Perkongsian kukuh dua jenama kukuh ini dijangka membawa CHAGEE ke 300 lokasi baharu dalam masa tiga tahun
CHAGEE Malaysia, jenama teh premium terkemuka yang telah merevolusikan budaya teh moden, kini melangkah lebih jauh dalam pelan pengembangannya dengan menjalin usaha sama strategik bersama Kumpulan Magma – syarikat konglomerat Malaysia yang pesat berkembang dalam sektor hospitaliti, hartanah dan pelaburan.
Melalui anak syarikatnya, Magma Chain Management Sdn Bhd, Kumpulan Magma secara rasmi telah memeterai perjanjian langganan dan usaha sama dengan CHAGEE (M) Sdn Bhd untuk menubuhkan entiti baharu yang dinamakan Chagee Magma Sdn Bhd (JVC). Dalam perkongsian ini, CHAGEE memegang 60% ekuiti manakala Magma Chain Management memiliki 40%.
Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk mempercepatkan peluasan runcit CHAGEE di seluruh Malaysia melalui pembukaan sehingga 300 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun, tertakluk kepada keadaan pasaran. Butiran pelancaran akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Sejak kemunculannya pada 2017, CHAGEE telah menjadi simbol budaya teh baharu – menggabungkan warisan teh tradisional dengan gaya hidup moden yang segar dan inovatif. Selepas menembusi pasaran Malaysia pada 2019 di bawah nama BaWangChaJi, CHAGEE menyatukan penjenamaannya secara global pada 2021. Malaysia kini menjadi pasaran luar negara terbesar bagi CHAGEE, dengan operasi tempatan yang juga diperakui Halal oleh JAKIM.
Menurut Dato’ Sri Thomas Liang Chee Fong, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Magma, “Perkongsian ini adalah cerminan strategi kami untuk menyertai sektor gaya hidup berpotensi tinggi. CHAGEE memiliki kekuatan jenama dan daya tarikan pengguna yang mengagumkan, apatah lagi dengan penyenaraian global mereka di Nasdaq baru-baru ini. Dengan pengalaman tempatan kami, kami yakin dapat memacu nilai besar dalam pasaran minuman premium.”
Melalui usaha sama ini, CHAGEE akan membawa kepakaran produknya yang terbukti dan jenama kukuh, manakala Kumpulan Magma akan menyumbang kepada strategi pembangunan lokasi dan pemahaman mendalam tentang pasaran Malaysia.
Kerjasama ini bukan sekadar pengembangan perniagaan ia sejajar dengan aspirasi Kumpulan Magma untuk membina portfolio gaya hidup dinamik yang menyantuni keperluan pengguna moden Malaysia serta mencipta nilai jangka panjang yang mampan untuk pemegang saham.