Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal menjadi lebih istimewa apabila sambutan Jubli Perak anugerah muzik berprestij negara itu akan berlangsung buat pertama kali di Sarawak.
Bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September 2026, AIM25 bakal menghimpunkan penggiat muzik, artis terkenal serta bakat baharu dalam satu malam yang meraikan perjalanan panjang industri muzik Malaysia.
Penganjuran di Kuching ini menjadi satu detik penting buat AIM apabila acara tersebut membuka ruang lebih luas untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya, kreativiti dan bakat muzik dari seluruh negara.
Malam kemuncak AIM25 akan dikendalikan oleh Awal Ashaari, Scha Alyahya serta personaliti TVS, Sheera Abang Mansur yang akan membawa penonton menyelami sambutan 25 tahun perjalanan anugerah tersebut.
Pelbagai nama besar industri muzik bakal menghiasi pentas termasuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Akim Ahmad, Hael Husaini, Hafiz Suip, Adira Suhaimi, Marsha Milan, Amir Masdi, HUJAN, Estranged dan ramai lagi.
Tidak hanya memberi tumpuan kepada artis berpengalaman, AIM25 turut menampilkan wajah baharu industri muzik menerusi persembahan finalis kategori Artis Baharu Terbaik iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim.
Kehadiran artis Indonesia, Fajar Noor turut memberikan sentuhan serantau kepada edisi Jubli Perak AIM25 yang meraikan perkembangan muzik Malaysia dalam landskap yang lebih luas.
Selain persembahan, malam anugerah tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan penyampai daripada pelbagai latar hiburan seperti Aina Abdul, Kaka Azraff, Yonnyboii, Iman Troye, Stacy, Hazama, Noraniza Idris dan ramai lagi.
Gabungan nama besar, bakat baharu serta personaliti industri ini mencerminkan perkembangan muzik tempatan yang terus bergerak mengikut perubahan zaman.
AIM25 turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan penganjuran edisi istimewa ini berjalan lancar. Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) memberikan sokongan melalui Geran Acara Pelancongan bernilai RM1 juta.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) menyediakan peruntukan RM950,000 kepada pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures.
Selain sokongan kerajaan, AIM25 turut disokong oleh rakan industri termasuk AirAsia, Orkid dan Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) sebagai rakan rasmi acara.
Sokongan daripada AirBorneo, Kuala Cola, Maxim, Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel, Riverside Majestic Astana Wing dan Sheraton Kuching turut memainkan peranan dalam menjayakan sambutan kali ini.
Bagi memastikan peminat di seluruh Malaysia dapat mengikuti kemeriahan AIM25, acara tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi TVS Saluran 122 dan TVS Inspire.
Segmen karpet merah akan bermula pada jam 8 malam sebelum acara utama berlangsung pada jam 9 malam.
Dengan usia 25 tahun yang penuh dengan sejarah dan pencapaian, AIM25 dijangka menjadi salah satu detik penting dalam perjalanan industri muzik Malaysia apabila Kuching menjadi saksi kepada sambutan Jubli Perak yang penuh bermakna.
Buat julung-julung kalinya dalam sejarah 25 tahun penganjurannya, Anugerah Industri Muzik (AIM), platform pengiktirafan muzik paling berprestij dan berpengaruh di Malaysia sejak 1993, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah apabila edisi Jubli Peraknya, AIM25, akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September 2026.
Ini merupakan kali pertama AIM dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia, sekali gus membuka satu lembaran baharu dalam perjalanan industri muzik tanah air. Langkah ini bukan sahaja memperluaskan pentas pengiktirafan tertinggi muzik negara, malah memberi ruang untuk mengetengahkan kepelbagaian suara, budaya dan kreativiti dari seluruh Malaysia ke perhatian lebih ramai.
Bagi edisi istimewa ini, TVS dilantik sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25, sekali gus menjadi penghubung yang membawa kemeriahan malam anugerah berprestij ini dari Kuching kepada penonton di seluruh negara menerusi siaran televisyen, platform digital serta penstriman percuma melalui TVS Inspire.
AIM25: Meraikan 25 Tahun Perjalanan Muzik Malaysia
Diasaskan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada tahun 1993, Anugerah Industri Muzik (AIM) telah menjadi pentas utama dalam menghargai pencapaian artis, pencipta lagu, penerbit, pemuzik serta barisan kreatif yang terus mencorakkan industri muzik Malaysia.
Sebagai badan yang mewakili pemegang hak rakaman muzik di Malaysia serta ahli kepada International Federation of the Phonographic Industry (IFPI), RIM memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem muzik tempatan dan memastikan perkembangan industri terus bergerak seiring perubahan zaman.
Bersempena ulang tahun ke-25 penganjurannya, AIM25 hadir bukan sekadar sebagai sebuah acara anugerah, tetapi sebagai simbol perjalanan panjang industri muzik Malaysia yang terus berkembang dengan pelbagai genre, bahasa dan identiti budaya.
Kuching Cipta Sejarah Baharu AIM25
Pemilihan Kuching sebagai lokasi penganjuran AIM25 buat pertama kali menjadi satu detik penting dalam usaha memperluaskan pengiktirafan industri muzik negara secara lebih menyeluruh.
Lebih daripada sekadar lokasi acara, Kuching bakal menjadi pentas yang menghimpunkan pelbagai warna muzik Malaysia dengan menyatukan bakat dan karya dari Semenanjung, Sabah serta Sarawak dalam satu acara berprestij peringkat nasional.
