Ewon Galak Usahawan Sabah Teroka Peluang Francais
2 min readMenteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyeru lebih ramai usahawan tempatan untuk menceburi sektor francais sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Menurut beliau, sektor ini berpotensi besar membantu usahawan meningkatkan daya saing serta meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Setakat ini, lima syarikat tempatan Sabah telah berjaya memperoleh sijil francais, termasuk Fook Yuen Cafe & Bakery yang menerima sijil pendaftaran francais pada Karnival UDA Bersama BizFrancais PERNAS baru-baru ini. Restoran berkonsepkan tempatan itu kini mengoperasikan tujuh cawangan di seluruh Sabah dan merancang untuk mengembangkan perniagaan ke Semenanjung serta pasaran antarabangsa.

Selain itu, Ewon turut melawat Packaging Mart yang diusahakan oleh usahawan wanita, Deana Mojigoh. Perniagaan itu mendapat pembiayaan RM250,000 daripada PERNAS melalui Program Successful Woman Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET). Beliau menegaskan bahawa kejayaan perniagaan francais seperti Fook Yuen dan Packaging Mart wajar dijadikan inspirasi oleh usahawan lain di Sabah.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama PERNAS terus komited memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi merancakkan pembangunan francais di seluruh negara, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab francais yang berdaya saing.