Tag: #TemanKulinari

  • SAJI Raikan Kemeriahan Syawal Dengan Kempen “Menyala Lagi Raya”

    Hadir melancarkan majlis ialah Pengerusi FELDA, Dato Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengarah Besar FELDA; Dato Dr Suzana Idayu Wati Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Dato Fakhrunniam Othman, Ahli Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad; Nurul Muhaniza Hanafi dan Ketua Produk Pengguna Kumpulan FGV Holdings Berhad; Aznur Kama Azmir.

    FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi jenama SAJI telah lebih 25 tahun bertapak sebagai antara jenama pilihan isi rumah di Malaysia. Dikenali dengan minyak masak berasaskan sawit berkualiti tinggi, SAJI kini berkembang sebagai jenama kulinari yang menawarkan pelbagai produk keperluan dapur termasuk marjerin, krimer, mi segera serta aneka bahan masakan seperti sos, kicap dan pes, selari dengan cita rasa dan gaya hidup pengguna Malaysia masa kini.

    Sempena musim perayaan tahun ini, SAJI melancarkan kempen Menyala Lagi Raya yang mengangkat tema semangat Aidilfitri yang sentiasa menyala dalam setiap rumah. Majlis pelancaran telah berlangsung pada Khamis, 12 Februari 2026 dalam suasana penuh bermakna di Menara Felda. Sebagai tunjang utama kempen, SAJI bakal mempersembahkan sebuah muzikal lagu Raya yang menggabungkan elemen hiburan, emosi dan tradisi dalam penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat. Lebih daripada sekadar karya kreatif, Menyala Lagi Raya mencerminkan komitmen berterusan SAJI dalam menyemarakkan sambutan Aidilfitri serta mengukuhkan peranannya sebagai teman setia di dapur rakyat Malaysia.

    Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, SAJI telah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan dapur rakyat Malaysia. Bukan sekadar minyak masak pilihan, SAJI kini terus berkembang selari dengan aspirasi FGV untuk menjadi Teman Kulinari rakyat Malaysia, membantu setiap keluarga menyediakan hidangan yang lazat, praktikal dan penuh kasih sayang. Kini, SAJI menguasai lebih 37 peratus pasaran minyak masak tempatan, mencerminkan kekuatan jenama serta kepercayaan pengguna yang kukuh selama lebih dua dekad. Sebagai antara pengeluar makanan terkemuka negara, FGV turut menerajui jenama seperti SERI PELANGI, ADELA, PREMEO dan GULA PRAI dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan memastikan rakyat mempunyai akses kepada produk berkualiti, berkhasiat dan mampu milik.

    Dalam majlis yang sama, SAJI turut memperkenalkan maskot rasminya yang dinamakan Kak Ji sebagai simbol baharu jenama tersebut. Kak Ji bukan sekadar watak yang menceriakan, malah melambangkan nilai teras SAJI iaitu kualiti, kehangatan dan semangat dalam memasak. Maskot ini mencerminkan peranan SAJI sebagai keperluan asas dapur yang serbaguna, sentiasa menemani pelbagai jenis masakan dan menjadi sentuhan istimewa yang menyempurnakan setiap hidangan.

    Bagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar produk pengguna yang dinamik, SAJI turut memperkenalkan dua produk terbaharu iaitu SAJI Pelengkap Rasa dan SAJI Tepung Goreng Serbaguna. SAJI Pelengkap Rasa merupakan campuran rempah serbaguna yang boleh ditambah terus ketika memasak atau digunakan sebagai bahan perapan dan gosokan kering pada daging serta ikan sebelum dibakar atau dipanggang. Ia hadir dalam tekstur granul yang memudahkan penggunaan, dilengkapi pembungkusan zip lock untuk mengekalkan kesegaran, tanpa pewarna tambahan dan diperbuat daripada bawang asli bagi memberikan rasa yang lebih autentik.

    SAJI Tepung Goreng Serbaguna pula ditawarkan dalam dua variasi iaitu Gorengan Asli dan Gorengan Pedas. Produk ini dirumus khas untuk menghasilkan gorengan yang rangup dan keemasan, sesuai untuk pelbagai jenis hidangan. Selain kaedah gorengan menggunakan minyak, ia juga sesuai digunakan dengan air fryer, menjadikannya pilihan lebih praktikal dan serba guna untuk gaya masakan moden.

    Seperti tahun-tahun sebelumnya, kempen ini turut menampilkan Peraduan SAJI Beli & Menang dengan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM50,000. Untuk menyertainya, pengguna hanya perlu membeli produk SAJI, SERI PELANGI, PREMEO, ADELA atau GULA PRAI bernilai RM25 ke atas dan menghantar bukti pembelian melalui WhatsApp.

    Pada tahun ini, SAJI turut berkolaborasi bersama rakan strategik Felda Travel dan Seri Pacific Hotel bagi pelbagai inisiatif menarik. Menerusi kerjasama dengan Felda Travel, pemenang hadiah utama berpeluang menikmati Pakej Umrah Super Saver untuk dua orang bernilai RM5,555 seorang, atau pakej percutian setara bagi pemenang bukan Muslim dengan nilai keseluruhan hadiah sehingga RM10,000. SAJI juga mempersembahkan Inspirasi Citarasa Ramadan musim kedua, yang menampilkan 15 video resipi eksklusif hasil sentuhan chef terkemuka dari Seri Pacific Hotel. Menggunakan produk SAJI, setiap hidangan diinspirasikan khas untuk juadah berbuka dan sahur, dan telah disiarkan sepanjang Ramadan di platform media sosial rasmi SAJI termasuk Instagram dan Facebook. Selain itu, setiap pembelian pakej Buffet Ramadan di Seri Pacific Hotel sepanjang bulan Ramadan turut melayakkan penyertaan dalam peraduan SAJI Beli & Menang, di samping tawaran Pakej Balik Kampung SAJI yang dijual di hotel berkenaan.

    Dalam usaha mendekati pengguna secara lebih menyeluruh, SAJI juga akan menjalankan aktiviti pensampelan selama 320 hari di pasar raya terpilih di seluruh Malaysia bagi meningkatkan pengalaman penggunaan produk serta mengukuhkan hubungan jenama bersama pengguna. Orang ramai turut dijemput menantikan pelancaran muzik video Raya SAJI “Menyala Lagi Raya” yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi menerusi platform media sosial rasmi SAJI di TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube.