Kuala Lumpur Jadi Tumpuan Pelancongan Strategik Sempena Hari Pekerja Sedunia dan Festival Muzik Air Rain Rave

Malaysia akan terus bergerak ke hadapan secara berhemah dan bertanggungjawab ketika Kuala Lumpur bersiap sedia untuk meraikan Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave yang akan berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei 2026 di Bukit Bintang. Festival ini memberi peluang untuk mengalu-alukan pelawat dari seluruh rantau dan luar negara untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman bersama yang merentas budaya di Malaysia.

Selain acara utama di Kuala Lumpur, tujuh negeri turut menyatakan kesediaan mereka untuk menganjurkan aktiviti berkaitan yang bertemakan selari dan saling melengkapi, disesuaikan dengan konteks tempatan serta elemen budaya masing-masing. Negeri-negeri tersebut termasuk Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang dan Terengganu, sekali gus mencerminkan penyertaan yang lebih meluas di peringkat kebangsaan dalam meraikan acara ini.

Acara ini dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame sebagai sebahagian daripada ekosistem pelancongan Visit Malaysia 2026 yang lebih luas. Walaupun persekitaran global kekal tidak menentu, dalam tempoh sebegini penekanan perlu diberikan kepada usaha mengekalkan aktiviti ekonomi dan memastikan pertumbuhan yang inklusif. Inisiatif pelancongan yang dirancang dengan baik memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan tempatan, mengukuhkan daya tahan industri serta memastikan manfaat pertumbuhan pelancongan dapat diagihkan dengan lebih meluas, termasuk kepada komuniti B40.

Festival Muzik Air Rain Rave dilihat sebagai pengaktifan pelancongan bandar strategik yang mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia serta mempromosikan keterangkuman, dengan menghimpunkan pemain industri, rakan kreatif dan pihak berkepentingan komersial, di samping meningkatkan kehadiran pelawat serta merangsang perbelanjaan merentas sektor runcit, hospitaliti dan perkhidmatan. Selain hiburan, festival ini turut mengintegrasikan elemen pelbagai budaya Malaysia, bakat kreatif tempatan dan pengalaman gaya hidup terkurasi yang mencerminkan kekuatan ekosistem industri kreatif negara, sambil menarik minat khalayak domestik dan antarabangsa. Pengunjung boleh menjangkakan persekitaran imersif yang diinspirasikan oleh hujan, barisan DJ antarabangsa dan serantau bersama artis Malaysia, serta pengalaman pasar tempatan terkurasi yang menampilkan makanan, budaya dan ekspresi kreatif Malaysia.

Rain Rave kekal berteraskan identiti Malaysia dengan pendekatan kontemporari yang mencerminkan gabungan tradisi dan kreativiti moden. Diinspirasikan oleh hujan sebagai elemen semula jadi penting dalam persekitaran Malaysia, festival ini mentransformasikan elemen tersebut kepada ekspresi kreatif dan budaya, sambil mempamerkan kepelbagaian tradisi budaya Malaysia melalui persembahan tradisional, makanan dan permainan. Bersempena Hari Pekerja, festival ini juga berfungsi sebagai penghargaan bermakna kepada sumbangan semua komuniti pekerja dan akan dibangunkan sebagai acara tahunan berprestij, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai sorotan utama dalam kalendar pelancongan Malaysia serta memposisikan negara sebagai destinasi yang muda dan bertenaga.

Acara ini turut disokong oleh rangkaian pihak berkepentingan awam dan swasta. Sokongan budaya dan kandungan disediakan oleh agensi seperti Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (KRAFTANGAN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Jabatan Warisan Negara (JWN), sekali gus mempertingkatkan keseluruhan pengalaman pelawat. Tourism Malaysia menyokong inisiatif ini melalui usaha promosi destinasi di bawah Visit Malaysia 2026, manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras, bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar, pematuhan peraturan serta keselamatan awam.

Perancangan menyeluruh telah disediakan termasuk pengurusan trafik, langkah kawalan orang ramai, protokol keselamatan dan penyelarasan dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran yang selamat, teratur dan terkawal untuk semua pengunjung. Kementerian kekal komited untuk mengimbangi keutamaan ekonomi dengan pelaksanaan yang bertanggungjawab. Ketika Malaysia mengharungi landskap global yang kompleks, fokus kekal jelas untuk mengekalkan pertumbuhan, mengukuhkan keyakinan dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing, stabil serta berpandangan ke hadapan. Sekali lagi, Malaysia terus mengalu-alukan pelawat dari seluruh dunia.