SATRIA KEMBALI! TRAILER EJEN ALI THE MOVIE 2 CAPAI 1.5 JUTA TONTONAN DALAM 12 JAM TEMUI MISI TERBARU DI PAWAGAM MULAI 22 MEI 2025

Kemunculan semula Ejen Ali kini menjadi bualan hangat apabila treler sekuel animasi kegemaran ramai ini berjaya mengumpul 1.5 juta tontonan dalam masa 12 jam sahaja selepas dilancarkan semalam. Pencapaian luar biasa ini membuktikan pengaruh besar Ejen Ali dalam dunia animasi tempatan dan antarabangsa, sekali gus mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat.

Sejak tayangan Ejen Ali The Movie pertama, peminat setia tidak putus-putus menantikan sambungan misi terbaru Ali. Kini dengan tayangan Ejen Ali The Movie 2 yang bakal menjengah pawagam pada 22 Mei 2025, harapan dan semangat peminat semakin membara. Visual animasi yang lebih mengagumkan serta naratif yang lebih matang jelas mencuri tumpuan ramai, dengan komen-komen peminat di media sosial membuktikan keterujaan luar biasa terhadap naskhah ini.

Antara reaksi yang mencuit hati termasuk “Aku umur 24 pun masih setia tunggu Ali,” dan “Bangga betul tengok animasi tempatan dah setaraf luar negara.” Ramai juga yang menyatakan rasa bangga melihat kemajuan industri animasi Malaysia yang semakin cemerlang, dan menganggap Ejen Ali sebagai simbol pencapaian animasi tempatan yang mampu berdiri setanding di pentas global.

Treler berdurasi 2 minit 45 saat itu memaparkan paparan visual yang dipertingkat dan memberi bayangan kepada konflik baharu yang lebih mendalam. Penonton diperkenalkan dengan teknologi terbaru, ancaman misteri dan perjalanan emosi Ali dalam menyelami erti sebenar menjadi seorang satria. Sut perisai baharu Ali turut mencetuskan pelbagai spekulasi tentang kebolehan dan cabaran yang bakal dihadapinya.

Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh Primeworks Studios bersama WAU Animation dan Komet Productions, menyambung legasi kejayaan filem pertamanya. Sekuel ini bukan hanya dibina atas kejayaan lalu, tetapi sebagai satu lambang dedikasi terhadap peningkatan mutu kandungan animasi tempatan. Dengan gabungan visual mempesona, jalan cerita yang penuh emosi dan nilai kekeluargaan, filem ini dijangka menjadi antara naskhah wajib tonton tahun ini.

Para penonton boleh mula menanda kalendar untuk menyaksikan sendiri kisah penuh mendebarkan Ejen Ali The Movie 2 yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air mulai 22 Mei 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fenomena ini dan hayati transformasi Ali sebagai seorang satria sejati.

Untuk info lanjut dan kandungan eksklusif, ikuti akaun media sosial rasmi Ejen Ali dan WAU Animation.