Tag: #BantuanMusimSejuk

  • Rakyat Malaysia Berganding Bahu Pakaian Musim Sejuk Untuk Syria Bersedia Dihantar

    Rakyat Malaysia Berganding Bahu Pakaian Musim Sejuk Untuk Syria Bersedia Dihantar

    Syria Care telah menjalankan projek “Warm Their Winter” di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, selama lebih seminggu, dengan tujuan mengumpul pakaian musim sejuk baharu dan terpakai hasil sumbangan orang ramai. Projek ini menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat di Lembah Klang serta dari luar Selangor, terutamanya pada dua hari terakhir pengumpulan. Keghairahan masyarakat telah meningkatkan jumlah sumbangan daripada 756 kotak kepada 1,584 kotak pakaian, dengan anggaran berat setiap kotak antara 20 hingga 30 kilogram.

    Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Puan Siti Sakinah Binti Meor Omar Baki, menyatakan bahawa peningkatan sumbangan secara mendadak dalam tempoh dua hari terakhir adalah satu keajaiban daripada Tuhan dan bukti keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan. Beliau turut menegaskan bahawa sambutan hangat ini mencerminkan kasih sayang dan semangat kemanusiaan yang tinggi dalam diri masyarakat.

    Projek ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama 603 sukarelawan dan 17 staf Syria Care yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang tempoh 21 hingga 27 Oktober 2025. Semangat kerjasama, keikhlasan, dan dedikasi mereka menjadi tunjang kepada kelancaran keseluruhan kempen.

    Namun, cabaran utama yang dihadapi Syria Care kini ialah kekurangan dana untuk menghantar kontena bantuan tersebut ke Syria. Jumlah dana yang masih diperlukan adalah sebanyak RM150,000. Projek “Warm Their Winter” mendapat sokongan padu daripada HUMAM Relief, Ihsanku Malaysia, Majlis Bandaraya Shah Alam, dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3. Syria Care juga merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan daripada pelbagai institusi dan pertubuhan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kolej Poly-Tech MARA Kampus Bangi, Politeknik Nilai, Management and Science University, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Five Best, Majlis Belia Tahfiz Malaysia, Biro Wanita Desa Sentosa, The Charms Team, Yayasan Sukarelawan Siswa, Kindness Malaysia, dan Community4Syria.

    Selain itu, penghargaan turut disampaikan kepada rakan hab dan pengumpulan, rakan penyumbang, serta rakan penaja makanan dan minuman yang memainkan peranan penting dalam menjayakan misi ini. Rakan hab dan pengumpulan termasuklah Ihsanku Malaysia, Malaysian Relief Agency, Muslim Mart/Madrasah Nizhomiyah, Community4Syria, Kedai Adi, UPSI, USM, UM, KPTM Bangi, AlKhair Malaysia, Adina Charity Circle, Pusat Komuniti Desa Sentosa, Midity Education, FL Edukids, Bright Iman Enterprise, IKRAM Pahang, Rose2Rose Pahang, dan Masjid Mahmoodiah Putrajaya. Rakan penyumbang terdiri daripada The Charms Team, SRITI Tenaga Ihsan, JBR Bundle, Uniqlo, Happy Hive Playschool & Preschool, Grads, Jemaah Hasanah, dan Midity Education. Rakan penaja makanan dan minuman termasuk Restoran Ampera Raya, Zai Sri Gemilang, Azam Pandan, Restoran Padang On Wheel, Hamras Mart, Kedai Adi, dan ZUS Coffee.

    Penghantaran dua kontena bantuan pakaian musim sejuk ini merupakan fasa pertama daripada projek utama Syria Care iaitu “Winter Aid”, yang merangkumi tiga bentuk bantuan iaitu pakaian musim sejuk melalui program “Warm Their Winter”, bantuan bahan bakar melalui “Fuel Aid”, dan bantuan pek makanan melalui “Order Food”. Dengan matlamat mengumpul RM1.65 juta menjelang 31 Disember 2025, Syria Care menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong misi kemanusiaan ini. Setiap sumbangan yang dihulurkan, tidak kira besar atau kecil, akan membawa makna besar bagi mereka yang sedang menghadapi musim sejuk tanpa persediaan mencukupi. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Syria Care 562106653575 dengan rujukan WinterAid atau melalui laman sesawang syriacare.org.my/winteraid.

  • Syria Care Lancar Projek Bantuan Musim Sejuk 11.0

    Dalam usaha untuk membawa bantuan kepada mangsa bencana kemanusiaan di utara Syria dan Lubnan, Syria Care dengan gembira mengumumkan pelancaran Projek Winter Aid 11.0 yang akan berlangsung dari 20 September 2023 hingga 31 Januari 2024.

    Projek Winter Aid, sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Musim Sejuk, merupakan inisiatif tahunan yang dijalankan oleh Syria Care sejak penubuhannya. Kali ini, usaha bantuan ini kembali untuk membantu komuniti yang memerlukan di kawasan yang terjejas.

