Tag: #NutrisiOptimum

  • Padanan Makanan Bijak untuk Nutrisi Lebih Optimum

    Padanan Makanan Bijak untuk Nutrisi Lebih Optimum

    Definisi pemakanan seimbang hari ini tidak lagi terhad kepada pengambilan “superfood” atau mengikuti trend diet semata-mata. Sebaliknya, ia lebih menekankan konsistensi dalam membekalkan tubuh dengan nutrien penting yang menyokong pertumbuhan, metabolisme dan proses pemulihan secara optimum. Apa yang lebih menarik, keberkesanan nutrisi bukan hanya bergantung kepada jenis makanan, tetapi juga cara makanan tersebut digabungkan untuk meningkatkan kadar penyerapan dalam tubuh.

    Menurut Susan Bowerman, Pengarah Kanan Pendidikan dan Latihan Pemakanan Global di Herbalife, kajian sains pemakanan menunjukkan bahawa kombinasi makanan tertentu mampu mempengaruhi cara tubuh memproses nutrien. Beliau menjelaskan bahawa pemilihan padanan makanan yang tepat memberi peluang kepada individu untuk mengoptimumkan pengambilan nutrien harian. Pendekatan paling mudah adalah dengan mempelbagaikan menu sihat kerana sesetengah nutrien memberikan manfaat yang lebih tinggi apabila diambil bersama berbanding secara berasingan.

    Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Pemakanan Global Pengerusi, Lembaga Penasihat Dietetik Herbalife dan Lembaga Penasihat Pemakanan Luaran

    Bersempena Hari Kesihatan Sedunia, beberapa strategi padanan makanan pintar turut diketengahkan, termasuk gabungan sayur-sayuran berwarna-warni dengan lemak sihat. Contohnya, sayuran seperti lobak merah dan tomato yang kaya dengan karotenoid memerlukan lemak sihat seperti minyak zaitun atau avokado untuk diserap dengan lebih berkesan. Selain itu, gabungan vitamin C dan zat besi daripada sumber tumbuhan juga memainkan peranan penting, di mana penambahan buah sitrus dalam hidangan seperti salad bayam atau minuman protein boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi bukan heme dalam tubuh.

    Dalam masa yang sama, pengambilan teh hijau bersama sumber vitamin C seperti lemon turut disarankan bagi meningkatkan keberkesanan antioksidan katekin. Untuk kesihatan tulang pula, kombinasi vitamin D dan kalsium adalah amat penting. Walaupun Malaysia menerima cahaya matahari yang mencukupi, masih ramai yang berdepan kekurangan vitamin D, menjadikan padanan seperti ikan berlemak bersama sayuran hijau atau produk diperkaya kalsium sebagai pilihan yang bijak. Di samping itu, gabungan protein dan serat juga membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama serta membekalkan tenaga yang konsisten sepanjang hari.

    Secara keseluruhannya, memenuhi keperluan nutrisi dalam kehidupan moden memerlukan pendekatan yang lebih seimbang dan praktikal. Walaupun makanan lengkap kekal sebagai asas utama, produk diperkaya dan suplemen boleh berfungsi sebagai pelengkap untuk menampung kekurangan nutrien harian. Dengan mengamalkan teknik padanan makanan yang betul, setiap individu berpeluang membentuk gaya pemakanan yang lebih efektif demi kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang.