Tulus, Sal Priadi, Dere, Idgitaf & Kunto Aji Satukan Pentas KL 5 Disember Ini

Tur SAMA SAMA yang menjadi fenomena muzik di Indonesia kini meneruskan perjalanan ke Malaysia. Selepas menutup tirai di Bogor pada 24 Mei lalu, Tulus selaku salah seorang pemuzik yang terlibat telah menunaikan janji kepada para peminat untuk membawa kolaborasi ini ke luar negara. Kuala Lumpur menjadi destinasi kelima Tur SAMA SAMA dengan Idea Live Arena dipilih sebagai lokasi perdana pada 5 Disember 2025 bermula jam 7.30 malam.

Gabungan lima nama besar industri muzik Nusantara iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf menjadikan konsert ini sebuah persembahan istimewa yang sarat dengan nuansa kolaborasi. Tur ini tidak sekadar menampilkan persembahan solo tetapi juga menyajikan format duet, trio hingga kuintet. Para pemuzik turut bertukar lagu, mencipta susunan baharu dan mempersembahkan hasil yang hanya dapat disaksikan secara eksklusif di pentas Tur SAMA SAMA.

Penganjur bersama iaitu PT Expo Indonesia Jaya, Thrive dan Tiga Dua Satu menyatakan rasa teruja kerana dapat merealisasikan janji untuk membawa Tur SAMA SAMA ke Malaysia selepas kejayaan di empat kota besar Indonesia, iaitu Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor. Menurut Udzir Harris daripada Thrive, pengumuman mengenai Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi adalah satu impian besar setelah melihat sambutan hangat peminat di negara jiran. Bagi Bram Tulong dari Expoindo, Tur ini membawa tema kolaborasi tidak biasa yang lahir daripada apresiasi peminat yang luar biasa terhadap lima figura muzik berpengaruh ini.

Sal Priadi pula menambah bahawa pentas Tur SAMA SAMA akan memberikan pengalaman dinamik dengan format persembahan yang tidak pernah dilakukan di pentas lain. Janji tersebut kini direalisasikan dengan konsert epik yang bakal menghiburkan peminat muzik Malaysia pada hujung tahun ini.

Tiket untuk Tur SAMA SAMA telah mula dijual sejak 29 September 2025 bermula dengan harga RM228. Sebanyak 11 kategori ditawarkan termasuk Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite. Tiket boleh didapati melalui BBO Events dan laman rasmi samasamatur.com.

Acara ini turut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai rakan strategik. myBCA menjadi bank rasmi, manakala ERA, Sinar dan THR Gegar bertindak sebagai radio rasmi. Astro Gempak pula menjadi rakan digital rasmi dan Tourism Malaysia serta Cuti-Cuti Malaysia menyokong sebagai rakan utama.

Tur SAMA SAMA di Kuala Lumpur menjanjikan pengalaman muzik yang tidak dapat dilupakan. Para peminat diseru agar tidak melepaskan peluang menyaksikan kolaborasi luar biasa lima pemuzik hebat ini pada 5 Disember 2025 di Idea Live Arena.