Tag: #YearEndSale2025

  • Havoc Trio Festival 2025 Kembali Lebih Besar: Belanja, Berhibur & Berjiwa dalam Satu Festival Rakyat

    Havoc Trio Festival 2025 Kembali Lebih Besar: Belanja, Berhibur & Berjiwa dalam Satu Festival Rakyat

    World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur bakal kembali menjadi tumpuan hujung tahun apabila Havoc Event & Management Sdn. Bhd. memperkenalkan Havoc Trio Festival 2025, sebuah acara mega yang menggabungkan tiga tarikan utama dalam satu festival besar Year-End Sale, Food Festival dan Back to School Fair. Berlangsung dari 4 hingga 7 Disember 2025 selama empat hari penuh, festival ini disasarkan menerima lebih 500,000 pengunjung dari seluruh negara. Dengan operasi dari 11 pagi hingga 11 malam, para pengunjung bakal menikmati lebih 300 vendor yang menawarkan makanan tular, pilihan gaya hidup dan keperluan pendidikan untuk seisi keluarga.

    Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management, Dato’ Firdaus Nadxaman, menjelaskan bahawa penganjuran edisi 2025 hadir dengan semangat dan hala tuju yang lebih luas. Menurutnya, Havoc Trio Festival bukan sahaja diwujudkan sebagai lokasi membeli-belah dan berhibur, tetapi sebagai platform yang merapatkan hubungan antara usahawan, vendor dan keluarga yang ingin merasai suasana hujung tahun dalam suasana yang positif serta inklusif.

    Edisi tahun ini turut membezakan diri dengan penambahan segmen Islamik dan kerohanian buat julung kalinya. Program seperti Malam Mahabbah, sesi motivasi dan pengisian rohani oleh pendakwah jemputan, persembahan nasyid serta kehadiran artis berkonsepkan Islamik memberi sentuhan unik kepada festival. Inisiatif ini diwujudkan untuk memberi pilihan kepada pengunjung menikmati hiburan yang seimbang, sambil mengisi jiwa dengan ketenangan dan nilai yang membina.

    Ketua Pegawai Operasi, En. Faizul Mohd Yusof, turut menekankan komitmen pihak penganjur untuk memastikan aspek teknikal dan keselamatan berada pada tahap terbaik. Beliau menyatakan bahawa pasukan Havoc memberi perhatian khusus kepada kelancaran pergerakan pengunjung, keselesaan vendor serta penyediaan kemudahan asas agar pengalaman semua pengunjung tanpa mengira umur kekal positif sepanjang festival.

    Havoc Trio Festival 2025 turut menyerlah dengan kehadiran ramai selebriti popular tanah air termasuk Aliff Aziz, Mark Adam, Ruhainies, Risteena Asfan Shah, Syura Badron, Qistina Raisya, Daud Latah, Chef Ammar, Azza Elite, Saharul Ridzwan, Vokey dan Zarina Zainuddin. Kehadiran Aliff Aziz yang kembali beraksi di Malaysia menjadi antara sorotan utama, memperlihatkan keterbukaan penganjur dalam memberi platform sokongan kepada penggiat seni yang ingin terus maju dalam kerjaya mereka.

    Selain persembahan artis, festival ini turut dimeriahkan dengan aktiviti menarik seperti Food Challenge, Lucky Draw Harian, Happy Hour Sale Countdown, Back to School Giveaway serta program kerohanian pada waktu malam. Pelbagai kejutan turut dirancang setiap malam untuk memastikan setiap hari membawa pengalaman berbeza dan penuh menghiburkan bagi semua pengunjung.

    Sejak ditubuhkan pada 2019, Havoc Event & Management Sdn. Bhd. terkenal sebagai antara penggerak festival terbesar di Malaysia melalui siri Havoc Food Festival (HFF) yang telah menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Johor serta kini melebarkan sayap ke Brunei. Dengan lebih 70 acara dianjurkan, Havoc terus memperkukuh jenama sebagai penganjur festival berskala besar yang berpengaruh di rantau ini.

    Havoc Trio Festival 2025 membawa konsep festival ke tahap yang lebih tinggi dengan mengangkat nilai perpaduan, memupuk semangat komuniti dan mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Ia bukan sekadar penutup tahun, tetapi harapan baharu dan kesinambungan visi Havoc Event & Management untuk terus mencipta pengalaman yang memberi makna kepada rakyat pada masa hadapan.