“‘Keluarga Itu’ dari Skrin ke Realiti: Iftar Penuh Erti!”

Dalam meraikan kempen Ramadan Raya Indahkan Memori, drama fenomena Keluarga Itu membawa kehangatan kisahnya ke dunia nyata menerusi majlis iftar istimewa di LADO By The Lake, Shah Alam, semalam. Acara ini bukan sekadar sesi berbuka puasa, tetapi juga peluang eksklusif buat peminat untuk bertemu dan berinteraksi dengan barisan pelakon, menjalin kenangan bermakna serta mengeratkan hubungan antara penonton dan watak-watak yang mereka kasihi.

Ditaja oleh Samsung, inisiatif ini turut bertujuan mengukuhkan promosi siri tersebut dan meningkatkan keterlibatan penonton dalam suasana komuniti di RARA 2025. Bertemakan “Ramadan Bersama: Kasih dan Keberkatan”, majlis bermula dengan penuh keriangan apabila Shahrul Kamal mendendangkan lagu raya yang membangkitkan semangat perayaan. Kemuncak acara menyaksikan segmen interaktif yang menghiburkan, di mana pelakon utama Keluarga Itu, Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Izara Aishah, Muaz Zabir, Puteri Balqis, dan Melissa Campbell beraksi dalam permainan bersama peminat bertuah. Sorakan dan gelak tawa menghiasi suasana sebelum majlis kembali tenang menjelang waktu berbuka. Sebagai penutup, duo adik-beradik Shiha Zikir dan Ida Zikir menghidupkan suasana dengan alunan lagu raya yang menggamit nostalgia.

Di sebalik kemeriahan majlis, Keluarga Itu bukan sekadar sebuah drama biasa. Sejak episod pertamanya bersiaran pada 28 Februari lalu, ia telah mencetuskan pelbagai perbincangan hangat mengenai realiti pahit dalam institusi keluarga daripada konflik rumah tangga hingga penderitaan anak-anak, termasuk cabaran membesarkan kanak-kanak istimewa yang menghidap autisme. Dalam tempoh 12 episod, drama ini telah menyentuh hati ramai, mengundang reaksi emosi yang pelbagai, daripada kemarahan dan kekecewaan hingga rasa simpati yang mendalam. Lebih daripada sekadar hiburan, Keluarga Itu membuka mata tentang sisi gelap kehidupan sebenar, di mana pengkhianatan dalam keluarga bukan sekadar imaginasi, tetapi realiti pahit bagi sebilangan individu di luar sana. Kisah ini bukan sahaja memberi kesedaran, malah mendorong ramai penonton berkongsi pengalaman peribadi mereka yang menyentuh hati.

Selain itu, dengan kerjasama Samsung, satu lagi siri menarik Keluarga Antara Insan turut menjadi tumpuan dalam majlis ini. Berlatar belakangkan komuniti erat di Taman Antara Insan, siri 10 episod ini mengisahkan perseteruan dua jiran, Dahlia dan Amir, yang pada awalnya terjebak dalam konflik kecil melibatkan seekor kucing dan calar pada kereta Amir. Namun, dengan kehangatan Ramadan dan nilai kekeluargaan yang diterapkan, perbalahan mereka bertukar menjadi ukhuwah penuh gelak tawa dan kasih sayang. Menariknya, Muaz Zabir dan Puteri Balqis, yang turut membintangi Keluarga Itu, juga membintangi siri ini bersama Aleza Shadan dan Amirulhakim Lokman. Keluarga Antara Insan bakal menemui penonton secara eksklusif di TikTok @samsungmalaysia dan @TV3Malaysia, jadi jangan lepaskan peluang untuk menontonnya!

Untuk maklumat lanjut mengenai program Ramadan Raya di TV3, TV9 dan Tonton, ikuti laman media sosial rasmi di Facebook, Instagram dan Twitter: @TV3Malaysia, @TV9Malaysia, dan @TontonMY. Gunakan #IndahkanMemori dan abadikan detik istimewa anda bersama TV3, TV9 dan Tonton!