Misi Perdagangan Francais ke Osaka, Jepun yang berlangsung pada 27 hingga 29 Ogos 2025 telah menjadi pencapaian penting bagi industri francais negara. Misi anjuran KUSKOP dengan kerjasama PERNAS dan MFA ini berlangsung sempena Franchise Expo Osaka 2025 (FRAX 2025) di INTEX Osaka dan diketuai oleh YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP.
Penyertaan Malaysia di Osaka adalah kesinambungan daripada misi terdahulu ke China dan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyokong francais tempatan menembusi pasaran antarabangsa. Jepun dipilih kerana mempunyai pasaran yang matang serta permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti, terutamanya yang mematuhi piawaian halal.

Sebanyak lapan syarikat francais Malaysia terlibat dalam misi ini bagi memperkenalkan jenama tempatan, mengukuhkan jaringan perniagaan dan meneroka peluang di rantau Asia Timur. Pelbagai inisiatif telah dijalankan termasuk perbincangan dengan Japan Franchise Association (JFA) serta kolaborasi bersama Kumon, francais pendidikan terkenal Jepun.
Misi ini sekali lagi mengesahkan keupayaan francais Malaysia untuk berkembang ke luar negara, di samping mengangkat imej Malaysia di mata dunia. KUSKOP yakin inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pengiktirafan jenama Malaysia di Jepun, malah turut memperkukuh hubungan dagangan dua hala, seterusnya menyokong aspirasi Dasar Francais Negara 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Francais ASEAN menjelang 2030.