Tag: #SyriaAid

  • Rakyat Malaysia Berganding Bahu Pakaian Musim Sejuk Untuk Syria Bersedia Dihantar

    Rakyat Malaysia Berganding Bahu Pakaian Musim Sejuk Untuk Syria Bersedia Dihantar

    Syria Care telah menjalankan projek “Warm Their Winter” di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, selama lebih seminggu, dengan tujuan mengumpul pakaian musim sejuk baharu dan terpakai hasil sumbangan orang ramai. Projek ini menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat di Lembah Klang serta dari luar Selangor, terutamanya pada dua hari terakhir pengumpulan. Keghairahan masyarakat telah meningkatkan jumlah sumbangan daripada 756 kotak kepada 1,584 kotak pakaian, dengan anggaran berat setiap kotak antara 20 hingga 30 kilogram.

    Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Puan Siti Sakinah Binti Meor Omar Baki, menyatakan bahawa peningkatan sumbangan secara mendadak dalam tempoh dua hari terakhir adalah satu keajaiban daripada Tuhan dan bukti keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan. Beliau turut menegaskan bahawa sambutan hangat ini mencerminkan kasih sayang dan semangat kemanusiaan yang tinggi dalam diri masyarakat.

    Projek ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama 603 sukarelawan dan 17 staf Syria Care yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang tempoh 21 hingga 27 Oktober 2025. Semangat kerjasama, keikhlasan, dan dedikasi mereka menjadi tunjang kepada kelancaran keseluruhan kempen.

    Namun, cabaran utama yang dihadapi Syria Care kini ialah kekurangan dana untuk menghantar kontena bantuan tersebut ke Syria. Jumlah dana yang masih diperlukan adalah sebanyak RM150,000. Projek “Warm Their Winter” mendapat sokongan padu daripada HUMAM Relief, Ihsanku Malaysia, Majlis Bandaraya Shah Alam, dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3. Syria Care juga merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan daripada pelbagai institusi dan pertubuhan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kolej Poly-Tech MARA Kampus Bangi, Politeknik Nilai, Management and Science University, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Five Best, Majlis Belia Tahfiz Malaysia, Biro Wanita Desa Sentosa, The Charms Team, Yayasan Sukarelawan Siswa, Kindness Malaysia, dan Community4Syria.

    Selain itu, penghargaan turut disampaikan kepada rakan hab dan pengumpulan, rakan penyumbang, serta rakan penaja makanan dan minuman yang memainkan peranan penting dalam menjayakan misi ini. Rakan hab dan pengumpulan termasuklah Ihsanku Malaysia, Malaysian Relief Agency, Muslim Mart/Madrasah Nizhomiyah, Community4Syria, Kedai Adi, UPSI, USM, UM, KPTM Bangi, AlKhair Malaysia, Adina Charity Circle, Pusat Komuniti Desa Sentosa, Midity Education, FL Edukids, Bright Iman Enterprise, IKRAM Pahang, Rose2Rose Pahang, dan Masjid Mahmoodiah Putrajaya. Rakan penyumbang terdiri daripada The Charms Team, SRITI Tenaga Ihsan, JBR Bundle, Uniqlo, Happy Hive Playschool & Preschool, Grads, Jemaah Hasanah, dan Midity Education. Rakan penaja makanan dan minuman termasuk Restoran Ampera Raya, Zai Sri Gemilang, Azam Pandan, Restoran Padang On Wheel, Hamras Mart, Kedai Adi, dan ZUS Coffee.

    Penghantaran dua kontena bantuan pakaian musim sejuk ini merupakan fasa pertama daripada projek utama Syria Care iaitu “Winter Aid”, yang merangkumi tiga bentuk bantuan iaitu pakaian musim sejuk melalui program “Warm Their Winter”, bantuan bahan bakar melalui “Fuel Aid”, dan bantuan pek makanan melalui “Order Food”. Dengan matlamat mengumpul RM1.65 juta menjelang 31 Disember 2025, Syria Care menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong misi kemanusiaan ini. Setiap sumbangan yang dihulurkan, tidak kira besar atau kecil, akan membawa makna besar bagi mereka yang sedang menghadapi musim sejuk tanpa persediaan mencukupi. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Syria Care 562106653575 dengan rujukan WinterAid atau melalui laman sesawang syriacare.org.my/winteraid.