Category: Music

  • Amir Masdi Luah Rasa dan Cinta Dalam Single “Bakal Kekasih” – Sentuhan Rock & Roll Penuh Ceria

    Amir Masdi Luah Rasa dan Cinta Dalam Single “Bakal Kekasih” – Sentuhan Rock & Roll Penuh Ceria

    Selepas sekian lama menyimpan kisah peribadinya rapat di dada, penyanyi bervokal mantap Amir Masdi akhirnya berkongsi sisi romantik dirinya menerusi single terbaharu berjudul Bakal Kekasih. Lagu ini bukan sahaja mencerminkan luahan hati Amir terhadap seseorang yang istimewa, malah memperlihatkan keberaniannya meneroka genre baharu – rock and roll.

    Menurut Amir, 29, yang juga juara pertandingan realiti nyanyian popular, Bakal Kekasih menggambarkan perasaan ketika jatuh hati dan mula menyimpan angan-angan untuk menjadikan seseorang itu pasangan hidup. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi hadir dengan semangat dan tenaga yang membawa naratif yang mudah difahami serta dekat di hati pendengar.

    “Pada mulanya saya mahu hasilkan lagu yang santai dan fun, tapi Cikgu Edry beri idea untuk menjadikannya lebih mendalam – tentang rasa ingin jadikan seseorang itu teman hidup. Idea tu saya rasa kuat dan boleh ‘kena’ dengan sesiapa saja,” kongsi Amir mengenai kolaborasinya bersama komposer terkenal, Edry Abdul Halim.

    Bakal Kekasih merupakan single keempat dari album A.M P.M (Side A.M) selepas kejayaan lagu-lagu seperti Nur Cinta, Calar, dan Langit Biru. Namun, lagu ini berbeza daripada yang sebelumnya, kerana ia memperlihatkan Amir dalam dimensi muzik yang baharu – penuh dengan semangat era rock and roll.

    Menurut Amir, lagu tersebut sebenarnya telah lama ditulisnya, namun ‘tersadai’ dalam telefon sejak tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia kemudian diberi nafas baharu dan diperkemas bersama Edry untuk dimuatkan dalam albumnya.

    “Saya memang simpan lagu ni lama. Bila tiba masa saya nak lengkapkan album, saya terus teringat lagu rock and roll ni dan kongsikan dengan Cikgu Edry. Dia kata, ‘This is a good tune’, dan dari situ bermulalah pembikinan Bakal Kekasih versi penuh,” katanya.

    Bagi Amir, Bakal Kekasih juga menjadi saluran untuk mereka yang sedang menyimpan rasa suka tetapi tidak tahu bagaimana mahu meluahkannya.

    “Kalau ada sesiapa yang tengah ‘crush’ tapi segan nak bagitahu, guna je lagu ni. Liriknya direct, vibe-nya pun ceria dan mudah untuk buat orang senyum,” ujarnya sambil ketawa.

    Lebih menarik, video muzik Bakal Kekasih dirakam di sebuah restoran bertema retro di Manchester, United Kingdom, pada Februari lalu. Konsep video ini diinspirasikan daripada filem-filem remaja popular seperti High School Musical dan Uptown Girl, menampilkan suasana riang, penuh tenaga dan elemen klasik yang jarang diketengahkan masa kini.

    “Memang saya nak tampilkan satu vibe yang menyeronokkan dan ‘teenage love’. Rock and roll ni genre yang nostalgic tapi fresh kalau kena gaya. Saya harap lagu ni boleh beri semangat baru dalam kerjaya saya dan hiburkan semua pendengar,” tambahnya lagi.

