Indah Ruhaila kembali menghadiahkan single terbaharu

Sungguh mengejutkan bahawa perjalanan seni yang memukau dari penyanyi yang mempunyai suara lunak ini telah melepasi jangka masa 15 tahun. Dengan semangat dan kasih sayangnya terhadap seni nyanyian, Indah Ruhaila kini kembali mempersembahkan single terbaru yang begitu dinantikan oleh peminatnya, bertajuk ‘INDAH’. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal negara, Firdaus Rahmat, dan diterbitkan oleh label hiburan yang paling berpengaruh di rantau ini, Rocketfuel Entertainment.

“Alhamdulillah, saya masih lagi giat memperjuangkan bakat yang dikurniakan Tuhan dan masih lagi aktif menerima undangan nyanyian di sana-sini.

“Syukur di atas kelahiran single terbaharu ini dan yang pertama seumpamanya di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, saya berasa terharu berbaur gembira kerana sudah lama tidak muncul dengan mana-mana lagu baharu.

“Secara jujurnya, saya agak memilih dalam penghasilan sesebuah karya kerana hendak pastikan ianya betul-betul bermutu, menepati citarasa saya dan yang paling penting, dapat menarik perhatian halwa telinga peminat dan juga pendengar di luar sana,” ujar pemilik nama sebenar, Siti Ruhailah Hussein, 36.

Single INDAH merupakan buah fikiran Indah sendiri yang mahukan kelainan dalam komposisi melodinya, dan seakan transformasi bagi dirinya yang merupakan penyanyi berpengalaman dan lebih matang dalam berkarya, ditanya apakah maksud single ini buat dirinya, ini penjelasannya, “Jalan cerita lagu ini datang dari saya, setelah berbincang dengan komposer Firdaus Rahmat, hasilnya sebuah karya yang lain dari lain dan kedengaran sedikit ‘fresh’ dan lebih kepada ‘feel’ masa kini.

“Ia menceritakan tentang kemampuan seorang wanita yang pasti beroleh kebahagiaan jika mereka mencintai diri sendiri dahulu, kiranya seperti ‘self-love’, seterusnya perasaan ‘indah’ itu akan datang dengan sendirinya.

Single INDAH berjaya dirakamkan dalam masa 2 jam sahaja di Studio World Peace, dan kali pertama mendengarnya, pendengar pasti terhibur dengan karya bernuansa pop dansa ini kerana ada patah di dalamnya yang dinyanyikan secara rap oleh Indah sendiri, menyuntik elemen kelainan yang dimahukan selain menjadikannya lebih ‘tersendiri’, tambah Indah lagi, “Setelah sekian lama saya tidak hadir dengan mana-mana lagu baharu, saya anggap ini sebagai hadiah melepaskan kerinduan peminat yang sudah lama menunggu, serta jangan lupa menyaksikan MV INDAH di YouTube nanti yang berkonsep minimalis dengan elemen yang ‘indah-indah’ sahaja.

“Saya berharap supaya INDAH dapat diterima oleh semua, terutamanya peminat saya dan pelbagai penggemar muzik tanah air, tidak mengira peringkat umur.

Lagu ‘INDAH’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala muzik video single ini boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *