Bella Astillah Sertai Konsert Holografik Glenn Fredly di KL

Pemergian Glenn Fredly pada tahun 2020 meninggalkan kesan mendalam kepada dunia muzik Nusantara. Namun warisan muziknya terus hidup, malah kini dihidupkan semula secara luar biasa menerusi konsert holografik istimewa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur. Antara nama yang mencuri perhatian untuk persembahan ini ialah penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah.

Menurut Bella, Glenn Fredly bukan sekadar idola, malah menjadi sumber inspirasinya sejak kecil. Lagu-lagu seperti “Kasih Putih”, “Januari”, dan “Akhir Cerita Cinta” bukan sahaja membentuk haluannya sebagai penyanyi, tetapi turut meninggalkan kenangan mendalam yang sukar dilupakan. Bella menyifatkan pemergian Glenn sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik serantau, namun tetap terinspirasi dengan kekuatan muzik yang ditinggalkan.

Kini, Bella berpeluang menzahirkan penghormatan itu dengan menyertai barisan artis terpilih dalam Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 18 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Selain Bella, konsert ini turut menampilkan barisan penyanyi hebat seperti The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.

Kuala Lumpur menjadi destinasi kedua selepas kejayaan konsert sama di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu. Penampilan holografik Glenn Fredly membuktikan bahawa teknologi moden mampu menghubungkan generasi dengan memori dan muzik masa lalu. Konsert selama dua jam setengah ini menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah pengalaman emosional, merentas waktu dan perasaan.

Bagi Bella, peluang ini adalah satu penghormatan besar. Dia mengakui teruja dengan teknologi yang bakal digunakan dan yakin ia akan menjadikan konsert tersebut begitu istimewa. Namun, Bella memilih untuk tidak mendedahkan butiran persembahannya lebih awal, sebaliknya mengajak para peminat hadir sendiri dan merasai keunikan konsert ini secara langsung.

Konsert yang dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd ini menandakan sejarah baharu buat industri hiburan tempatan bukan sahaja kerana format holografik yang julung kali diadakan di Malaysia, tetapi juga kerana penceritaan muzik yang menggabungkan warisan, teknologi dan penghormatan.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert ini boleh mendapatkan tiket melalui laman web rasmi www.ticket2u.com/GlennHologram. Beberapa promosi menarik turut ditawarkan termasuk tiket pasangan (couple) dengan harga RM266. Untuk pembelian individu, peminat boleh menggunakan kod promosi GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh untuk potongan harga sebanyak 30 peratus.

Untuk info terkini dan kandungan eksklusif, ikuti media sosial rasmi penganjur di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords, @glennfredlymusik, @matahatilive dan @blacksky.asia.