    Bantuan kali ini melibatkan dua portfolio utama di bawah gerak kerja Syria Care iaitu Core Relief Items dan Food Security di mana ia merangkumi keperluan asas serta khusus bagi musim sejuk.

    Pengumpulan sumbangan bertujuan membantu para pelarian Syria yang menetap di utara negara tersebut juga yang mencari perlindungan di Lubnan. Buat masa sekarang, terdapat sejumlah 4.6 juta orang di utara Syria, di mana 97% daripada mereka hidup dalam kemiskinan tegar, sementara lebih daripada dua pertiga daripada mereka telah kehilangan tempat tinggal. Di Lubnan pula, ekoran krisis ekonomi yang merudum meletakkan para pelarian berada di situasi yang parah.

    Sudah jatuh, ditimpa tangga. Begitulah gambaran situasi yang dihadapi oleh pelarian Syria.

    Bertahun-tahun mereka hidup derita akibat serangan roket dan berbagai senjata, menjadi gelandangan mencari peluang untuk hidup tak kira di mana, mereka diduga pula dengan gempa bumi berukuran 7.8 mengikut skala Richter.

    Lebih enam bulan selepas gempa bumi kuat yang melanda utara Syria dan selatan Türkiye itu, ramai daripada mereka yang terjejas di Syria seakan dilupakan: proses baik puli serta pembinaan semula hampir tiada. Kejatuhan mata wang Syria serta peningkatan bear kos barang makanan serta kos pembinaan menambahkan kesusahan yang terpaksa mereka lalui apatah lagi peluang pekerjaan sangat terhad.

    Projek Warm Their Winter iaitu salah satu sub projek di bawah Winter Aid yang akan berlangsung dari 14-22 Oktober di Dewan Melati, Shah Alam. Projek ini dilaksanakan bertujuan membuka peluang kepada orang ramai membantu para pelarian secara langsung. Bagi menguruskan serta menjayakan projek ini, dana berjumlah RM150,000 diperlukan. Orang ramai boleh menghantar pakaian musim sejuk baharu dan terpakai serta ‘barangan lain seperti selimut tebal, lampin pakai buang, tuala wanita juga peralatan perubatan pada tarikh dan tempat yang dinyatakan di atas.

    Projek ini menyasarkan dua kontena dengan anggaran berat 68 tan dan dijangka akan tiba pada awal Disember bagi diagihkan kepada mereka yang memerlukan di sana.

    Di samping itu, projek Fuel Aid juga digerakkan bagi memastikan lebih banyak keluarga mendapat kehangatan yang diperlukan untuk melalui musim sejuk yang panjang. Bahan bakar seperti briket zaitun, diesel, kayu api dan arang merupakan keperluan penting sepanjang tempoh ini.

    Projek OderFood yang terkenal dengan tagline ‘Anda pesan, kami hantar’ pula, berjalan seiring bagi memberi peluang kepada orang ramai memesan makanan untuk dihantar kepada para pelarian sepanjang tempoh Winter Aid dilaksanakan.

    Winter Aid tahun in menyasarkan agihan kepada lebih dari lapan kawasan di sekitar Idlib, utara Aleppo dan kawasan utara Lubnan dengan 50,000 penerima manfaat.

    Musim sejuk pada kebiasaannya berlarutan selama empat bulan, maka lebih banyak bantuan diperlukan untuk menampung keperluan yang mendesak pada ketika ini. Sangat diharapkan tahun ini, kita tidak lagi mendengar berita kematian kanak-kanak mahupun orang tua akibat kesejukan melampau.

    Sehubungan itu, Syria Care amat mengharap sumbangan daripada semua pihak bagi memastikan penghantaran bantuan dapat dibuat dengan seberapa segera.

    Setiap ringgit yang anda sumbangkan memberi makna yang besar kepada mereka di sana.

    Bagi memperkasa usaha menyebar luas maklumat berkenaan penderitaan mereka di sana serta pemberitahuan berkenaan pelaksanaan projek-projek Syria Care, saudara Furan Fawwaz dilantik sebagai ikon kemanusiaan Syria Care. Furgan yang terkenal dengan lagu ‘Wanita Terbaik’ juga seorang pempengaruh media sosial pernah mengeluarkan single solo bertajuk Nusaibah dilihat sebagai calon yang sesuai kerana latar belakang serta minatnya yang tinggi terhadap kerja-kerja kemanusiaan.

    Projek Winter Aid juga mendapat kerjasama serta sokongan Sinar Karangkraf, Min Qalby Foundation, Qalby App, World Peace Entertainment, Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP ZON 3), De Haramain, Sasuke Bundle, Moon’s Kitchen serta Jakel Shah Alam. Bagi yang berminat untuk bekerjasama boleh hubungi En. Muhammad Nufazli bin Rahman di talian 011-1136 2567.

    Sumbangan bagi Winter Aid serta kerja-kerja kemanusiaan Syria Care boleh dibuat ke akaun Maybank: 562106653575 atau CIMB :8601894560 dengan rujukan ‘winteraid’.