Apabila keutuhan kesetiaan dalam persahabatan diuji oleh kehadiran seorang wanita, mampukah tercipta pengakhiran yang membahagiakan buat semua? Antara Dua Syurga, sebuah drama penuh konflik dan emosi, bakal menemui penonton di Slot Lestary TV3 pada Januari 2025. Mengangkat tema persahabatan, persaingan, keimanan, dan kerumitan hubungan manusia, drama ini menjanjikan pengalaman menonton yang menyentuh jiwa dengan nilai Islamik yang mendalam.
Di bawah pengarahan Faliq Sharif, drama 8 episod terbitan Lumatic Films ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabil Aqil, Tracie Sinidol, Zarif Ghazzi, Steve Yap, dan Liza Abdullah. Dengan naratif yang sarat emosi dan plot yang penuh kejutan, Antara Dua Syurga mengupas dilema kehidupan dan ujian persahabatan dua sahabat yang terperangkap dalam cinta tiga segi yang kompleks.
Kisah bermula dengan persahabatan erat antara Firdaus (Nabil Aqil) dan Naim (Zarif Ghazzi), rakan karib yang bekerja di sebuah agensi pengiklanan terkenal. Dikenali sebagai duo yang hebat, mereka sering berjaya menarik klien besar. Namun, persahabatan mereka diuji apabila ditugaskan untuk mendapatkan projek penting daripada Azami Food Industries. Tugas ini mempertemukan mereka dengan May Wong (Tracie Sinidol), ketua pemasaran yang terkenal dengan sifat sukar bekerja bersama.
Dalam usaha menarik perhatian May, Firdaus dan Naim menggunakan pelbagai strategi, termasuk mendekati minat May terhadap Islam. Hubungan profesional mereka berkembang menjadi lebih peribadi apabila May mula mengenali Islam dengan lebih mendalam. Setelah memeluk agama Islam, May memilih nama Jannah, yang bermaksud ‘Syurga’, simbolik kepada perjalanan spiritual dan transformasinya. Perubahan ini mendekatkan mereka bertiga tetapi turut mencetuskan konflik dalaman.
Ketegangan memuncak apabila Firdaus dan Naim menyedari mereka berdua jatuh hati kepada Jannah. Situasi menjadi semakin rumit dengan kemunculan Zain Rizman, ketua agensi pesaing yang menggunakan taktik licik untuk menggagalkan usaha mereka. Konflik antara kedua-dua sahabat ini memuncak apabila masing-masing berlumba-lumba untuk mendapatkan hati Jannah, sehingga persahabatan mereka yang kukuh mula retak.
Namun, setelah beberapa kejadian, Firdaus dan Naim bersetuju untuk membiarkan Jannah membuat keputusan sendiri. Namun, persoalan besar tetap menghantui: siapakah yang akan menjadi pilihan Jannah? Adakah persahabatan mereka akan kekal utuh, atau cinta akan memisahkan mereka?
Antara Dua Syurga menjanjikan perjalanan emosi yang mendalam, di mana penonton akan menyaksikan pergolakan hati dan pilihan sukar yang perlu diambil oleh setiap watak. Saksikan episod pertama drama ini yang bakal disiarkan mulai 3 Januari 2025, setiap Jumaat dan Sabtu jam 9.00 malam di Slot Lestary TV3. Anda juga boleh menonton episod terbaru 24 jam lebih awal secara eksklusif melalui Tonton di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Ikuti perkembangan terkini mengenai Antara Dua Syurga dan drama kegemaran lain melalui media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram @dramasangat. Jangan lepaskan peluang untuk menyelami kisah penuh emosi dan nilai keinsafan ini!