Tulus dan Juicy Luicy bakal bergabung dalam sebuah festival muzik yang dinanti-nantikan ramai, Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang akan berlangsung pada Ahad, 17 Ogos 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Festival ini menjanjikan satu pengalaman muzik yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh emosi dan memberi inspirasi kepada penonton.
RIF 2025 dianjurkan oleh Expoindo bersama penganjur tempatan, Thrive, dan hadir dengan konsep unik yang menggabungkan persembahan muzik dengan elemen perkongsian kisah di sebalik karya-karya popular artis jemputan. Festival ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi menjadi ruang untuk menyemai nilai positif melalui muzik dan penceritaan.

Menurut wakil Expoindo, Bram Tulong, Ruang Inspirasi Festival diwujudkan bagi menyediakan sebuah platform di mana muzik bukan sahaja menyenangkan hati tetapi juga menjadi medium untuk memberi makna dan inspirasi kepada pendengar. Untuk edisi sulung ini, dua nama besar dari Indonesia dipilih sebagai bintang utama iaitu Tulus dan Juicy Luicy.
Juicy Luicy, kumpulan pop alternatif yang cukup dikenali di Malaysia menerusi lagu-lagu seperti ‘Lantas’, ‘Sialan’, ‘Lampu Kuning’ dan banyak lagi, akan membuat persembahan pada sesi malam yang dijadualkan bermula jam 7.30 malam. Manakala Tulus, penyanyi solo yang terkenal dengan lagu-lagu penuh emosi dan mesej mendalam, akan mengisi pentas pada sesi petang bermula jam 1.30 tengah hari.
RIF 2025 akan berlangsung dalam dua sesi berasingan dalam satu hari, memberi pilihan kepada penonton untuk menikmati dua persembahan yang berbeza suasana dan warna muzik. Tiket telah mula dijual sejak 17 Julai menerusi aplikasi BBO EVENTS dan laman web rasmi www.ri-fest.com/kualalumpur. Tiket bundle tersedia dalam beberapa kategori iaitu VVIP, VIP, Gold, Platinum dan Silver. Pemegang tiket Juicy Luicy turut diberikan pilihan untuk menaik taraf kepada tiket bundle dengan harga istimewa melalui aplikasi rasmi.

Menurut wakil BBO Events, Johnathon Wong, RIF 2025 juga merupakan langkah awal untuk menjadikan festival ini sebagai sebuah platform muzik serantau. Mereka merancang untuk membawa RIF ke bandar-bandar utama lain di Malaysia pada masa akan datang, sebagai usaha memperkukuh hubungan industri muzik antara Malaysia dan Indonesia.
Festival ini diharap menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala sambil menyebarkan nilai positif kepada masyarakat melalui muzik. Penganjur turut menyeru peminat untuk mengikuti akaun rasmi mereka di Instagram dan TikTok @rifest.my bagi maklumat terkini.
RIF 2025 membawa janji sebuah pengalaman muzik yang berbeza – penuh emosi, inspirasi dan pastinya sukar dilupakan.
