato’ Eddy turut menambah bahawa Rockology bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah gerakan yang meraikan semangat rebel, kebangkitan muzik rock, dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap seni persembahan tempatan. Pihaknya bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang ingin menjadi sebahagian daripada fenomena ini.
Untuk maklumat lanjut serta pembelian tiket, layari laman web rasmi di https://rpm.ubertickets.asia. Segera rebut peluang dengan pelan bayaran 50/50 dan jadilah sebahagian daripada gelombang rock terbesar tahun ini.
Penyanyi berbakat besar, Amsyar Leee kini mencuri tumpuan sebagai wakil Malaysia dalam pertandingan nyanyian realiti antarabangsa Sing! Asia yang bersiaran menerusi platform penstriman iQIYI. Program ini menghimpunkan peserta berpengalaman dari pelbagai negara Asia termasuk China, Jepun, Vietnam, Singapura dan Thailand dalam format pertandingan mingguan yang penuh cabaran serta memerlukan peserta menyampaikan lagu dalam bahasa Mandarin.
Menariknya, walaupun baru sahaja ditayangkan bermula 23 Mei lalu, kemunculan Amsyar dalam episod pertama telah mendapat reaksi positif daripada peminat. Kehadirannya bukan sahaja mewakili warna suara Malaysia, tetapi turut membawa kisah perjuangan peribadi yang menyentuh hati.
“Saya sangat bersyukur dan terharu dengan maklum balas peminat yang pertama kali menonton episod pembukaan Sing! Asia. Banyak cabaran yang perlu saya tempuhi, termasuk menyanyikan lagu Mandarin yang bukan bahasa pertuturan saya. Tapi inilah peluang untuk saya belajar dan keluar dari zon selesa,” ujar Amsyar.
Rakaman pertandingan telah pun berlangsung sejak Februari lalu di beberapa lokasi utama termasuk China, Jepun dan Hong Kong. Sepanjang penggambaran, Amsyar berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca sejuk yang menjejaskan peti suara serta kesukaran mendapatkan makanan halal.
“Antara cabaran terbesar ialah mengawal suara ketika cuaca terlalu dingin, terutama semasa di China. Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan keselesaan tekak dan stamina ketika menyanyi,” jelasnya lagi.
Lebih daripada sekadar cabaran luaran, Amsyar turut berdepan dengan ketakutan dalaman apabila mengakui dirinya mengalami stage fright dan anxiety ketika membuat persembahan. Namun, dengan kekuatan mental dan sokongan dari pasukan produksi, dia berjaya mengatasi rasa takut itu demi memberikan persembahan terbaik di pentas antarabangsa.
“Setiap kali naik pentas, saya tahu saya sedang lawan diri saya sendiri. Inilah kemenangan sebenar saya – untuk terus berani berdiri dan menyanyi dari hati. Saya percaya suara ini adalah suara anak Malaysia yang penuh emosi dan keikhlasan,” tambahnya.
Sepanjang penyertaannya, Amsyar turut memperoleh pengalaman baharu bekerja bersama produksi luar negara, terutamanya dalam aspek teknik vokal dan persembahan pentas. Pendekatan profesional mereka telah banyak membantu meningkatkan mutu persembahannya dalam pertandingan ini.
“Saya mahu buktikan bahawa penyanyi Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Biarpun masih jauh perjalanan, saya yakin setiap langkah yang saya ambil membawa saya lebih dekat kepada impian. Saya juga mahu buka mata ramai bahawa setiap suara ada tempat dan kekuatannya yang tersendiri,” katanya yang dikenali dengan lagu Belai.
Sing! Asia merupakan program pertandingan realiti baharu yang memberi fokus kepada bakat dan persembahan sebenar, tanpa sekadar bergantung kepada populariti semata-mata. Format pertandingan berubah setiap minggu, memberikan cabaran baharu kepada peserta untuk mengasah kemahiran dalam pelbagai genre dan bahasa.
Amsyar Leee kini sedang berjuang dalam siri pertandingan mingguan dan mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat tempatan serta penonton Asia untuk terus mara ke pusingan akhir.
Untuk mengikuti perkembangan terkini Amsyar di Sing! Asia, layari platform penstriman iQIYI dan ikuti akaun media sosial rasmi beliau.
