Aura Jung Yong Hwa Penuhi Mega Star Arena, Konsert Solo Jadi Kenangan Indah

Malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur menjadi saksi kepada persembahan solo sulung Jung Yong Hwa di Malaysia menerusi konsert 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’. Dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment, konsert ini berjaya memukau lebih 2,000 peminat setianya, BOICE, yang hadir dengan penuh semangat bagi meraikan idola kesayangan mereka.

Yong Hwa membuka tirai persembahan dengan penuh karisma, tampil segak dalam sut kemas dan berkaca mata. Beliau membuat gimik istimewa apabila berjalan dari kawasan penonton menuju ke pentas, simbolik kepada perjalanan karier solonya yang kini mencecah lebih sedekad. Lagu “One Fine Day” dan “Your City” menjadi pilihan pembukaan, sebelum beliau menyapa penonton dalam Bahasa Melayu dengan ucapan mesra, “Apa khabar sayang?” Beliau turut mengakui cuaca panas di Kuala Lumpur tidak menjadi halangan, malah menambahkan keterujaannya dapat bertemu peminat sekali lagi.

Sebelum ini, Yong Hwa pernah mempelajari beberapa perkataan Bahasa Melayu ketika kunjungan CNBLUE ke Malaysia. Kali ini, beliau lebih kerap menggunakan ungkapan seperti “Mantap”, “Janji”, “Bagus” dan “Terima Kasih” sepanjang konsert. Malah, dalam satu momen spontan, beliau menambah perkataan baharu “Jerit semua!” yang serta-merta mencetuskan sorakan gemuruh daripada penonton.

Interaksi mesra bersama peminat tidak terhenti di situ. Ketika ditanya mengenai makanan tempatan, penonton menyarankan durian, yang dibalas Yong Hwa dengan penuh berseloroh, “Durian all day long?” Jawapan itu mengundang gelak tawa dan sorakan riang dari seluruh dewan. Lebih menarik, beliau turut berkongsi bahawa rakan rapatnya, pelakon terkenal Park Bo Gum, sempat bertemunya di belakang pentas hanya dua jam sebelum konsert bermula.

Sepanjang lebih tiga jam persembahan, Yong Hwa bukan sahaja memukau dengan nyanyian dan tarian, tetapi juga menampilkan sisi mesra serta penuh kejutan. Beliau kembali ke pentas untuk dua kali encore, mempamerkan kemahiran bermain dram dan turun ke kawasan BOICE Zon untuk berinteraksi lebih dekat dengan peminat.

Konsert yang sarat dengan momen manis ini berakhir dengan penuh gemilang, meninggalkan kenangan istimewa buat semua yang hadir. Malam tersebut bukan sahaja menandakan kejayaan persembahan solo pertama Jung Yong Hwa di Malaysia, tetapi juga membuktikan bahawa pesona bintang Korea ini terus kekal memikat hati peminat tanpa mengira masa.