“Pasca Kau Pergi” – Kisah Sebuah Keluarga di Ambang Kehancuran

Dalam dunia yang tidak selalu adil, lahirlah kisah menyentuh hati seperti Pasca Kau Pergi, sebuah drama yang menggali emosi terdalam tentang kasih, pengorbanan dan harapan. Bermula 20 Jun 2025, drama 13 episod ini akan ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3 dan strim percuma di iQIYI jam 8.00 malam.

Diarahkan oleh Rashidi Ishak dan diterbitkan KL Motion Pictures, Pasca Kau Pergi membawa penonton menyusuri liku-liku kehidupan sebuah keluarga yang dilanda musibah, melalui pandangan seorang remaja bernama Faris (lakonan Syed Irfan). Wataknya menyuluh realiti kanak-kanak yang terpaksa memikul beban dewasa apabila sistem keluarga mulai runtuh.

Barisan pelakon mantap seperti Liyana Jasmay, Johan As’ari, Qaidah Marha, Zamarul Hisham, Fiyya Amsyar dan Nadiya Nisaa memperkukuh kekuatan naratif drama ini. Kisah bermula dengan Zulkifli (Johan As’ari), bapa penyayang yang lumpuh selepas tragedi mengejut, lantas mengubah kehidupan isteri dan anak-anaknya.

Konflik memuncak apabila kasih mula pudar, rahsia terbongkar dan hanya Faris yang bangkit sebagai tulang belakang keluarga. Menurut Syed Irfan, membawakan watak Faris adalah cabaran besar, namun juga satu penghormatan untuk memberi suara kepada realiti remaja yang memikul tanggungjawab di usia muda.

“Watak Faris terlalu dekat dengan realiti yang mungkin sedang berlaku dalam banyak keluarga hari ini. Saya harap penonton dapat menyelami kesakitannya dan lebih menghargai peranan anak-anak seperti dia,” kata Syed Irfan.

Pasca Kau Pergi bukan sekadar drama air mata. Ia membuka ruang bicara tentang runtuhnya institusi keluarga, tekanan kewangan, trauma emosi dan keberanian luar biasa seorang anak yang tetap setia walau dunia seakan berpaling.

Bagi pengguna VIP iQIYI, episod baharu boleh distrim secara ekspres jam 8.00 malam setiap hari tayangan, manakala pengguna biasa boleh menikmatinya secara percuma selepas 48 jam. Aplikasi iQIYI boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.

Sejak 2020, iQIYI terus mendahului carta penstriman di Malaysia, dengan pertumbuhan pengguna lebih 15 kali ganda dan pengiktirafan sebagai platform hiburan Asia nombor satu berdasarkan muat turun dan tontonan aktif.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, ikuti laman sosial TV3 di @TV3Malaysia dan @dramasangat. Jangan lepaskan Pasca Kau Pergi drama yang bukan hanya mengalirkan air mata, tetapi membangkitkan kesedaran.