Selepas hampir setahun menyepi, kumpulan gadis sensasi Malaysia, DOLLA, kembali dengan penuh gaya menerusi single baharu mereka yang penuh bertenaga dan eksperimental berjudul “MWA!” – sebuah karya yang bukan sahaja mengangkat elemen Brazilian funk, malah meletakkan nama M-pop di radar muzik global.
Dicipta sebagai kesinambungan kepada lagu hit mereka DAMELO, MWA! menampilkan sisi DOLLA yang lebih berani, segar dan lincah. Terinspirasi daripada bintang pop Brazil seperti Anitta, DOLLA menggabungkan identiti muzik Nusantara dengan ritma Latin yang menggoda dan beat moden yang memikat pendengar antarabangsa.
“Kami peminat tegar muzik Brazil dan sangat mengagumi Anitta. Kami mahu hasilkan lagu yang bukan sahaja mewakili DOLLA, tetapi juga memperkenalkan cita rasa baru kepada peminat Malaysia dan antarabangsa,” kongsi DOLLA dalam satu kenyataan.
Sejak dilancarkan, MWA! telah meraih sambutan luar biasa dengan debut di tangga ke-6 Carta RIM Malaysia dan mencatat lebih 1 juta tontonan di YouTube hanya dalam beberapa minggu. Di platform sosial, trend MWA! Dance Challenge telah merebak pantas dengan pencipta kandungan dari Brazil, Thailand, dan Amerika Syarikat turut mengambil bahagian – menjadikan lagu ini antara fenomena global terbaru dari Malaysia.
Menambahkan kemeriahan, video muzik MWA! turut dipaparkan secara eksklusif di papan iklan LED gergasi di Bukit Bintang, satu simbol kejayaan dan pengaruh pop budaya tempatan yang semakin menonjol di mata dunia.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, DOLLA turut melancarkan siri acara interaktif “MWA! Heist”, dimulakan dengan kejayaan di Bukit Bintang pada 10 Mei lalu dan diteruskan dengan MWA! Heist #2 di IOI City Mall Putrajaya pada 25 Mei 2025. Acara ini bukan sahaja menawarkan pengalaman imersif ke dalam dunia muzik video DOLLA, tetapi juga memberi ruang kepada peminat untuk menari, berinteraksi dan menonjolkan bakat mereka.
Sorotan utama acara ialah DOLLA: Most Wanted Ace, di mana peminat berbakat dalam bidang tarian, nyanyian dan rap berpeluang mempersembahkan kebolehan mereka secara langsung di hadapan pihak pengurusan Universal Music Malaysia. Tiga peserta terbaik membawa pulang hadiah eksklusif DOLLA — sekaligus membuka peluang ke arah kerjaya seni yang lebih besar.
“Kami amat terharu dengan sambutan hangat, khususnya dari peminat Brazil. Melihat muzik kami menembusi pasaran luar adalah satu mimpi jadi nyata. DOLLA bangga menjadi sebahagian daripada gelombang baharu M-pop,” tambah mereka.
Dengan MWA! terus mencipta gelombang dan menawan hati pendengar antarabangsa, DOLLA membuktikan bahawa muzik dari Malaysia kini berdiri megah di pentas global – berani, segar dan bersedia untuk menjadi jenama pop Asia yang seterusnya.
Dua suara luar biasa dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, bersatu dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi single terbaru berjudul “Kisah Penuh Kecewa”. Lagu power ballad ini lahir hasil ciptaan bersama Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan S/EEK, membawa kisah luka hati akibat cinta yang tidak kesampaian, namun sarat dengan mesej kekuatan dan ketabahan.
Menggabungkan kekuatan vokal serta emosi mendalam kedua-dua penyanyi berbakat ini, lagu tersebut menyasarkan untuk menyentuh hati pendengar di Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik serantau yang menghargai karya bernuansa emosi dan berjiwa.
Ernie Zakri, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39), berkongsi bahawa lagu ini mengisahkan tentang cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah satu pihak sudah memilih untuk berpisah. Namun, di sebalik kekecewaan itu, terdapat kekuatan untuk terus melangkah maju.
“Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran,” kata Ernie.
Proses rakaman lagu ini juga memberikan pengalaman berharga kepada Ernie apabila beliau merantau ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi.
“Rakaman berjalan lancar walaupun kami menghadapi cabaran bulan Ramadan, di mana kami tidak boleh minum air semasa rakaman. Namun, semuanya berjaya diharungi dengan baik,” tambah Ernie.