    Bakal Kekasih kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube AR United Music melalui pautan: https://youtu.be/zE_0Q2x7NF8

  • Yah! Tampil Berani Langkah Ke Dunia Muzik Dengan Debut Emosional “My Song To You”

    Yah! Tampil Berani Langkah Ke Dunia Muzik Dengan Debut Emosional “My Song To You”

    Nama Yah! mungkin sinonim dengan watak lucu dan dialog ikonik “Mi Kari Kuah Laksa”, namun di sebalik persona ceria itu tersembunyi sisi lain yang kini mula menyerlah – sebagai penyanyi dan penulis lagu. Afea Deanna Baharudean, atau lebih dikenali sebagai Yah!, bakal melancarkan single sulungnya berbahasa Inggeris berjudul My Song To You pada 6 Jun 2025 di semua platform digital, dengan pelancaran awal di TikTok pada 30 Mei 2025.

    Single ini bukan sekadar langkah sulung dalam muzik, tetapi juga sebuah luahan jiwa yang sangat peribadi bagi Yah!. Ditulis sendiri olehnya bersama Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia, lagu ini membawa mesej cinta, penghargaan dan pemulihan diri – ditujukan kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

    “Lagu ini saya tulis dengan penuh rasa, kerana saya mahu pendengar merasai kehadiran dan kasih sayang walau dari jauh,” ujar Yah! yang mengakui menulis lagu ini dalam Bahasa Inggeris adalah satu bentuk ekspresi semula jadi, memandangkan latar belakang akademiknya dalam bidang TESL di UPSI.

    Bagi Yah!, My Song To You bukan eksperimen suka-suka. Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada impian yang telah lama disimpan – untuk menjadi penyanyi yang mampu menghubungkan hati melalui muzik.

    “Ramai kenal saya sebagai pelakon komedi, tapi melalui lagu ini saya harap orang boleh lihat sisi yang lebih mendalam dalam diri saya,” jelasnya. “Saya nak jadi suara buat mereka yang mungkin sunyi atau terluka – dan muzik ini salurannya.”

    Lagu ini dilancarkan dengan kerjasama dua label iaitu Buduck Records dan Sony Music Malaysia yang memberikan sokongan penuh terhadap perjalanan muzik Yah!. Malah, Yah! turut menyuarakan hasrat untuk membawa karyanya melangkaui sempadan dan mendapat tempat di hati pendengar antarabangsa.

    “Saya yakin muzik adalah bahasa sejagat. Saya mahu dunia tahu, bakat Malaysia juga ada cerita yang mampu menyentuh hati,” katanya penuh semangat.

    Yah! juga menyeru para peminat yang selama ini menyokongnya sebagai pelakon untuk terus bersama dalam fasa baharu kerjayanya. Baginya, My Song To You adalah permulaan yang bukan sahaja bermakna secara peribadi, tetapi juga potensi untuk membuka lembaran baharu dalam seni suaranya.

    Ikuti Yah!:
    Instagram: @afea_de_anna
    TikTok: @afeadeanna

    Untuk pertanyaan media:
    📞 Elly Jalil – 017-3258562

  • Bella Astillah Sertai Konsert Holografik Glenn Fredly di KL

    Bella Astillah Sertai Konsert Holografik Glenn Fredly di KL

    Pemergian Glenn Fredly pada tahun 2020 meninggalkan kesan mendalam kepada dunia muzik Nusantara. Namun warisan muziknya terus hidup, malah kini dihidupkan semula secara luar biasa menerusi konsert holografik istimewa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur. Antara nama yang mencuri perhatian untuk persembahan ini ialah penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah.

    Menurut Bella, Glenn Fredly bukan sekadar idola, malah menjadi sumber inspirasinya sejak kecil. Lagu-lagu seperti “Kasih Putih”, “Januari”, dan “Akhir Cerita Cinta” bukan sahaja membentuk haluannya sebagai penyanyi, tetapi turut meninggalkan kenangan mendalam yang sukar dilupakan. Bella menyifatkan pemergian Glenn sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik serantau, namun tetap terinspirasi dengan kekuatan muzik yang ditinggalkan.

    Kini, Bella berpeluang menzahirkan penghormatan itu dengan menyertai barisan artis terpilih dalam Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 18 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Selain Bella, konsert ini turut menampilkan barisan penyanyi hebat seperti The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.

