Dalam kehidupan ada yang berani tampil dengan identiti sebenar, namun ada juga yang memilih untuk bersembunyi di sebalik penyamaran. Di dunia yang penuh dengan pengkhianatan, kekuatan bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya ia menjadi jalan tunggal untuk bertahan. Drama baharu berjudul Ms. Incognito mengetengahkan realiti bahawa setiap manusia memiliki sisi gelap tersendiri, dan apabila kebenaran terbongkar, ia mampu menjadi senjata yang paling berbahaya. Drama ini bakal ditayangkan serentak di Malaysia dan Korea bermula 29 September 2025, eksklusif di Tonton.
Dibarisi pelakon hebat seperti Jeon Yeo-been, Jin-young, Seo Hyun-woo, Jang Yoon-joo dan Joo Hyung-young, drama ini mengisahkan tentang Bu Se-mi lakonan Jeon Yeo-been, seorang wanita yang terjebak dalam perkahwinan kontrak sambil hidup dalam penyamaran demi melindungi rahsia serta harta majikannya. Segala-galanya tampak terkawal sehinggalah kemunculan Choi Dong-min yang dilakonkan oleh Jin-young. Seorang lelaki jujur yang pada mulanya hadir sebagai sinar, namun tanpa disedari menjadi ancaman terbesar terhadap rahsia hidup Bu Se-mi.

Pertemuan mereka membawa kepada hubungan yang semakin rapat tetapi perlahan-lahan ia mula retak apabila kepercayaan mula dipersoalkan. Perasaan yang tercipta di antara mereka diuji oleh takdir yang sarat dengan pengkhianatan dan dilema antara cinta serta penyamaran. Mampukah Bu Se-mi mengekalkan rahsianya tanpa mengorbankan cinta yang hadir dalam hidupnya?
Hasil tulisan Hyun Gyu-ri dengan arahan Park Yoo-young, Ms. Incognito menawarkan jalan cerita asli yang penuh misteri, konflik emosi dan kejutan yang tidak mudah dijangka dari awal hingga akhir. Dengan watak-watak yang kompleks serta plot yang penuh teka-teki, drama ini menjanjikan pengalaman segar, mendebarkan dan memikat bagi peminat tegar K-drama.

Kisah ini membawa penonton menyelami sisi gelap kehidupan manusia, di mana identiti boleh ditukar, kepercayaan boleh dikhianati dan cinta boleh dikorbankan demi kelangsungan hidup. Setiap episod membuka rahsia baharu yang menguji kesetiaan serta kejujuran, sekali gus membuat penonton terus tertanya-tanya siapakah yang benar-benar mampu bertahan dalam permainan penuh tipu daya ini.
Tayangan perdana Ms. Incognito bermula pada 29 September ini, setiap Isnin dan Selasa jam 9.00 malam, serentak dengan siaran di Korea melalui Tonton. Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti platform rasmi Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram menerusi @tontonmy.