Band indie rock tempatan, Dukes, kembali memeriahkan pentas muzik Malaysia dengan single terbaru berjudul “Lagu Tiga”, sebuah karya emosional yang mengangkat tema kebangkitan dan kekuatan diri. Menampilkan Ziyyad (vokal), Rayyan dan Jimbo (gitar), Umar (bass), serta Cheng (dram), “Lagu Tiga” bukan sekadar lagu, tetapi representasi momen jujur dan tulus yang dizahirkan secara spontan oleh kumpulan ini.
Single ini menjadi pembuka tirai kepada album penuh baharu mereka yang dijangka menemui peminat tahun ini, sekali gus memberi bayangan kepada evolusi muzik Dukes yang lebih matang dan mendalam. Dengan susunan muzik indie rock minimalis yang mengusik rasa dan lirik yang ditulis oleh Ziyyad Imran bersama Hazim Osman, “Lagu Tiga” menyampaikan mesej bahawa di sebalik setiap kegagalan, masih ada harapan untuk bangkit semula.
Menurut Dukes, proses kreatif “Lagu Tiga” bermula tanpa sebarang skrip atau tekanan. “Semuanya bermula daripada sesi jamming biasa. Melodi, vibe dan emosi muncul secara semula jadi. Kami tak cuba paksa apa-apa – dan mungkin sebab itu lagu ini rasa sangat dekat di hati kami,” kongsi mereka tentang detik kelahiran lagu ini yang lahir secara organik.
Lirik asal yang lahir daripada sesi tersebut hampir tidak diubah, kerana mereka mahu mengekalkan keaslian dan emosi yang lahir secara spontan. Inilah yang memberi “Lagu Tiga” sentuhan yang tulus, menjadikannya bukan sahaja mudah dirasai oleh pendengar, malah menyimpan makna peribadi buat para ahli band itu sendiri.
Proses mencipta lagu ini turut menuntut kepekaan tinggi terhadap imbangan antara muzik dan lirik. Dukes mengambil pendekatan penuh jujur agar setiap bait dan susunan bunyi mampu menyalurkan rasa dengan lebih tepat, menjadikan ia lebih daripada sekadar lagu tetapi juga satu pengalaman emosi yang menyentuh.
“Kami ingin pendengar tahu bahawa tidak mengapa untuk jatuh. Kadangkala masa untuk bangkit semula belum tiba, tapi ia tetap akan datang. Lagu ini adalah ingatan bahawa kekuatan itu ada dalam diri, menunggu saat yang sesuai untuk kembali,” jelas Dukes lagi.
“Lagu Tiga” menjadi simbol kepada fasa baru perjalanan Dukes sebagai band – lebih yakin, lebih jujur, dan lebih bersedia untuk mencabar batas ekspresi dalam muzik. Bagi peminat lama atau baharu, ini adalah titik mula yang mengujakan untuk menjelajahi dimensi baru dalam dunia muzik Dukes.
Ikuti perkembangan terkini Dukes melalui saluran rasmi Alternate Records & Talents:
📍 Facebook: Alternate Records & Talents
📸 Instagram: @alternate.my_
🎵 TikTok: @alternate.rt_