    Kuala Lumpur menjadi destinasi kedua selepas kejayaan konsert sama di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu. Penampilan holografik Glenn Fredly membuktikan bahawa teknologi moden mampu menghubungkan generasi dengan memori dan muzik masa lalu. Konsert selama dua jam setengah ini menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah pengalaman emosional, merentas waktu dan perasaan.

    Bagi Bella, peluang ini adalah satu penghormatan besar. Dia mengakui teruja dengan teknologi yang bakal digunakan dan yakin ia akan menjadikan konsert tersebut begitu istimewa. Namun, Bella memilih untuk tidak mendedahkan butiran persembahannya lebih awal, sebaliknya mengajak para peminat hadir sendiri dan merasai keunikan konsert ini secara langsung.

    Konsert yang dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd ini menandakan sejarah baharu buat industri hiburan tempatan bukan sahaja kerana format holografik yang julung kali diadakan di Malaysia, tetapi juga kerana penceritaan muzik yang menggabungkan warisan, teknologi dan penghormatan.

    Peminat yang ingin menyaksikan konsert ini boleh mendapatkan tiket melalui laman web rasmi www.ticket2u.com/GlennHologram. Beberapa promosi menarik turut ditawarkan termasuk tiket pasangan (couple) dengan harga RM266. Untuk pembelian individu, peminat boleh menggunakan kod promosi GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh untuk potongan harga sebanyak 30 peratus.

    Untuk info terkini dan kandungan eksklusif, ikuti media sosial rasmi penganjur di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords, @glennfredlymusik, @matahatilive dan @blacksky.asia.

  • SonaOne Tampil Lebih Jujur dan Matang Menerusi ‘Stamina’, Lagu Tentang Tenang Dalam Gelora

    SonaOne Tampil Lebih Jujur dan Matang Menerusi ‘Stamina’, Lagu Tentang Tenang Dalam Gelora

    Selepas menyepi seketika dari sorotan arus perdana, SonaOne kembali dengan satu karya yang sarat emosi dan ketulusan. Single terbaharunya bertajuk Stamina mencerminkan sisi lebih dewasa dalam dirinya – sebuah pengakuan tentang kekuatan emosi dan usaha menahan rasa dalam situasi penuh kekalutan. Lagu ini kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.

    Menurut SonaOne, Stamina bukan hanya berbicara soal fizikal, tetapi mengenai bagaimana seseorang menahan ledakan emosi ketika ingin meluahkan sesuatu, namun memilih untuk kekal tenang. “Ini stamina emosi – kekuatan hati ketika berperang dengan perasaan sendiri,” jelasnya. Lirik lagu tersebut mengangkat tema keheningan jiwa, disulam dengan produksi minimal tetapi mendalam yang menyentuh relung rasa.

    Menariknya, lagu ini bermula dengan spontan – hanya sebuah hook “mmm-mmm-mmm” yang dirakam secara rawak, namun kekal menjadi elemen penting hingga ke versi akhir. Dengan bantuan K1O pada beberapa lirik terakhir dan sentuhan susunan lagu oleh Wolfy, Stamina berkembang daripada sebuah demo mentah kepada karya penuh emosi yang tetap mengekalkan jiwa asalnya.

    “Kadang-kadang, bila kita berhenti mencuba terlalu keras dan hanya ikut rasa, itulah ketika muzik datang dari tempat paling tulus,” tambah SonaOne. Lagu ini menjadi refleksi terhadap pendewasaan dirinya sebagai seniman, lebih yakin untuk berkarya mengikut intuisi dan bukan tekanan industri.

    Stamina turut menandakan fasa baharu dalam perjalanan muziknya. SonaOne memberi bayangan bahawa lebih banyak lagu, visual dan penceritaan bakal hadir dalam apa yang dipanggilnya sebagai “Kenobi season”. Ini bukan sekadar comeback, tetapi satu evolusi kreatif yang dijanjikan lebih jujur dan segar.

    Tiada gimik. Tiada drama. Hanya karya yang lahir dari hati. Dan bagi peminat yang pernah melalui fasa ingin meluahkan tetapi memilih untuk diam, Stamina mungkin lagu yang mereka perlukan sekarang.