Ernie turut meluahkan rasa bangga dapat bekerjasama dengan tenaga kreatif hebat seperti Clara Riva (penulis lagu), S/EEK (penerbit muzik), dan IRVNAT selaku pengarah vokal.
“Saya sangat berbesar hati dapat bekerja dengan Anggi, yang saya anggap sebagai salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia. Projek ini sangat bermakna dalam kerjaya saya tahun ini,” katanya.
Menurut Ernie, walaupun berlainan latar belakang negara, kolaborasi ini membuktikan muzik tiada sempadan. Lagu ini direka agar mudah difahami dan mampu menjadi peneman bagi pendengar yang pernah mengalami kekecewaan cinta.
“Saya harap pendengar dapat menikmati lagu ini dan mengambil kekuatan daripadanya,” ujarnya lagi.
Bagi Anggi Marito, pemenang tempat ketiga Indonesian Idol musim 11, peluang berkolaborasi dengan Ernie adalah satu penghormatan besar.
“Saya sudah lama mengenali dan mengagumi suara indah Ernie. Tenaganya sangat hebat dan dapat menyampaikan rasa dengan sangat mendalam. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerjasama dengannya,” kata Anggi.
Proses penulisan lagu berjalan dengan lancar, di mana keserasian vokal Ernie dan Anggi akhirnya membawa mereka menghasilkan sebuah power ballad penuh emosi.
“Penulisan lagu hanya mengambil masa beberapa jam. Kami mengambil kira karakter suara masing-masing, dan susunan muzik oleh S/EEK melengkapkan karya ini menjadi sangat istimewa,” jelas Anggi.
Dengan mesej yang jujur dan melodi menyentuh, Ernie dan Anggi berharap “Kisah Penuh Kecewa” dapat diterima baik oleh pencinta muzik di kedua-dua negara serta memberi kekuatan kepada mereka yang melalui kekecewaan cinta.
“Kisah Penuh Kecewa” bukan sekadar lagu duet biasa. Ia adalah gabungan dua jiwa seni yang menyampaikan kisah tentang patah hati, kejujuran dalam mencintai, dan perjuangan untuk melepaskan,” kata Ernie.
Lagu ini kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 23 Mei 2025. Video muzik rasmi turut dilancarkan untuk membawa naratif visual yang seiring dengan kekuatan vokal kedua-dua penyanyi.
Sebagai tambahan istimewa, Anggi Marito akan membuat penampilan khas di Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 31 Mei 2025 di The Theatre, Mediacorp, Singapura. Konsert ini menjanjikan persembahan penuh emosi daripada dua penyanyi hebat Asia Tenggara dalam satu malam yang tidak boleh dilepaskan.
Bersiap sedialah untuk malam penuh memori, irama rancak dan semangat retro yang membara! Buat pertama kalinya, ikon muzik Eurodance terkenal dunia, Dr. Alban, bakal menjejakkan kaki ke Malaysia menerusi konsert eksklusif bertajuk Rewind & Play Experience, hasil penganjuran bersama dua nama besar dalam industri hiburan tempatan, Mojo Projects dan Tuff & Loud.
Konsert ini akan berlangsung pada Jumaat, 23 Mei 2025 jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur, membawa para peminat mengembara semula ke zaman keemasan muzik 90-an dengan lagu-lagu meletup seperti “It’s My Life”, “Sing Hallelujah”, dan banyak lagi. Inilah peluang untuk menyaksikan legenda sebenar Eurodance secara langsung sesuatu yang pastinya dinantikan oleh generasi yang membesar dengan irama tersebut.
Lebih daripada sekadar konsert, Rewind & Play Experience menjanjikan gabungan hiburan, visual dan nostalgia yang menyeluruh. Para pengunjung akan disambut dengan suasana interaktif bertemakan 90-an termasuk persembahan DJ retro, zon aktiviti khas, persembahan visual unik, serta pelbagai elemen kreatif yang menghidupkan kembali era kegemilangan tersebut dalam satu malam istimewa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna K. Nadarajan, penganjuran konsert ini adalah penghormatan kepada warisan muzik Eurodance yang pernah mewarnai budaya popular sedunia.
“Kami mahu mencipta lebih daripada sekadar persembahan. Kami mahu para penonton ‘terjun’ semula ke dalam era yang penuh warna, gaya dan tenaga satu pengalaman hiburan menyeluruh,” jelas Ratna.
Konsert ini juga merupakan satu bentuk penghargaan terhadap perjalanan seni Dr. Alban yang telah bertahan lebih tiga dekad, dengan karya-karya beliau terus mendapat tempat di hati peminat rentas generasi.
