Meniti perjalanan seninya dengan penuh kejujuran, penyanyi, komposer dan storyteller terkenal tanah air, Hael Husaini kembali menyentuh hati peminat dengan pelancaran dua buah single terbaharu berjudul “Peluk” dan “Alangkah” yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment. Kedua-dua karya ini mengetengahkan sisi berbeza dalam tema cinta dan kini dipilih sebagai lagu tema untuk dua drama bersiri popular di Astro.
“Peluk”, sebuah balada romantis yang turut menampilkan gandingan istimewa bersama Nadeera, mengangkat kisah hubungan jarak jauh atau long distance relationship (LDR). Lagu ini dipilih sebagai OST drama “Mandul Bukan Pilihan” lakonan Hun Haqeem, Mira Filzah dan Ayda Jebat. Bagi Hael, lagu ini cukup dekat di hatinya kerana ia menyentuh realiti ramai pasangan yang melalui cabaran hubungan jarak jauh. Menurutnya, rindu yang lahir dalam situasi sebegini mungkin pahit, namun tetap menyimpan keindahan yang tersendiri.
Lebih menarik, “Peluk” menandakan kerjasama semula antara Hael dan Nadeera selepas kejayaan lagu raya mereka, “Meriah Lain Macam”. Hael mengakui kehadiran vokal Nadeera menjadikan lagu tersebut lebih hidup dan manis, manakala Nadeera sendiri menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk sekali lagi berduet bersama Hael. Baginya, lagu itu bukan sekadar kisah cinta jarak jauh, tetapi lambang kasih yang tetap utuh meskipun diuji.

Sementara itu, single “Alangkah” pula membawa pendengar menyelami sisi cinta yang lebih melankolik. Lagu ini dipilih sebagai OST drama “Thariq Ridzwan” yang dibintangi Meerqeen dan Qasrina Karim. “Alangkah” menggambarkan keindahan cinta mendalam yang penuh harapan, namun tidak semestinya berakhir seperti diimpikan. Hael berkongsi bahawa inspirasi lagu ini lahir daripada pengalaman orang-orang terdekat dengannya. Walaupun sarat dengan kepedihan, beliau percaya setiap kisah cinta tetap menyimpan sesuatu yang indah untuk dikenang.
Kedua-dua single ini pada asalnya dirancang untuk dimuatkan dalam album sambungan Hael berjudul “Antonim: Part II”. Namun, selepas diperdengarkan buat pertama kali di konsert “Hael Husaini & Repertoire” baru-baru ini, permintaan daripada peminat begitu tinggi sehingga Rocketfuel Entertainment membuat keputusan untuk melancarkannya lebih awal secara digital. Hael sendiri mengakui pengalaman melihat sambutan peminat ketika konsert itu menjadi titik tolak untuk mempercepatkan pelancaran karya berkenaan.
Dengan lahirnya “Peluk” dan “Alangkah”, Hael berharap lagu-lagu ini dapat menjadi teman kepada pendengar dalam perjalanan hidup mereka. Beliau percaya muzik adalah cerminan hati, dan jika karya-karyanya mampu menjadi sebahagian daripada cerita kehidupan orang lain, itu sudah cukup membahagiakan dirinya.
Kini kedua-dua single tersebut boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi bagi kedua-dua lagu ini juga sedang dalam proses pembikinan dan dijangka menemui penonton dalam masa terdekat.
