Dua kugiran legenda Malaysia bakal disatukan dalam sebuah konsert bersejarah yang diberi nama Konsert Fenomena Samurai. Tanpa perlu menyebut nama kumpulan, hanya dengan menyebut perkataan Fenomena dan Samurai sahaja sudah cukup untuk para peminat muzik tanah air meneka siapa dua legenda tersebut. Search sinonim dengan Fenomena, manakala Samurai tidak lain tidak bukan mewakili XPDC. Gabungan dua nama besar ini pastinya mencetus keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat muzik rock tempatan.
Konsert yang akan berlangsung pada 13 Disember 2025 di Stadium Sarawak, Kuching ini menghimpunkan pemuzik-pemuzik hebat yang masing-masing sudah mencetak sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air. XPDC tampil dengan barisan Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu, manakala Search pula kental digawangi Din serta Kid. Kehadiran dua nama besar ini dijangka menjadikan Konsert Fenomena Samurai sebagai malam epik yang bakal meninggalkan memori berpanjangan buat penggemar muzik rock.
Penganjur bersama iaitu Seni Simfoni dan Bintang Batu Event menyifatkan Konsert Fenomena Samurai bukan sekadar sebuah persembahan biasa. Projek seni ini dirancang dengan teliti bagi memastikan kredibiliti kedua-dua kugiran yang mempunyai portfolio besar dalam dunia muzik kekal terjaga. Menurut Ikhram atau Atom dari Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event, kualiti muzik, bunyi serta persembahan menjadi fokus utama dalam penganjuran ini kerana Search dan XPDC adalah nama besar yang kekal relevan sejak era 80-an sehingga kini.

Bagi pihak Search, Din melihat konsert ini bukan sahaja sarat dengan nostalgia tetapi juga satu bentuk apresiasi terhadap peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan mereka. Beliau menegaskan bahawa Konsert Fenomena Samurai bukan sekadar persembahan lagu-lagu ikonik Search dan XPDC, tetapi juga simbol kepada perjuangan, kecintaan serta sepak terajang yang telah dilalui sepanjang karier muzik mereka.
Tiket Konsert Fenomena Samurai kini boleh didapati pada harga promosi awal iaitu RM250 bagi kategori VIP, RM188 untuk MOSH, RM104 untuk Free Standing, RM160 bagi Silver dan RM90 untuk Bronze. Selepas tempoh promosi, harga tiket akan dijual pada kadar biasa iaitu RM359 (VIP), RM269 (MOSH), RM149 (Free Standing), RM229 (Silver) dan RM129 (Bronze) sehingga menjelang tarikh konsert. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di pautan http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/.
Bagi peminat setia Search dan XPDC, Konsert Fenomena Samurai adalah sebuah acara yang tidak wajar dilepaskan. Inilah pentas yang bakal menyatukan dua legenda dengan kelompok peminat masing-masing dalam satu malam bersejarah. Lebih daripada sekadar hiburan, konsert ini adalah simbol gelombang fenomena baharu yang akan terus bergema dalam sejarah muzik rock Malaysia.