Dalam satu mesej khas kepada para peminat Malaysia, Dr. Alban menyatakan keterujaannya untuk kembali ke Asia:
“Saya sangat teruja untuk beraksi di Kuala Lumpur buat kali pertama. Bersiap sedialah untuk malam penuh kenangan, muzik dan semangat yang takkan dilupakan!”
Rewind & Play Experience dijangka menjadi antara acara kemuncak hiburan tahun ini, terutamanya buat para pencinta muzik era 90-an. Gabungan elemen muzik, memori dan meraikan warisan seni menjadikan konsert ini wajib hadir bagi mereka yang ingin bernostalgia dalam suasana penuh gaya dan tenaga.
Mengenai Mojo Projects Ditubuhkan pada 2016, Mojo Projects Sdn Bhd ialah antara pemain utama dalam penganjuran acara berskala besar di Malaysia. Dengan fokus pada teknologi, pengalaman premium dan hiburan unik, Mojo terus menerajui industri acara di peringkat tempatan dan serantau.
Penyanyi yang digelar Queen of Riff and Runs, Ziva Magnolya, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran album keduanya berjudul Merangkai – sebuah karya penuh jiwa yang mengangkat genre Pop RnB sebagai teras utama. Diterbitkan di bawah label Universal Music Indonesia, album ini menjadi lambang evolusi Ziva sebagai penyanyi dan pencerita muzik yang autentik.
“Album ini adalah impian yang akhirnya menjadi kenyataan. Saya membesar dengan genre Pop RnB dan sudah lama mahu menghasilkan karya yang benar-benar mewakili identiti muzik saya,” ujar Ziva yang sebelum ini mencipta gelombang menerusi single “Abadi” dan “Wanita Biasa”.
9 Lagu, 1 Cerita: Cinta dari Pelbagai Sudut
Album Merangkai memuatkan 9 buah lagu, termasuk tiga single popular yang sudah menemui peminat: “Abadi”, “Wanita Biasa” dan “Cukup”. Kesemua lagu ini saling terhubung melalui tema cinta – namun dipersembahkan dari pelbagai sudut pandang, menjadikan setiap trek sebuah bab dalam kisah emosi yang menyentuh dan relatable.
Barisan Kolaborator Ternama & Kaleb J Jadi Tarikan Utama
Bagi memastikan setiap lagu mencapai potensi terbaiknya, Ziva berganding bahu dengan beberapa nama besar dalam industri muzik tempatan. Antara yang terlibat ialah Dony Manurung, BIANCADIMAS, Trakast, Yafi Aria, Stefanus LJ, Ranbe, Belanegara Abe, S/EEK dan Laleilmanino.
Salah satu kolaborasi yang paling dinanti-nantikan peminat ialah lagu “Against All The Odds” bersama Kaleb J, kerjasama pertama mereka yang telah menjadi permintaan ramai sejak 2021.
Visual Penuh Karakter & ‘Seram Manja’ Buat Album Lebih Hidup
Dari segi visual, Ziva bekerjasama dengan artis tersohor Diela Maharanie yang dikenali dengan gaya seni penuh warna dan karakter, menghasilkan artwork eksklusif yang memperkuat konsep album. Tambahan pula, elemen unik seperti ‘seram manja’ diselitkan dalam muzik video lagu “Kata Kata”, yang diarahkan oleh Ivan Saputra Alam dan diterbitkan oleh Athea Visual.
“Ceritanya ringan tetapi lucu dan penuh makna – tentang cinta yang tak kesampaian, diceritakan dari sudut pandang orang yang ‘ghosting’,” jelas Ziva.
Bukan Sekadar Lagu – Merangkai Jadi Teman Jiwa
Melalui Merangkai, Ziva ingin menyampaikan lebih dari sekadar hiburan – tetapi juga pengubat hati dan semangat buat semua pendengar. “Saya harap album ini menjadi teman harian buat siapa pun yang mendengar. Mungkin ada lagu yang mewakili kisah hidup anda juga,” ujarnya.
Senarai Lagu dalam Album “Merangkai”:
Intro
Abadi
Tertarik Atau Baik
Sesuka Hati
200K
Kata Kata
Against All The Odds (ft. Kaleb J)
Wanita Biasa
Cukup
“Merangkai” kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, dan YouTube Music. Jangan lepaskan peluang untuk menyelami emosi dan keindahan suara Ziva Magnolya dalam karya terbaiknya setakat ini.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Ziva di laman sosial rasmi beliau dan Universal Music Indonesia.
