
Citrawarna Speed Festival 2026 kini berlangsung dengan membawa gabungan seni budaya dan sukan permotoran kepada orang ramai menerusi pelbagai aktiviti di tiga lokasi utama.
Festival yang berlangsung sehingga 4 Oktober 2026 ini diadakan di IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 KLIA dan Hotel Sama-Sama KLIA.
Di IOI City Mall Putrajaya, empat zon utama disediakan untuk pengunjung, merangkumi aktiviti simulator perlumbaan, maklumat pelancongan, seni dan kraf tradisional serta persembahan kebudayaan.
Antara tarikan utama ialah Colours of Parade yang akan berlangsung pada 3 Oktober dengan penyertaan kira-kira 1,500 penari dan penghibur kebudayaan.
Selain itu, acara penutup pada 4 Oktober akan menampilkan Aktivasi Lamborghini yang dijangka menghimpunkan kira-kira 100 buah kereta berkuasa tinggi.
Pengunjung di Terminal 1 KLIA dan Hotel Sama-Sama KLIA turut boleh menikmati persembahan kebudayaan, pameran automotif, permainan tradisional dan pengalaman simulator perlumbaan.
Citrawarna Speed Festival 2026 dianjurkan dengan sokongan pelbagai rakan strategik dan menjadi sebahagian daripada usaha mempromosikan Malaysia bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026-2027.