Penganjuran AIM25 di Sarawak turut membuktikan keupayaan negeri itu sebagai destinasi utama bagi acara seni, budaya dan hiburan berskala besar, di samping membuka peluang baharu untuk memperkukuhkan industri kreatif, sektor pelancongan dan ekonomi acara.
Pada masa sama, AIM25 memberi peluang lebih luas kepada bakat dari seluruh negara untuk mendapat pengiktirafan, sekali gus membuktikan bahawa muzik Malaysia terbina daripada pelbagai suara dan latar budaya yang saling melengkapi.
Kategori Baharu Raikan Kepelbagaian Muzik Malaysia
Sempena sambutan Jubli Peraknya, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta perkembangan muzik Malaysia.
Kategori “LAGU BORNEO TERBAIK” diperkenalkan bagi menghargai karya muzik yang mengetengahkan kekayaan budaya, bahasa, tradisi serta identiti unik masyarakat Sabah dan Sarawak, termasuk karya yang membawa semangat serta kreativiti komuniti Borneo.
Manakala kategori “LAGU PERAYAAN TERBAIK” pula memberi penghargaan kepada karya muzik yang menggambarkan kemeriahan, nilai dan tradisi sambutan perayaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Pengenalan kategori baharu ini menunjukkan komitmen AIM dalam memastikan pengiktirafan muzik negara terus berkembang selari dengan kepelbagaian budaya dan kreativiti masyarakat Malaysia.
Sokongan Strategik Untuk Industri Kreatif Negara
AIM25 turut mendapat sokongan daripada pihak kerajaan yang melihat industri muzik sebagai salah satu komponen penting dalam perkembangan ekonomi kreatif Malaysia.
Melalui Kementerian Komunikasi, sejumlah RM950,000 Dana Pengiktirafan akan diberikan kepada pemenang bagi 16 kategori AIM25 menerusi peruntukan pembangunan yang diuruskan oleh MyCreative Ventures (MyCV).
Sokongan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menggalakkan kecemerlangan seni, memperkukuhkan industri kreatif negara serta menghargai sumbangan para penggiat muzik tempatan.
Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP Sarawak) turut menyokong AIM25 menerusi Geran Sokongan Acara MTCP Sarawak, selari dengan usaha Sarawak untuk menjadi hab seni, budaya dan acara kreatif bertaraf nasional serta serantau.
TVS Bawa Suara Sarawak Ke Seluruh Malaysia
Sejak ditubuhkan pada tahun 2020, TVS berkembang daripada sebuah stesen televisyen tempatan yang membawa kisah, budaya dan aspirasi Sarawak kepada sebuah platform penyiaran yang semakin dikenali di peringkat nasional.
Sebagai satu-satunya stesen televisyen di Malaysia yang menyiarkan berita dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Iban dan Mandarin, TVS terus memainkan peranan dalam meraikan kepelbagaian masyarakat menerusi kandungan yang lebih inklusif.
Pertumbuhan TVS turut dilihat menerusi peningkatan capaian penonton dengan rekod 93.1 juta tontonan televisyen serta 403 juta tontonan digital dan media sosial di seluruh negara pada suku pertama 2026.
Sebagai salah satu saluran percuma (FTA) yang berkembang pesat di Malaysia, TVS kini memperluaskan capaian menerusi TVS 122 melalui MYTV, Unifi TV dan Astro, selain platform penstriman percuma TVS Inspire.
Sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25, TVS akan membawa kemeriahan malam anugerah muzik berprestij negara ini dari Kuching kepada penonton di seluruh Malaysia.
CATS FM Semarakkan AIM25 Sebagai Rakan Radio Rasmi
Melengkapkan rangkaian penyiaran AIM25, CATS FM turut diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi bagi edisi Jubli Perak ini.
Sebagai stesen radio yang dekat dengan masyarakat Sarawak, CATS FM akan memainkan peranan dalam menyemarakkan kempen AIM25 menerusi pelbagai promosi, liputan dan kandungan khas menjelang malam anugerah.
Kerjasama ini bukan sahaja memperluaskan capaian AIM25 kepada pendengar di Sarawak, malah melengkapkan siaran televisyen, digital dan penstriman supaya kisah di sebalik malam bersejarah ini dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Malaysia.
Menuju AIM25 Dengan “Hits 122 Edisi AIM25”
Dalam menuju ke malam kemuncak AIM25, TVS turut mempersembahkan “Hits 122 Edisi AIM25”, sebuah siri mingguan 13 episod yang membawa penonton lebih dekat dengan perjalanan, karya dan insan kreatif yang membentuk industri muzik Malaysia.
Bermula 25 Julai 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam menerusi TVS 122, rancangan ini akan menampilkan sejarah AIM, kisah pemenang terdahulu, calon terpilih, karya muzik serta individu di sebalik tabir industri muzik tempatan.
Program ini dibangunkan berdasarkan enam objektif utama iaitu Promote, Excite, Educate, Highlight, Engage dan Elevate bagi memperluaskan capaian muzik tempatan serta meningkatkan penglibatan penonton menjelang AIM25.
AIM25 akan berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak dan akan disiarkan menerusi TVS 122 (MYTV, Unifi TV dan Astro), selain boleh distrim melalui TVS Inspire.