Tag: #SpiderBand

  • Pentas Anniversari Bergema dengan Aksi Search ‘Kiddin’ dan Spider

    Pentas Anniversari Bergema dengan Aksi Search ‘Kiddin’ dan Spider

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh komitmennya dalam memartabatkan seni muzik dan budaya dengan memperkenalkan Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, satu inisiatif berterusan yang bertujuan menghidupkan semula Panggung Anniversari sebagai antara pentas seni paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur. Program ini dirangka bagi memastikan ruang warisan ini terus berfungsi sebagai nadi ekspresi seni dan budaya warga kota, sejajar dengan agenda pemuliharaan Warisan Kuala Lumpur.

    Sejak penubuhannya, Panggung Anniversari telah menjadi saksi kepada perjalanan seni tanah air merentasi pelbagai genre dan generasi, termasuk muzik, teater, puisi, tarian tradisional serta persembahan moden dan eksperimental. Lebih daripada sekadar sebuah pentas persembahan, panggung ini merupakan simbol memori kolektif dan landskap budaya yang membentuk identiti seni Kuala Lumpur.

    Sebagai pembuka tirai program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, DBKL menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) akan menganjurkan Konsert GEGAR PANGGUNG, menampilkan dua kumpulan legenda rock tanah air, SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER, dalam sebuah persembahan percuma di pentas terbuka ikonik Panggung Anniversari. Konsert ini akan berlangsung pada Sabtu, 24 Januari 2026, bermula jam 8.30 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana.

    Malam penuh nostalgia ini akan dimulakan dengan persembahan pembuka oleh Tom Raja Farah, diiringi Kombo dan Artis Budaya DBKL, sebelum pentas digegarkan oleh Search ‘Kiddin’ dan Spider dengan ledakan irama rock yang pernah mencorakkan sejarah muzik tempatan. Acara ini turut dihoskan oleh Nadia, menjanjikan pengalaman hiburan yang meriah dan bermakna untuk semua lapisan masyarakat.

    Penampilan Search ‘Kiddin’ dan Spider dijangka menjadi tarikan utama memandangkan kedua-dua kumpulan ini sering mencatatkan rekod tiket habis terjual bagi setiap konsert berbayar mereka. Justeru, peluang menyaksikan persembahan legenda rock ini secara percuma merupakan penghargaan istimewa DBKL kepada warga kota dan pengunjung Kuala Lumpur, bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).

    Bagi memeriahkan suasana, jualan makanan dan minuman akan dibuka seawal jam 5.00 petang, dan pengunjung digalakkan hadir lebih awal untuk menikmati suasana santai sambil mendapatkan tempat duduk yang selesa. Panggung Anniversari, sebagai sebahagian daripada jajaran Warisan Kuala Lumpur, terus diposisikan sebagai ruang rehlah seni dan titik pertemuan budaya masyarakat bandar.

    Sepanjang tahun 2026, DBKL telah merancang 40 acara pelbagai genre yang akan dilaksanakan hampir setiap minggu, melibatkan penggiat seni lama dan baharu. Inisiatif inklusif ini bertujuan memastikan Panggung Anniversari terus aktif sebagai pentas seni ikonik negara, menyediakan platform berterusan merentas generasi dan genre, serta menyokong usaha pemuliharaan warisan bandar.

    Semarak Seni @ Panggung Anniversari dianjurkan oleh DBKL melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) dengan sokongan kewangan Kementerian Kewangan Malaysia. Melalui inisiatif ini, Panggung Anniversari diharap akan kembali berfungsi sebagai ruang hidup seni budaya kota, terus mencipta kenangan dan membina sejarah baharu untuk generasi akan datang.