NES PERKASA EKSPANSI GLOBAL MELALUI KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA SKINROCK AG DARI SWITZERLAND

NES Security Door Marketing Sdn. Bhd. (NES), peneraju tempatan dalam pengeluaran pintu keselamatan berkualiti tinggi, terus memperkukuh posisi industrinya menerusi kerjasama strategik bersama syarikat teknologi venir batu semula jadi dari Switzerland, Skinrock AG. Kolaborasi ini dimeterai dalam satu majlis bersejarah sempena pelancaran kilang baharu NES di Klang.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh daya saing sektor pembuatan Malaysia, terutamanya dalam menghasilkan produk bernilai tinggi berasaskan inovasi dan estetika.

Kolaborasi bersama Skinrock syarikat yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pencipta venir batu semula jadi fleksibel akan membolehkan NES memperkenalkan rangkaian pintu keselamatan premium yang bukan sahaja kukuh dari segi struktur, malah unggul dari segi rekaan dan keunikan bahan.

Menurut pengasas Skinrock, Uelli Stiffler, pihaknya optimis dengan potensi kerjasama ini. “Kami teruja untuk menembusi pasaran Asia Tenggara dengan NES. Ini bukan sekadar peluang pasaran, tetapi satu langkah strategik memperluas aplikasi teknologi kami dalam industri binaan dan keselamatan rantau ini,” katanya.

Kilang baharu NES dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 800 kepada 2,000 unit sebulan. Langkah ini selaras dengan hala tuju syarikat untuk memperkukuh eksport, khususnya ke pasaran sasaran seperti Taiwan, Filipina dan Australia pada tahun ini, sebelum berkembang ke Amerika Utara, Asia Selatan dan Timur Tengah menjelang 2027.

Tahun lalu, industri pembuatan Malaysia mencatatkan nilai jualan RM1.9 trilion, dengan eksport menyumbang lebih 70% daripada jumlah tersebut. NES menyasarkan pertumbuhan tahunan sebanyak 20% dan menjangkakan pendapatan eksport mencecah RM45 juta menjelang 2027.

“Kami sedang membina lebih daripada sekadar produk. Kami mahu membina jenama bertaraf dunia,” kata pengasas NES, Dato’ Sri Dom Tee. “Perjanjian ini menjadi asas kepada impian kami untuk disenaraikan secara awam pada tahun 2028 dengan sasaran penilaian pasaran RM400 juta.”

Sebagai inisiatif awal, NES akan memperkenalkan siri eksklusif ‘NES x Skinrock’ – koleksi pintu keselamatan berasaskan venir batu semula jadi, termasuk edisi terhad kolaborasi dengan artis dan pereka tempatan serta antarabangsa melalui rangkaian ‘Master Craft’s Artist’.

Kerjasama ini membuktikan bahawa inovasi rentas negara boleh membuahkan produk berkelas dunia apabila digabungkan dengan kekuatan pembuatan tempatan. NES kini bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam arena global dengan identiti Malaysia yang kukuh.

Maklumat lanjut: https://nessecuritydoor.com.my