Sebuah cerita tentang kesilapan, hidayah dan keberanian untuk berubah, Noktah Dosa tampil sebagai sebuah telefilem yang berani menyelami sisi kelam masyarakat tanpa prejudis. Menerusi slot Cerekarama TV3 Sabtu ini, karya sulung arahan pelakon terkenal Fattah Amin dalam format telefilem bakal mencabar persepsi penonton tentang makna dosa dan peluang kedua.
Diterbitkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Dari Layar Ke Lensa sebuah projek istimewa TV3 yang memberi ruang kepada selebriti popular seperti Fattah Amin, Siti Saleha, Janna Nick dan Zahiril Adzim untuk duduk di kerusi pengarah telefilem ini membuka lembaran baharu dalam penceritaan lokal yang lebih jujur, berani dan sarat nilai kemanusiaan.
Noktah Dosa mengisahkan Hafiz, seorang pelajar pascasiswazah sosiologi yang sedang membuat kajian tentang dunia pelacuran. Penyelidikannya membawanya ke lorong gelap ibu kota, di mana dia bertemu Kamelia – seorang wanita yang terjebak dalam dunia itu bukan kerana pilihan. Tersentuh dengan latar hidup Kamelia dan penderitaan yang disembunyikan di sebalik wajah tenangnya, Hafiz mula berusaha untuk membantunya keluar dari cengkaman Madam – figura pengendali sindiket yang dikawal penuh oleh watak garang lakonan Jasmin Hamid.
Namun, jalan menuju perubahan tidak semudah yang dibayangkan. Kamelia harus berdepan dengan trauma, rasa malu, dan ketakutan yang membelenggunya selama ini. Mampukah dia menemui jalan pulang? Dan sejauh mana masyarakat bersedia menerima seseorang yang pernah berada di titik paling gelap hidupnya?
Barisan pelakon mantap seperti Nafiz Muaz, Datin Elvina Mohamad dan Jasmin Hamid menghidupkan naskhah ini dengan penuh emosi dan nuansa. Di sebalik plot yang berat, Noktah Dosa menyorot nilai-nilai spiritual yang halus, menjadikan ia sebuah telefilem yang menyentuh jiwa, terutama ketika bicara tentang hidayah dan pengampunan.
Fattah Amin yang tampil buat pertama kali sebagai pengarah dalam telefilem mengakui bahawa Noktah Dosa adalah naskhah peribadi yang amat dekat dengan hatinya. “Saya nak sampaikan mesej bahawa setiap manusia berhak untuk berubah, walaupun masa silamnya gelap. Kita sebagai manusia jangan cepat menghukum. Hidayah itu milik Allah dan datang tanpa syarat,” jelasnya.
Menurutnya, antara cabaran paling besar ketika penggambaran adalah mendapatkan babak mandi yang simbolik kepada penyucian diri Kamelia. “Ia bukan sekadar adegan biasa. Saya mahukan visual air yang mengalir dengan solekan yang larut, melambangkan pelepasan dosa. Kami terpaksa ulang beberapa kali hingga jam 2 pagi, tapi akhirnya ia menjadi antara shot yang paling saya puas hati,” katanya.
Saksikan Noktah Dosa, telefilem yang mengangkat isu kemanusiaan dari lensa spiritual dan penuh keinsafan, pada Sabtu ini, 12 Julai, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3.
Projek Dari Layar Ke Lensa akan diteruskan dengan dua lagi telefilem menarik: Susu Lima Kupang arahan Janna Nick pada 19 Julai, dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim pada 26 Julai, di slot yang sama.
Ikuti segala perkembangan drama dan telefilem kegemaran anda di platform sosial rasmi TV3 (@TV3Malaysia) dan Instagram @dramasangat.

















