Tag: #InovasiTanpaBatas

  • Festival Inovasi SELBIZ 2025 Tawar Pameran, Hiburan dan Jaringan Perniagaan

    Festival Inovasi SELBIZ 2025 Tawar Pameran, Hiburan dan Jaringan Perniagaan

    Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) kembali lagi dengan edisi keempat yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 November 2025 di Shah Alam Convention Centre (SACC). Bagi penganjuran tahun ini, KRU Studios Sdn. Bhd. telah diberi mandat sebagai pengurus acara rasmi. Dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), SELBIZ 2025 dijangka tampil lebih meriah dengan pengisian pelbagai program strategik serta hiburan berkualiti tinggi yang mampu menarik perhatian pengunjung.

    Menurut Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof, SELBIZ 2025 disasarkan untuk terus menjadi platform utama pemadanan perniagaan antara syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan bersama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Beliau menjelaskan bahawa matlamat utama adalah untuk memperkukuh pasaran domestik di samping membantu PMKS menembusi pasaran antarabangsa.

    Dengan tema Festival Inovasi, edisi kali ini bakal memperkenalkan pelbagai pengisian baharu termasuk zon pempamer berteknologi tinggi, konsert imersif selama tiga hari, program Family Fun Run, pertandingan e-Sukan serta pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga. Antara tarikan utama yang dinantikan adalah Konsert Gempak SELBIZ yang menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli, Adira Suhaimi, Black Hanifah, Nabila Razali, Zarul Umbrella dan ramai lagi.

    Selain persembahan artis, pengunjung juga berpeluang menyaksikan penampilan istimewa maskot watak animasi kegemaran ramai seperti Didi & Friends dan Umar & Hana, di samping pengenalan maskot baharu seperti Zan Orangutan dan Kikako Kids yang dijangka menambahkan lagi keceriaan suasana.

    Selaku pengurus acara, Dato’ Norman Abdul Halim menjelaskan bahawa SELBIZ 2025 tampil dengan strategi penjenamaan dan kandungan program yang lebih segar. Menurut beliau, selain berhibur dan bersukan, pengunjung juga berpeluang menikmati tawaran istimewa daripada pempamer serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

    SELBIZ merupakan salah satu inisiatif strategik Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh BPU bagi memperkasakan pasaran, meningkatkan daya saing serta memperluas jaringan perniagaan dalam kalangan PMKS. Tahun lalu, SELBIZ mencatatkan kejayaan besar dengan kehadiran lebih 36,000 pengunjung, penyertaan 200 usahawan dan jumlah jualan melebihi RM3.55 juta.

    Untuk maklumat lanjut mengenai SELBIZ 2025, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.selbiz.my atau mengikuti perkembangan terkini melalui platform media sosial SELBIZ di Instagram, Facebook dan TikTok.