Kuala Lumpur, 13 Oktober 2022 – Salah satu konsert terbaik tahun ini ialah persembahan Search Rockin’ On Rooftop pada 11 Jun di Kompleks Campbell di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Lebih sebulan selepas konsert berlangsung, peminat masih memperkatakan mengenai konsert itu terutama dari segi ‘sound’, pemilihan lagu dan pastinya persembahan mantap anggota Search iaitu Denden Gonjalez (penyanyi), Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) serta pemain keyboard undangan, Firdaus.
Noordin mewakili Search berkata, mereka berterima kasih kepada peminat serta media yang memberi komen positif dan ulasan memberangsangkan terhadap konsert terbabit.
“Kebanyakan klip video yang dikongsi di media sosial oleh peminat mendapat jumlah tontonan yang cukup tinggi. Kami amat terharu apabila peminat menobatkan konsert itu sebagai konsert yang paling berpengaruh tahun ini,” katanya.
Perkongsian video itu turut membuatkan peminat yang tidak berkesempatan hadir ketika itu tidak sabar menantikan konsert seterusnya.
Dan, penantian itu nampaknya bakal berakhir apabila Search akan tampil dengan dua konsert selepas ini iaitu Rockin’ Arena di Penang Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang pada 24 Disember ini jam 9 malam dan Rockin’ On Rooftop di bumbung pusat beli-belah AEON Mall, Bandar Dato Onn, Johor Bahru pada 28 Januari tahun depan jam 9 malam.
Harga tiket untuk dua konsert ini ialah RM268 dan RM148 dan dijangka mula dijual minggu depan. Untuk pembelian dalam talian boleh ke www.fenomenasearch.com dan untuk pembelian secara fizikal boleh ke kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.
Search juga dijangka memainkan 20 hingga 22 lagu dalam konsert ini nanti. Dalam masa sama, mereka juga akan meningkatkan kualiti sistem bunyi, permainan muzik dan persembahan supaya lebih baik berbanding sebelum ini.
Noordin berkata, selepas berakhir Konsert Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, mereka dihujani banyak pertanyaan mengenai program Search selepas itu.
Search bukan saja menerima tawaran mengadakan konsert di dalam negara, tetapi juga di luar negara.
“Namun, kami mengambil sikap sangat berhati-hati dalam memilih untuk bersetuju. Perkara paling penting ialah Konsert Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell itu kami jadikan sebagai penanda aras untuk konsert seterusnya baik dari segi tempat, tarikh dan masa.
“Selain itu, spesifikasi peralatan muzik dan sistem bunyi juga mesti mempunyai kualiti yang sama atau lebh baik lagi. Pihak kami amat menitikberatkan piawaian ini selaras dengan nama besar Search yang cukup berpengaruh selama empat dekad dalam genre rock tanah air.
“Ini bermaksud apabila peminat menonton persembahan Search, mereka akan menikmati ‘standard’ Search itu sendiri dari segi kualiti bunyi dan penataan cahaya dikendalikan jurutera Search yang cukup berpengalaman,” katanya.
Selain dua lokasi di Pulau Pinang dan Johor Bahru yang sudah ditetapkan, Search juga bakal mengadakan konsert di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, namun ia masih dalam perbincangan dan pemilihan tarikh yang sesuai.
“Kami merancang untuk ke sana (Kuching dan Kota Kinabalu) hujung tahun ini, tetapi ia terpaksa ditunda berikutan situasi musim tengkujuh ketika ini. Ini kerana kami mahu membuat konsert di kawasan terbuka, jika buat di lokasi berbumbung tidak ada lokasi yang sesuai pula. Insya-Allah, mungkin kami akan ke sana tahun depan,” katanya.
Dalam masa sama, Search juga ada mengadakan perbincangan dengan penganjur konsert di Indonesia. Jika semuanya berjalan lancar, Search dijangka mengadakan konsert mereka di Bandung pada penghujung Februari tahun depan.
Menurut Noordin, dia bersama anggota Search mula menjalani latihan minggu ini selepas penyanyi, Denden kembali ke sini dari Indonesia, Isnin lalu.