Wajah Sebenar di Sebalik Skrin: 999 Bongkar Jenayah Pedofilia Digital

Dalam usaha menyampaikan realiti jenayah yang semakin meruncing di dunia siber, program penyiasatan terkenal TV3, 999, bakal menyiarkan episod khas bertajuk “Pemburu Pedo” sempena ulang tahun ke-41 stesen tersebut. Episod ini akan ke udara pada 25 Jun 2025, jam 8:00 malam, membongkar sisi gelap jenayah pedofilia digital yang semakin membimbangkan masyarakat Malaysia.

Lebih daripada sekadar laporan, “Pemburu Pedo” menyajikan pendedahan eksklusif tentang bagaimana pelaku pedofilia bersembunyi di balik identiti maya sambil memperdaya mangsa kanak-kanak tidak berdosa melalui platform digital yang sering disalahgunakan.

Sebagai latar, episod ini menyorot semula beberapa kes yang pernah menggemparkan Malaysia dan dunia:

Kes Amirul Arif Mohd Yunos, rakyat Malaysia yang ditahan di United Kingdom pada 2024 atas kesalahan memiliki dan menyebar bahan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Kes Richard Huckle (2016), penjenayah pedofilia dari Britain yang merogol dan mendera lebih 200 kanak-kanak, termasuk 23 mangsa di Malaysia.

Pada tahun ini pula, rakyat Malaysia digemparkan dengan kewujudan kumpulan Facebook bernama “Grup Budak Sekolah”, yang menyebarkan imej lucah pelajar sekolah rendah, dan didedahkan oleh pengguna media sosial, Mek Yun.

Sebagai respons terhadap ancaman ini, Unit D11 Bukit Aman telah melancarkan Operasi Cyber Guardian dari 24 Februari hingga 28 Mac 2025, menyasarkan aktiviti pedofilia digital di Selangor dan Pulau Pinang. Hasilnya, empat individu termasuk seorang penjawat awam berjaya diberkas, dan lebih 50,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) telah dirampas.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa jenayah terhadap kanak-kanak tidak akan dikompromi. Tindakan tangkas dan siasatan mendalam oleh pasukan khas polis menjadi benteng terakhir mengekang gelombang jenayah siber yang semakin rumit.

Menutup episod penuh peringatan ini, 999 turut menyeru masyarakat agar memainkan peranan lebih aktif. Peka terhadap persekitaran digital anak-anak, dan berani membuat laporan jika mengesan sebarang unsur eksploitasi seksual kanak-kanak. Laporan boleh dibuat terus ke balai polis terdekat, atau menerusi saluran rasmi PDRM.

Jangan lepaskan episod istimewa “Pemburu Pedo” dalam rancangan 999, pada 25 Jun ini, jam 8.00 malam hanya di TV3 pendedahan penting yang wajar ditonton oleh semua rakyat Malaysia demi melindungi generasi masa depan.