RACUN RIHANNA: INTAN NAJUWA NAK BALAS DENDAM?

Walaupun sudah bergelar seorang isteri, Intan Najuwa tetap komited dalam karier lakonannya dan kembali dengan drama terbaharu, ‘Racun Rihanna’ dengan membawakan watak antagonis.

Terbaharu di slot Samarinda, Racun Rihanna mengisahkan tentang tiga orang sahabat dari zaman universiti yang mempunyai Rihanna sebagai adik angkat yang hanya digunakan untuk mengecap segala keinginan mereka. Konflik semakin meruncing apabila kebenaran mula terungkai satu demi satu. Semakin banyak kebenaran terbongkar, semakin bertambah masalah yang dihadapi oleh mereka. Adakah segala perkara yang berlaku berpunca daripada rancangan Rihanna atau sebaliknya?

Drama bersiri 15 episod terbitan Zeel Production ini merupakan hasil karya gandingan Marr Mohamad dan Irwan Mansor yang diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Ejump Mohd dan Islah Canrose Abdul yang bakal menampilkan Intan Najuwa sebagai pelakon utama serta barisan pelakon-pelakon lain seperti Rita Rudaini, Azah Aziz, Jasmine Suraya, Aidit Noh, Azlee Khairi, Nazrief Nazri, Gbril dan Mas Anizan.

Kakak-kakak angkat Rihanna, Marya (Rita Rudaini), Fateeni (Azah Aziz) dan Ayumi (Jasmine Suraya) sentiasa mengupah Rihanna (Intan Najuwa) dengan wang ringgit dan memberikan semua yang Rihanna inginkan. Disebalik hubungan rapat mereka, dalam diam Fateeni dan Ayumi menyimpan perasaan benci terhadap Rihanna. Mereka menganggap Rihanna sebagai langau yang merimaskan.

Kini kesemua mereka sudah berusia 30 an dan mempunyai kehidupan bahagia bersama suami dan anak. Konflik bermula apabila Rihanna muncul semula selepas 18 tahun dengan niat untuk membalas dendam. Satu persatu rahsia, dosa lampau Marya, Fateeni dan Ayumi, serta skandal perselingkuhan dan kejahatan mereka telah terbongkar!

“Buat pertama kalinya, saya membawakan watak antagonis untuk drama TV3. Jadi kali ini saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dan agak mencabar. Mungkin dengan watak ini penonton akan nampak sisi yang berbeza dalam diri saya. Cara pertuturan, lontaran dialog, dan penampilan juga amat saya titik berat kan untuk watak dan drama kali ini. Saya juga berharap agar drama Racun Rihanna ini mendapat sambutan yang baik terutamanya daripada golongan wanita kerana drama ini banyak memberikan pengajaran buat kami,” kata Intan Najuwa.

Jangan ketinggalan untuk menonton Racun Rihanna menerusi slot Samarinda bermula hari ini (30 April 2024), setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam di TV3 dan strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *