Kewujudan pertandingan program realiti kaca televisyen merancakkan lagi industri muzik tempatan. Dunia hiburan tanah air sentiasa meraikan kehadiran penyanyi baharu dalam menonjolkan bakat dimiliki.
Kehadiran bintang baharu ini melengkapkan lagi selera dan cita rasa peminat yang inginkan sesuatu yang segar untuk hiburan halwa telinga. Biarpun ada antaranya muncul dengan lagu bunyi 90-an, kelainan dari segi muzik itu masih menjadi keutamaan.
Terbaharu, syarikat rakaman Universal Music mempertaruhkan dua bakat baharu yang memiliki paduan vokal mantap, Achik Asrain dan Nadia Rosli menerusi lagu duet berjudul Sabarlah Hati hasil ciptaan komposer terkenal, Eddie Hamid.
Menurut Achik Asrain yang juga bekas peserta program Lagu Cinta Kita musim ketiga, ini adalah lagu duet pertama mereka selain menyifatkan ia kerjasama yang baik.
Lagu ini menceritakan pasangan kekasih yang setia kepada pasangan sehingga membawa keretakan perhubungan yang tidak ikhlas sehingga membawa perpisahan diantara mereka. Hubungan baru yang didasari oleh kejujuran, pengertian, dan saling menghargai sebenarnya ada di depan mata mereka, hanya saja tersembunyi oleh kerumitan dan kebingungannya sendiri. Achik juga menghuraikan bahawa, lagu ini mengisahkan mengenai percintaan yang musnah akibat daripada pasangan yang tak menghargai, hanya bermanis- manis pada awal perhubungan dan ia sekadar hubungan yang penuh sandirawa dari kata-kata dusta.
Achik meluahkan perasaan lega semasa proses rakaman lagu sangat berjalan lancar kerana dibantu oleh Eddie Hamid, seorang komposer yang cukup berpengalaman serta jurutera bunyi yang berpengalaman, Encik Amir. Proses menyiapkan lagu sangat baik dan tidak mengambil masa yang lama. Achik dan Nadia dibantu oleh individu yang memang berpengalaman dalam bidang mereka.
Kru dan semua yang terbabit dalam penggambaran MV Sabarlah Hati ini bantu kami untuk lebih menjiwai karakter bagi menjayakan MV ini. Nadia berkata cabaran dilalui ketika proses menyiapkan lagu dan MV Sabarlah Hati adalah pengalaman berharga buat mereka. Nadia berkata, banyak perkara yang menghiburkan sewaktu bersama kru produksi sepanjang pembikinan MV ini. Dia berterima kasih pada semua yang terbabit kerana banyak membantunya. Ini merupakan satu memori yang dia takkan lupakan.
Nadia berharap semoga lagu Sabarlah Hati dapat diterima ramai dan sekaligus melonjakkan nama mereka berdua dalam industri muzik. Semoga lagu ini dimainkan di corong radio serta di mana-mana platform digital.
Lagu Sabarlah Hati sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital pada 13 Oktober lalu. Muzik video juga boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.