Gabungan kuasa muzik dan animasi bakal mencipta sejarah dalam dunia hiburan tempatan apabila TV3 menyiarkan episod khas Melodi Showcase: Nidji x Ejen Ali The Movie 2 Music Tour pada Khamis, 26 Jun, jam 9 malam. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan momen eksklusif dan penuh emosi yang menyatukan dua dunia seni dalam satu persembahan yang luar biasa.
Dalam episod istimewa ini, kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Nidji, mempersembahkan secara eksklusif lagu tema rasmi Ejen Ali The Movie 2 yang berjudul “Teman Sejati” menerusi sebuah konsert akustik intim dan menyentuh hati. Penonton bakal dibawa merasai kehangatan dan makna sebenar persahabatan melalui lirik dan melodi yang penuh makna, sekaligus mengangkat lagi emosi dalam kisah Ejen Ali yang kini kembali ke layar perak.
Tidak terhenti di situ, Melodi Showcase turut menyingkap perjalanan unik Nidji di Malaysia dalam rangka promosi filem ini. Daripada kemeriahan Cinema Mall Tour, momen penuh tawa dan tangis bersama peminat di sesi Tonton Bareng di pawagam, hinggalah ke kehangatan Meet & Greet bersama komuniti peminat tegar NIDJIHOLIC – semua ini dirakam dan dikongsi dalam episod yang sarat dengan cinta dan penghargaan.
Kolaborasi antara Ejen Ali The Movie 2 dan Nidji bukan sekadar projek muzik – ia adalah simbol penyatuan budaya, kreativiti dan sokongan luar biasa dari para peminat di kedua-dua negara. Perpaduan ini membuktikan bahawa muzik dan animasi mampu menyatukan jiwa dari pelbagai latar, menjadikan EATM2 lebih daripada sekadar filem animasi.
Menurut wakil penerbitan Primeworks Studios, episod ini bukan sahaja menampilkan sisi berbeza Nidji, malah memperlihatkan bagaimana projek animasi tempatan mampu mencipta impak serantau melalui sentuhan muzik yang kuat dan emosi yang mendalam.
JANGAN TERLEPAS
MELODI SHOWCASE: NIDJI x EJEN ALI THE MOVIE 2
Khamis | 26 Jun | 9.00 malam
Eksklusif di TV3 dan boleh distrim melalui Tonton
Untuk maklumat lanjut mengenai Ejen Ali The Movie 2, ikuti saluran media sosial rasmi @ejen_ali dan @meloditv3. Saksikan bagaimana ‘Teman Sejati’ hidup dalam alunan melodi dan semangat persahabatan sejati!