Wani Kayrie kembali mencuri perhatian pentas muzik tempatan dengan single terbaharunya yang cukup unik berjudul “Cak Cak Cekuk”, sebuah karya muzik pop moden yang diadun indah dengan sentuhan irama rakyat – menyampaikan kisah realiti dan harapan cinta pasangan muda masa kini. Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk penghormatan terhadap warisan budaya dan suara hati generasi baharu.
“Cak Cak Cekuk” adalah hasil ciptaan bersama Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh, yang berjaya mengangkat semangat tradisional menerusi melodi yang ceria serta lirik yang bersahaja namun penuh makna. Lagu ini diilhamkan daripada nyanyian rakyat klasik “Cak Cekur Udang Gamit”, yang sering didendangkan oleh ibu dan nenek pada zaman dahulu kepada anak-anak kecil – kini diberi nafas baharu dalam irama pop yang dekat di hati generasi muda.
Menurut Wani, mesej lagu ini sangat dekat dengan pengalaman peribadi dan kehidupan ramai pasangan muda. “Zaman sekarang ramai yang nak kahwin tapi belum cukup duit – jadi lagu ini adalah cara saya nak sampaikan mesej bahawa cinta tak semestinya mahal, yang penting keikhlasan,” katanya yang turut menggambarkan “Cak Cak Cekuk” sebagai sebuah karya yang membawa “vibe ceria tapi penuh makna.”
Dengan gaya persembahan yang ringan dan beremosi, lagu ini menggambarkan cabaran golongan muda untuk mendirikan rumah tangga, namun dalam nada yang menghiburkan. Susunan muzik yang dinamik digabungkan dengan lirik puitis menjadikan “Cak Cak Cekuk” sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat usia – lebih-lebih lagi dalam acara cinta seperti majlis perkahwinan, bridal shower atau malam berinai.
“Lagu ini adalah satu bentuk penghargaan saya kepada budaya kita. Saya mahu generasi muda bangga menyanyikan lagu-lagu seperti ini – moden, catchy, tapi ada jiwa,” kata Wani yang juga tidak sabar untuk mempersembahkan lagu ini secara langsung kepada peminat.
Wani turut berkongsi bahawa bait lagu seperti “Perlahan dayung sampai hujung” mencerminkan semangatnya dalam mengejar impian dan berharap ia akan memberi motivasi kepada pendengar. “Kita semua pernah merasa sukar untuk capai sesuatu. Tetapi kalau hati cekal dan semangat kekal, kita pasti sampai ke destinasi.”
“Cak Cak Cekuk” kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music bermula 23 Mei 2025. Nantikan juga muzik video rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, menampilkan visual istimewa penuh warna-warni dan elemen budaya yang menyentuh nostalgia.
Untuk mengikuti perkembangan terkini Wani Kayrie serta pelancaran eksklusif muzik video “Cak Cak Cekuk”, ikuti saluran rasmi dan media sosial Rocketfuel Entertainment.
Setelah mencuri perhatian dalam filem ikonik terakhir arahan Allahyarham Mamat Khalid, pelakon, pelawak dan penyanyi berbakat besar Joey Daud kini tampil semula ke pentas muzik tanah air dengan single terbaru berjudul “Wamwamsam” sebuah karya eksperimental berani yang mengetengahkan elemen komedi pop rock yang sarat dengan sindiran sosial dan mesej mendalam.
“Wamwamsam” bukan sekadar lagu ia adalah karya yang menggambarkan realiti, semangat dan wawasan, disampaikan dalam gaya jenaka sinikal yang mencuit minda. Melalui lirik bersahaja tetapi penuh makna, Joey menyampaikan mesej penting mengenai pendidikan, nilai ilmu dan harapan masa depan sesuai untuk semua golongan, daripada pelajar sekolah hinggalah ke pemimpin masyarakat.
Menariknya, Joey Daud merupakan artis rakaman pertama yang ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd pada tahun 1994. Kini, selepas lebih dua dekad, kembalinya beliau bersama Luncai Emas dianggap sebagai pertemuan semula dua generasi seni dalam satu karya penuh warna.
Kolaborasi Segar, Suara Generasi Baharu
Single ini memperlihatkan gabungan ideal antara pengalaman Joey dan kreativiti barisan komposer muda di bawah naungan Luncai Emas Ilham Nasir dan Hidayat Nasir. Mereka mempersembahkan susunan muzik berani dan segar yang menambah nilai komersial dan artistik lagu ini.
Menurut Joey, “Lagu ini saya tulis berdasarkan pengalaman hidup, pemerhatian dan kenangan zaman sekolah. Wamwamsam kedengaran kelakar, tapi ia penuh dengan makna. Ia sindiran yang membina.”
Suara dari Timur Malaysia: Sentuhan A.D dari Isohbatos
Menambahkan lagi nilai kepelbagaian dalam lagu ini, segmen rap istimewa oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah Isohbatos, menyuntik elemen unik dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo. Kolaborasi ini menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu naskhah muzik kebangsaan.
“Lagu ini bukan untuk satu negeri atau satu kaum ini suara seluruh Malaysia,” kata Joey. “Bila A.D bawa gaya dia yang tersendiri, ia jadi magik.”
Video Muzik Sinematik: Teaser kepada Filem Daud M
Menambah keunikan pelancaran, video muzik rasmi “Wamwamsam” diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid. Konsep video berbentuk sinematik ala filem pendek ini menjadi teaser eksklusif kepada projek filem akan datang berjudul Daud M, diinspirasikan daripada watak yang dibawakan oleh Joey dalam filem terdahulu.
Video muzik ini mengisahkan pelajar kampung yang berwawasan tinggi, berjuang menentang norma masyarakat dan sistem pendidikan lapuk demi perubahan. Visual dramatik, latar sekolah retro dan watak-watak guru eksentrik menjadikan naratif ini sarat dengan tawa, emosi dan sindiran tajam terhadap realiti sosial.
Seruan Kepada Generasi Baharu
“Wamwamsam” bukan sekadar lagu hiburan ia adalah seruan untuk generasi muda tampil berani dengan ilmu dan idealisme. Dengan gabungan budaya tempatan, nostalgia zaman persekolahan dan mesej kontemporari, lagu ini dijangka mencetus fenomena unik di kalangan pendengar muzik tanah air.
Penyanyi tempatan dari Melaka, Siti Halijah kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya yang berjudul “Sila-Sila Ke Melaka”, hasil ciptaan sepenuhnya komposer juga berasal dari negeri yang sama, Anwar Jaapar atau dikenali sebagai Cik Mai.
Menariknya, lagu ini pernah membawa tuah kepada Siti Halijah ketika dipersembahkan di pentas Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia 2011 di mana beliau dinobatkan sebagai juara dan lagu tersebut turut memenangi Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia. Melihat sambutan yang menggalakkan, beliau dan Cik Mai bersetuju untuk merakamkannya secara rasmi sebagai satu langkah baharu dalam kerjayanya.
“Sila-Sila Ke Melaka bukan sekadar lagu, ia adalah simbol kecintaan saya terhadap negeri kelahiran saya. Lagu ini berinspirasikan keindahan dan kekayaan warisan sejarah negeri Melaka yang diiktiraf UNESCO. Dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2025 yang bakal berlangsung September ini, saya rasa inilah masa terbaik untuk memperkenalkan lagu ini kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar Siti Halijah.
Lagu ini dirakam semula dengan sentuhan susunan muzik yang lebih segar dan kontemporari oleh Amy Bong, disertai penggubahan lirik berdasarkan tema kepahlawanan Melayu seperti “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”. Ia membawa mesej mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan budaya, bersejarah dan moden.
Siti Halijah yang pernah aktif bersama kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan tampil dalam projek raya “Cinta Lebaran” bersama Noraniza Idris, menganggap rilisan ini sebagai permulaan baharu selepas lebih satu dekad dalam industri muzik.
Single ini diterbitkan oleh syarikat rakaman tersohor, Luncai Emas, yang juga bertindak sebagai pemegang hak cipta lagu serta pengedar digital rasmi. Video muzik “Sila-Sila Ke Melaka” kini boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas, manakala versi audio telah tersedia di semua platform penstriman digital.
“Harapan saya agar lagu ini bukan sahaja diterima baik oleh pendengar, tetapi turut menyumbang kepada usaha memperkenalkan Melaka di mata dunia sebagai destinasi pelancongan unggul,” tambah beliau penuh harapan.
“Sila-Sila Ke Melaka” kini sedia untuk didengari di mana-mana sahaja – jadi, mana lagi? Melaka ler…