Tag: #PropertyGuruMalaysia

  • Tag Baharu PropertyGuru: “Everyone Welcome” Jadikan Penyewaan Lebih Mesra dan Inklusif

    Tag Baharu PropertyGuru: “Everyone Welcome” Jadikan Penyewaan Lebih Mesra dan Inklusif

    Bersempena dengan sambutan Merdeka dan Hari Malaysia, PropertyGuru Malaysia melancarkan ciri baharu berbentuk tag inklusif yang diberi nama Everyone Welcome. Inisiatif ini diwujudkan bagi mempromosikan pasaran penyewaan yang lebih adil, mesra dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau latar belakang.

    Tag ini bersifat sukarela dan membolehkan tuan rumah serta ejen hartanah menandakan penyenaraian mereka sebagai inklusif. Melalui penapis khas yang tersedia di platform, para penyewa kini boleh mengenal pasti senarai hartanah yang benar-benar mesra dan terbuka kepada semua dengan lebih mudah. Ciri ini turut disokong oleh garis panduan penyenaraian serta mekanisme pelaporan yang memastikan platform PropertyGuru bebas daripada senarai yang bersifat diskriminasi, pendua mahupun palsu.

    Pengurus Negara PropertyGuru dan iProperty Malaysia, Kenneth Soh, menegaskan bahawa mencari rumah seharusnya menjadi pengalaman yang selamat, telus dan adil. Beliau menambah bahawa pelancaran Everyone Welcome adalah cerminan komitmen syarikat untuk memimpin melalui teladan, membina kepercayaan serta memperkasakan rakyat Malaysia dalam usaha mencari tempat tinggal yang benar-benar mengalu-alukan mereka.

    Kewujudan ciri baharu ini dilihat signifikan berikutan dapatan kajian oleh Architects of Diversity Malaysia (AOD) dan Swayable, yang mendedahkan sebanyak 60 peratus penyewa pernah mengalami diskriminasi kaum ketika mencari rumah sewa. Kajian Omnibus AOD juga menunjukkan hampir separuh daripada responden percaya bahawa tuan rumah wajar dibenarkan menapis penyewa berdasarkan kaum, manakala 31.6 peratus pula menyokong pendekatan penyewaan yang lebih adil dan inklusif.

    Sejak mula diperkenalkan pada April 2025, tag Everyone Welcome telah menunjukkan penerimaan yang positif daripada pasaran. Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak sepuluh peratus daripada senarai penyewaan aktif di PropertyGuru Malaysia telah pun menggunakan tag tersebut. Dalam masa yang sama, hampir tiga peratus penyewa memanfaatkan penapis ini semasa membuat pencarian hartanah.

    Bagi memperkukuh mesej inklusiviti ini, PropertyGuru turut mempersembahkan sebuah filem jenama berjudul Jauh Galaksi, Dekat Di Hati yang ditayangkan bermula 15 Ogos 2025. Filem ini mengambil latar di angkasa lepas dan mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia bersama seekor makhluk asing penuh rasa ingin tahu yang mencari makna sebenar tentang “rumah”. Naratifnya dipenuhi dengan elemen budaya Malaysia, daripada aroma nasi lemak hinggalah ke bahasa Manglish yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat.

    Salah satu detik yang menyentuh hati dalam filem tersebut adalah ketika watak makhluk asing bertanya sama ada dirinya juga dialu-alukan. Jawapan yang diberikan dengan penuh senyuman sambil menunjukkan penapis Everyone Welcome di PropertyGuru menjadi simbol mesej yang ingin disampaikan: rumah ialah tempat di mana semua orang diterima tanpa syarat.

    Pengarah Pemasaran Negara Malaysia dan Thailand, PropertyGuru dan iProperty, Kar Wai Low, berkata filem ini adalah cerminan semangat sebenar Malaysia yang penuh kehangatan, humor dan kasih sayang. Menurut beliau, mesej yang ingin dibawa adalah jelas rumah bukan hanya sekadar ruang untuk berteduh tetapi juga lambang rasa diterima, dihargai dan dirangkul sebagai sebahagian daripada komuniti.

    Dengan gabungan ciri teknologi seperti Everyone Welcome dan naratif penceritaan melalui filem jenama, PropertyGuru terus meneguhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran hartanah di Malaysia. Usaha ini seiring dengan aspirasi untuk memastikan pengalaman mencari rumah bukan sahaja mudah dan bermakna, tetapi juga benar-benar mencerminkan semangat inklusiviti dan perpaduan negara.