  • The Lantis Gegar KL: Debut Antarabangsa Sarat Emosi dan Nostalgia

    The Lantis Gegar KL: Debut Antarabangsa Sarat Emosi dan Nostalgia

    Band retro-pop dari Jakarta Selatan, The Lantis, akhirnya menjejakkan kaki ke pentas antarabangsa apabila mereka membuat penampilan perdana di Kuala Lumpur menerusi Konsert Jiwa Kacau yang berlangsung baru-baru ini. Membawakan nuansa emosi dan nostalgia, persembahan mereka meninggalkan impak luar biasa kepada peminat Malaysia yang hadir di acara tersebut.

    Anggota trio ini – Giri (vokalis), Ravi (gitaris), dan Ojan (gitaris) – tampil bersahaja namun penuh karisma. Mereka berkongsi pentas dengan barisan nama besar serantau seperti Wali, Kerispatih, Hujan, Bunkface dan Spider. Walaupun ini merupakan kemunculan pertama The Lantis di Malaysia, mereka pantas memikat hati penonton dengan setlist penuh rasa dan komunikasi mesra yang menghubungkan mereka dengan penonton tanpa sempadan.

    Antara lagu-lagu yang dipersembahkan termasuk “Ambang Rindu”, “Lampu Merah” dan karya paling popular mereka, “Bunga Maaf”. Lagu tersebut yang dilancarkan pada November 2024 masih bertahan dalam carta Top Songs Malaysia di tangga ke-46, membuktikan daya tarik The Lantis tidak terhenti di sempadan negaranya sahaja. Ketika mereka membawakan “Bunga Maaf”, ribuan penonton bergema bersama-sama, menjadikan momen itu antara yang paling menyentuh sepanjang malam.

    “Ini bukan sekadar konsert untuk kami, tetapi satu impian yang jadi kenyataan,” ujar mereka dalam nada penuh terharu. “Malaysia telah menerima kami dengan tangan terbuka dan hati yang besar. Kami tidak akan pernah lupakan malam ini.”

    Ditubuhkan pada tahun 2020, The Lantis mula menempa nama di Indonesia menerusi lagu “Lampu Merah” yang tular dengan lebih 96 juta penstriman di pelbagai platform digital. Namun, ia adalah “Bunga Maaf” yang benar-benar mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik serantau dengan jumlah penstriman mencecah 161 juta.

    Bukan itu sahaja, kumpulan ini juga menyumbangkan suara mereka dalam pentas “Musikal Keluarga Cemara 2025” dengan lagu “Seperti Cemara”, sekali gus membuktikan kebolehan mereka bukan sekadar di pentas konvensional, tetapi juga dalam bidang teater dan produksi khas.

    Kehadiran The Lantis di Kuala Lumpur bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kerjaya mereka, malah menandakan permulaan kepada penjelajahan muzik merentas sempadan yang lebih luas. Peminat tempatan kini boleh menantikan lebih banyak kolaborasi dan kemunculan mereka di Malaysia, susulan sambutan luar biasa yang telah diterima.

  • 735 Pemuzik Satu Irama: FELDA Cipta Sejarah Orkestra Simfoni Terbesar di Malaysia

    735 Pemuzik Satu Irama: FELDA Cipta Sejarah Orkestra Simfoni Terbesar di Malaysia

    Detik bersejarah tercipta apabila FELDA berjaya merangkul pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi persembahan “Orkestra Simfoni Terbesar” melibatkan seramai 735 pemuzik. Momen penuh harmoni ini menjadi kemuncak kepada penganjuran Malaysia International FELDA Band & Orchestra Festival (MIFBOF) 2025 yang berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi.

    Pengiktirafan rasmi disampaikan oleh wakil MBOR, Encik Megat Faris Hussein bin Megat Muzaffar Shah, sekaligus menobatkan FELDA sebagai peneraju dalam penganjuran acara muzik pelajar paling berskala besar di negara ini. Dalam suasana penuh kebanggaan, 14 pasukan orkestra bergabung menyampaikan lagu rakyat ikonik “Wau Bulan” dalam satu persembahan simfoni yang menyatukan semangat patriotisme dan perpaduan.

