Dalam usaha menyemarakkan sambutan Tahun Baharu dengan pendekatan spiritual, TV3 dengan kerjasama Al Falah Youth berbesar hati menganjurkan Majlis Haflah Al-Quran Bersama TV3 & Tonton. Acara ini akan berlangsung pada 31 Disember 2024, bertempat di Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya, Selangor, dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam. Dengan tema memperkukuhkan nilai keagamaan, program ini bertujuan merenung 2024 dengan penuh kesyukuran dan memupuk harapan baharu untuk 2025.
Haflah Al-Quran merupakan acara istimewa yang menghormati Al-Quran sebagai kitab suci umat Islam. Majlis ini bakal menampilkan bacaan Al-Quran secara tartil oleh qari dan qariah terkenal seperti Dr. Anuar Hasin, Johan Akademi Al-Quran Musim Ke-2, dan Ustaz Azraie Abdul Hak, Naib Johan Musabaqah Tilawah Antarabangsa. Ceramah motivasi oleh Ustaz Izzat Fathi, persembahan qasidah oleh pelajar KAFA Al-Falah, serta forum inspirasi turut melengkapkan majlis ini.
Program akan bermula dengan ketibaan tetamu pada jam 6.30 petang, diikuti Solat Maghrib pada 7.30 malam. Kemuncak Haflah Al-Quran berlangsung jam 8.00 malam dengan tilawah antarabangsa dan ceramah yang menggugah jiwa. Majlis akan ditutup dengan Doa Selamat buat TV3 dan rakyat Palestin pada jam 9.30 malam, menandakan penghormatan dan doa untuk kesejahteraan sejagat.
Dalam semangat solidariti, TV3 dan Tonton berdiri teguh bersama rakyat Palestin, menyeru sokongan dan kesedaran terhadap perjuangan mereka. Sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan, Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima juga akan dibuka untuk sumbangan. Orang ramai boleh menyumbang melalui akaun Bank Muamalat (1401 0008 8447 15) atau Maybank (5642 7651 0331).
Menurut Encik Ruzmi Kamarudin, Ketua Jabatan Pengisian Islam, Media Prima Berhad, “Majlis ini adalah inisiatif kami untuk menyatukan masyarakat melalui aktiviti spiritual yang bermakna, sambil terus menyokong kemajuan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Selain itu, ini juga adalah peluang untuk bersama-sama mendoakan mereka yang terkesan akibat bencana dan saudara-saudara kita di Palestin.”
Sebagai saluran televisyen pilihan utama rakyat Malaysia, TV3 terus komited dalam menyebarkan mesej perdamaian, kasih sayang, dan sokongan kepada masyarakat yang memerlukan. Melalui acara seperti Haflah Al-Quran ini, TV3 berharap dapat meningkatkan kesedaran dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Jangan lepaskan peluang untuk menghadiri malam penuh berkat ini. Untuk maklumat lanjut, layari www.xtra.com.my dan ikuti media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, Twitter (@TV3Malaysia) dan TikTok (@TV3MalaysiaOfficial). Gunakan hashtag rasmi #TV3SentiasaBersamamu untuk bersama-sama memeriahkan perbualan tentang program ini di media sosial.