Penyanyi berbakat Indonesia, Stevan Pasaribu kembali menyentuh emosi pendengar menerusi karya terbaharunya berjudul “Lama Tak Bermalam Minggu”, sebuah lagu yang menggambarkan realiti kehidupan ramai orang dewasa masa kini yang tenggelam dalam kesibukan rutin harian, bekerja tanpa henti namun dalam diam menyimpan rasa sunyi yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang menjalani kehidupan yang monoton, keluar bekerja seawal pagi dan pulang lewat malam, lalu kembali ke rumah dalam keadaan sendirian tanpa ada insan yang menanti. Rutinitas yang berulang itu perlahan-lahan melahirkan rasa kosong dalam diri, namun pada masa yang sama tersimpan harapan kecil untuk memiliki seseorang yang mampu menyambut kepulangannya dan menghadirkan rasa bermakna dalam hidup.
Menerusi karya ini, Stevan Pasaribu berjaya mengangkat emosi yang dekat dengan kehidupan masyarakat urban hari ini, khususnya mereka yang terlalu fokus mengejar kerjaya sehingga tanpa sedar mengetepikan keinginan untuk dicintai dan memiliki teman hidup. Lirik yang jujur serta melodi yang menyentuh hati menjadikan “Lama Tak Bermalam Minggu” sebuah karya yang mudah diterima dan relatable buat ramai pendengar.

Dalam proses pembikinan lagu ini, Stevan turut bekerjasama dengan Kennel Music yang berpangkalan di Stockholm, Sweden. Kolaborasi antarabangsa tersebut memberikan sentuhan muzik yang lebih segar dan moden menerusi susunan muzik yang lebih emosional, selain turut diselitkan beberapa lirik berbahasa Inggeris yang memperkukuhkan lagi penghayatan lagu ini.
Music video “Lama Tak Bermalam Minggu” pula menampilkan perjalanan hidup seorang lelaki yang terperangkap dalam rutin harian yang melelahkan dan kesunyian yang berpanjangan. Namun kehidupannya mula berubah apabila dia secara tidak sengaja bertemu dengan seorang wanita yang perlahan-lahan membawa sinar baharu dalam hidupnya. Pertemuan sederhana itu akhirnya membuka ruang untuk kembali merasai kehangatan cinta, sekaligus menghidupkan semula harapan yang sebelum ini terasa semakin jauh.
Menurut Stevan Pasaribu, lagu ini membawa mesej bahawa seseorang itu tidak benar-benar bersendirian dalam kesepiannya. Tidak mengapa jika hari ini masih belum menemukan pasangan hidup, kerana setiap orang mempunyai waktu dan perjalanan masing-masing. Kadangkala, masa sedang mempersiapkan segalanya agar cinta hadir pada saat yang paling tepat.
“Lama Tak Bermalam Minggu” rasmi dilancarkan di seluruh platform penstriman digital bermula 6 Mei 2026 di bawah label Musica Studios. Lagu ini dijangka mampu menyentuh hati ramai pendengar yang pernah melalui fasa kesunyian dalam kesibukan kehidupan seharian.