    Festival yang berlangsung selama dua hari ini disertai oleh lebih 1,200 pemuzik dari 19 pasukan orkestra sekolah rendah dan menengah seluruh negara, serta penyertaan istimewa dari Thailand dan Filipina. Kolaborasi antarabangsa ini mencerminkan impak MIFBOF 2025 sebagai medan pertemuan budaya dan muzik, memperkukuh hubungan serantau menerusi irama yang menyatukan generasi muda.

    Kerjasama erat bersama Malaysia Association of Marching Arts (MAMA) turut memperkasa misi MIFBOF sebagai platform pembangunan bakat muzik orkestra dalam kalangan pelajar. Persembahan dan pementasan bukan sahaja membina keyakinan diri pelajar, malah memperlihatkan nilai kerjasama, disiplin dan kecintaan terhadap seni muzik.

    FELDA merakamkan penghargaan buat semua pihak yang bersama menjayakan festival berprestij ini, termasuk rakan penaja dan strategik seperti U Mobile, FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd, MITEC, Yayasan FELDA, FELKOP, KPF, KGFB, Koguna dan Hotel Tenera. Setiap sumbangan telah memberi impak yang besar dalam menjayakan festival ini hingga mencipta sejarah nasional.

    Kejayaan cemerlang MIFBOF 2025 menjadi bukti bahawa apabila seni, semangat, dan disiplin bergabung, tiada apa yang mustahil. Lebih daripada sekadar festival, ia adalah manifestasi impian besar anak muda – bahawa muzik mampu menjadi jambatan ke arah perpaduan dan masa depan lebih gemilang.

  • Dadali Gegar Zepp KL: Konsert Penuh Emosi & Pengumuman Filem Biopik “Sebuah Kisah

    Dadali Gegar Zepp KL: Konsert Penuh Emosi & Pengumuman Filem Biopik “Sebuah Kisah

    Malam Sabtu di Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan rindu dan kenangan apabila kumpulan pop-Melayu popular dari Indonesia, Dadali, membuat penampilan istimewa dalam konsert sulung mereka di Malaysia bertajuk Dadali Sebuah Kisah Live in Kuala Lumpur. Dihadiri lebih 1,600 peminat setia, konsert ini menjadi bukti bahawa lagu-lagu galau ciptaan mereka masih menambat hati penggemar muzik di tanah air.

    Dari detik tirai dibuka tepat jam 9 malam, penonton larut dalam persembahan penuh emosi yang diketuai vokalis utama Dyrga bersama ahli kumpulan Boim (gitar), Rickarjd (gitar melodi), Dendi (keyboard), Hendi (bes) dan Obot (dram). Antara 18 lagu yang dipersembahkan termasuklah hits seperti “Di Saat Sendiri”, “Cinta Jangan Kau Pergi”, “Sakit Teramat Sakit”, “Mendua”, “Aishiteru” dan “Di Saat Aku Tersakiti”. Persembahan turut diserikan dengan kejutan lagu “Dikir Rambong” sebelum penutup padu menerusi lagu ikonik mereka, “Sebuah Kisah”.

    Kemunculan khas penyanyi Ronnie Hussein turut memberi sentuhan magis pada malam itu. Membawakan lagu-lagu “Hanya Aku” dan “Harapan” secara solo, Ronnie kemudian berduet bersama Dyrga menerusi lagu “Di Saat Aku Mencintaimu”, mencetuskan sorakan paling gamat daripada penonton yang terhanyut dalam emosi lagu.

    Lebih mengujakan, Dyrga turut mengumumkan bahawa kisah perjalanan Dadali selama 16 tahun dari sebuah garaj kecil di Bogor hingga ke pentas antarabangsa akan diabadikan ke layar perak dalam sebuah filem biopik bertajuk Sebuah Kisah. Walaupun hanya disebut sepintas lalu, berita ini disambut tepukan gemuruh, menandakan betapa istimewanya kisah hidup kumpulan ini di mata peminat.

    Konsert ini merupakan hasil kolaborasi Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations, dengan sokongan penuh Tourism Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026. Inisiatif ini membuka ruang kepada jalinan budaya yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia menerusi muzik yang menyatukan.

    Kejayaan Sebuah Kisah Live in Kuala Lumpur bukan sahaja memahat satu lagi sejarah manis buat Dadali, malah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai “Raja Lagu Galau” serantau. Lagu-lagu mereka yang sarat emosi terus hidup di hati peminat merentas generasi dan sempadan.

  • “Layar Boneka” Bukan Sekadar Lagu-Halim & Kmy Kmo Lancar Seruan Emosi dan Realiti Dalam Nada Hip Hop

    “Layar Boneka” Bukan Sekadar Lagu-Halim & Kmy Kmo Lancar Seruan Emosi dan Realiti Dalam Nada Hip Hop

    Dunia muzik tanah air menerima satu lagi karya kolaboratif yang membawa makna mendalam menerusi pelancaran single “Layar Boneka” hasil gandingan Halim dan rapper berjiwa puitis, Kmy Kmo. Lagu ini bukan sekadar sebuah hiburan semata, malah sarat dengan mesej sosial dan seruan kepada keberanian menegakkan harga diri dalam arus realiti yang mencabar.

    “Layar Boneka” merupakan hasil ciptaan Kmy Kmo bersama HMstatenine dan diterbitkan oleh label tersohor Luncai Emas untuk edaran digital. Rakaman dan susunan muziknya menggabungkan elemen pop moden, balada kontemporari serta hip hop Melayu yang menjadikan lagu ini sebuah pengalaman sonik yang menyentuh perasaan. Video muzik rasmi lagu ini juga kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Luncai Emas.

    Menurut Halim, inspirasi untuk berkolaborasi dengan Kmy Kmo tercetus setelah mereka bekerjasama dalam produksi program TV ‘Manhajj Mutawiff’ yang diterbitkan oleh syarikatnya untuk saluran Astro Oasis. Halim menyifatkan Kmy sebagai artis rap versatil yang mampu mengangkat suara rakyat melalui bait lirik dan elemen muzik nusantara yang dibawanya.

    “Saya memang meminati hip hop dan cara Kmy berkarya ada nilai kejujuran yang saya suka. Saya mahu lagu ini menjadi wadah untuk kita bersuara bukan hanya menyanyi,” jelas Halim.

    Bagi Kmy Kmo pula, kolaborasi ini membuka ruang untuk menyalurkan mesej bermakna kepada pendengar menerusi lagu yang menyentuh isu ketidakadilan, stigma dan semangat untuk bangkit daripada kejatuhan. Beliau turut memuji suara Halim yang disifatkannya sebagai sangat sesuai untuk genre rock Melayu, dan kagum dengan semangat Halim yang sanggup mencabar diri dalam dunia muzik.

    “Suara Halim ada nilai klasik rock kapak, dan dia seorang yang ikhlas serta berani. Lagu ini bukan hanya untuk didengar, tapi untuk dirasai,” ujar Kmy.

    “Layar Boneka” diibaratkan sebagai luahan mereka yang selama ini diam kerana difitnah dan dikecam tetapi kini bersedia berdiri kembali dengan semangat baharu. Dengan barisan produksi yang mantap, lagu ini menjanjikan pengalaman emosi dan estetika muzik yang menyentuh hati.

    “Layar Boneka” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Dengarkan dan hayati kisah di sebalik suara ini bukan sekadar lagu, ini suara yang membebaskan.

  • LEV Muncul Dengan Suara Realiti Dalam “Aku Bukan Bosan”, Ciptaan Jujur Untuk Para Pejuang Keluarga

    LEV Muncul Dengan Suara Realiti Dalam “Aku Bukan Bosan”, Ciptaan Jujur Untuk Para Pejuang Keluarga

    Dunia muzik tempatan menyambut kemunculan rasmi sebuah nama baharu, LEV, yang tampil dengan single sulung berjudul “Aku Bukan Bosan”. Diterbitkan di bawah label Empayar Masdo Sdn. Bhd., single ini membawa dimensi segar dalam penulisan lagu dan emosi yang jujur, menjadikan LEV antara kumpulan pendatang baharu yang wajar diberi perhatian.

