EJEN ALI THE MOVIE 2 CETUS SEJARAH!

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini bergelar juara kutipan tertinggi sepanjang zaman bagi kategori filem animasi yang pernah ditayangkan di pawagam Malaysia, sama ada tempatan mahupun antarabangsa! Dengan jumlah kutipan mencecah RM55.1 juta, kejayaan luar biasa ini bukan hanya membanggakan industri animasi negara, tetapi juga meletakkan karya tempatan sebaris dengan gergasi global.

Dalam tempoh dua bulan tayangan, EATM2 telah mengatasi kutipan pelbagai filem blockbuster antarabangsa, membuktikan bahawa naskhah dengan jiwa tempatan, nilai kekeluargaan dan aksi berkualiti tinggi mampu menjadi fenomena nasional. Filem ini juga terus menerima sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat – kanak-kanak, remaja, mahupun dewasa.

Menurut pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, “Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama. Ia milik setiap ‘ejen’ yang telah menyokong kami dari mula. Terima kasih kepada semua penonton, para peminat setia, kru produksi, barisan pelakon suara, serta rakan strategik seperti Primeworks Studios yang terus menyuntik semangat baru sepanjang promosi filem ini berlangsung.”

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios berkata, “Kami sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa ini. Namun misi kami belum berakhir. Kami menyasarkan untuk mencapai kutipan RM60 juta – satu angka simbolik untuk membuka lebih banyak peluang penghasilan siri animasi berkualiti pada masa hadapan.”

Diterbitkan oleh WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios, Ejen Ali The Movie 2 bukan sekadar sekuel biasa. Ia mempersembahkan visual sinematik memukau, jalan cerita penuh emosi, dan naratif yang relevan dalam dunia teknologi masa kini. Kisah Ali yang semakin matang dan berhadapan konflik besar memberikan impak besar dalam mengangkat mutu penceritaan animasi Malaysia ke tahap baharu.

Masih ditayangkan di pawagam seluruh negara, EATM2 menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus menjadi sebahagian daripada misi ini. Saksikan semangat “SATRIA, BANGKIT!” dan kongsikan pengalaman anda di media sosial.

Kerja Kita Belum Selesai – Ayuh ke pawagam dan bantu Ejen Ali capai RM60 juta!