    LEV dibentuk pada 13 Mei 2022 dan terdiri daripada tiga ahli berbakat – Leo Azman (vokalis, komposer dan penulis lirik), Riz (gitaris) dan Kecik (pemain bass). Mereka kini bernaung di bawah pengurusan Empayar Masdo, syarikat yang turut menaungi kugiran retro terkenal tanah air, MASDO.

    “Aku Bukan Bosan” adalah buah tangan pertama daripada LEV dan sepenuhnya ditulis serta digubah oleh Leo Azman. Menariknya, penerbitan lagu ini melibatkan sentuhan antarabangsa menerusi kolaborasi bersama Andi daripada kumpulan Fourtwnty, yang menggalas peranan sebagai penerbit, adunan dan mastering di Bijanfx Studio. Proses kreatifnya memakan masa selama dua minggu dengan lima versi draf sebelum versi akhir dimuktamadkan.

    Lagu ini mengetengahkan kisah pengorbanan seorang lelaki yang meninggalkan keluarganya demi mencari rezeki, sebuah realiti pahit yang sering disalah tafsir dalam hubungan jarak jauh. Tema kepercayaan, kesetiaan dan tekanan emosi digarap dalam bentuk lirik yang tulus dan dekat di hati rakyat biasa. Menurut Andi, “Kami mahu lagu ini mewakili suara golongan yang jarang didengari. Bukan semua orang pandai meluah, tapi muzik boleh bercakap untuk mereka.”

    Sebelum pelancarannya secara rasmi di platform digital, lagu ini telah dipersembahkan di beberapa lokasi sempena Jelajah Menuju MASDO 10 Tahun, sekaligus memberi ruang kepada LEV untuk memperkenalkan identiti muzik mereka kepada khalayak lebih luas. Persembahan-persembahan tersebut berjaya menarik perhatian peminat baharu yang terkesan dengan kejujuran lagu tersebut.

    LEV tampil sebagai kumpulan yang memilih untuk menyalurkan mesej realiti tanpa dramatik yang berlebihan. “Aku Bukan Bosan” adalah cerminan kepada ribuan kisah yang jarang diberi ruang – kisah para ayah, suami dan pejuang rezeki yang berkorban tanpa banyak kata.

    Single ini bukan sekadar permulaan, tetapi satu peringatan bahawa muzik yang ikhlas mampu menyentuh hati pendengar. Untuk semua yang sedang berjuang demi keluarga, LEV mempersembahkan lagu ini sebagai suara kalian suara yang tak pernah diluah, tetapi sentiasa dirasa.

    Aku Bukan Bosan kini boleh distrim di semua platform digital. Dengarkan, hayati, dan mungkin temui kisah anda dalam lagu ini.

  • CIPTA 3 BAKAL GEGARKAN AXIATA ARENA – DATO’ M. NASIR HADIAHKAN HARLEY DAVIDSON BERSAMA ETIQA!

    CIPTA 3 BAKAL GEGARKAN AXIATA ARENA – DATO’ M. NASIR HADIAHKAN HARLEY DAVIDSON BERSAMA ETIQA!

    Maestro muzik tanah air, Dato’ M. Nasir kembali menggegarkan pentas berskala mega menerusi konsert terakhir trilogi legendarinya DATO’ M. N46IR CIPTA 3, yang bakal berlangsung pada 27 September 2025, jam 8 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Kali ini, konsert turut disuntik semangat rock yang lebih bertenaga dengan sokongan dua jenama ikonik Etiqa selaku rakan strategik utama dan Harley-Davidson sebagai rakan kerjasama eksklusif.

    Malam yang dijangka penuh kehangatan ini dijanjikan sebagai perayaan muzik dan jiwa rock sebenar. Lebih menarik, sebuah motosikal Harley-Davidson Softail STD FXST bernilai RM114,000 lengkap dengan perlindungan insurans daripada Etiqa akan dihadiahkan secara ikhlas oleh Dato’ M. Nasir sendiri kepada seorang pembeli tiket bertuah malam itu.

    Dengan tema unik “Malam Ini Gua Rock”, konsert ini dijangka mencipta pengalaman berbeza daripada persembahan sebelum ini. Lagu-lagu ikonik rock ciptaan dan nyanyian Dato’ M. Nasir akan mengisi malam tersebut, membangkitkan kenangan, semangat dan nostalgia yang telah membentuk landskap muzik Malaysia selama lebih tiga dekad.

    “Kerjasama antara Icon Entertainment, Harley-Davidson dan Etiqa bukan sahaja mengangkat semangat rock, tetapi juga meraikan para peminat yang telah menyokong perjalanan seni Dato’ M. Nasir. Pemenang motosikal eksklusif akan dipilih daripada kalangan pembeli tiket tanpa mengira kategori tempat duduk,” ujar Iman Tang, pengasas Icon Entertainment.

    Kamaludin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etiqa Insurans & Takaful turut menyatakan keterujaan mereka, “Kami bangga menjadi sebahagian daripada pelancaran konsert ini, yang juga kami jadikan sebagai peluang memperkenalkan kempen digital menerusi aplikasi Etiqa+. Akses pra-jualan tiket eksklusif telah pun dibuka melalui aplikasi ini pada 3 Julai, dan lebih banyak kempen menarik akan diumumkan selepas ini.”

    Konsert CIPTA 3 merupakan penutup kepada trilogi konsert besar yang mendokumentasikan fasa-fasa penting dalam kerjaya Dato’ M. Nasir. Peminat digalakkan hadir dengan gaya Rock Cara Lu… Janji Rock meraikan kebebasan ekspresi dan personaliti setiap individu.

    Tiket konsert kini boleh didapati di www.ticket2u.com.my/mnasircipta3, dengan harga bermula RM258 hingga RM628. Maklumat lanjut tentang cabutan bertuah dan kempen digital boleh diikuti menerusi Instagram rasmi @iconentertainmentmy dan @datomnasircipta.

    Konsert DATO’ M. N46IR CIPTA 3 akan berlangsung pada 27 September 2025 (Sabtu), bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, bermula tepat jam 8 malam. Konsert ini dianjurkan oleh Icon Entertainment, dengan Etiqa sebagai rakan strategik utama serta Harley-Davidson sebagai rakan kerjasama eksklusif. Harga tiket bermula serendah RM258 (TEGUH) dan turut ditawarkan pada kategori RM358 (OPERA HIDUP), RM458 (ISI DAN KULIT), RM488 (SEJATI), RM558 (GADISKU), dan RM628 (PAWANA).

    Tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/mnasircipta3 atau menerusi talian hotline WhatsApp di 012-6530700. Akses pra-jualan eksklusif telah dibuka pada 3 Julai 2025, jam 2.00 petang kepada pengguna aplikasi Etiqa+, manakala jualan umum bermula 4 Julai 2025, jam 11.00 pagi. Peminat turut digalakkan hadir dengan tema pakaian “Rock Cara Lu… Janji Rock” sebagai simbol kebebasan gaya dan ekspresi malam itu. Jangan lepaskan peluang menyaksikan penutup trilogi konsert agung maestro Dato’ M. Nasir ini, lengkap dengan peluang memenangi sebuah motosikal Harley-Davidson bernilai lebih RM114,000!

    Rakan Strategik & Penaja:
    Etiqa (rakan strategik utama)
    Harley-Davidson
    DTC (pengangkutan rasmi)
    Radio Era, Sinar, Gegar & Zayan
    Astro Gempak (digital rasmi)

    Sertai Dato’ M. Nasir dalam penutup agung trilogi muziknya dan rebut peluang memenangi Harley-Davidson – hanya di Konsert DATO’ M. N46IR CIPTA 3!