Dunia perisik rahsia kembali digegarkan! Ejen muda kegemaran ramai, Ejen Ali, kini kembali meneruskan misinya dalam filem sekuel penuh aksi – Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). Filem animasi 3D yang paling dinantikan tahun ini membuka tirai secara rasmi malam ini menerusi tayangan perdana eksklusif di IOI City Mall, Putrajaya, sekaligus menandakan kebangkitan semula francais animasi tempatan paling berjaya ke layar perak.
Dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 22 Mei 2025, EATM2 menjanjikan skala aksi yang lebih hebat, teknologi yang lebih canggih, serta naratif yang lebih emosional dan menyentuh jiwa. Francais Ejen Ali yang bermula di TV3 pada 2016 kini telah berkembang menjadi IP bertaraf global, dengan tayangan meluas di lebih 65 negara. Filem pertamanya yang ditayangkan pada 2019 telah mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kutipan melebihi RM30 juta di pawagam dan platform digital.
Dalam Ejen Ali The Movie 2, penonton dibawa semula ke dunia futuristik Cyberaya. Ali, seorang budak lelaki biasa yang secara tidak sengaja direkrut ke agensi rahsia MATA, kini ditugaskan untuk mengetuai misi berisiko tinggi sebagai ejen terpilih di bawah program elit SATRIA – dilengkapi sut berteknologi AI terkini. Namun, keadaan menjadi rumit apabila Ali terpaksa bekerjasama dengan Rizwan bagi menjejak dalang misteri di sebalik siri ancaman baharu, sementara berdepan dengan kemunculan semula musuh lamanya, Neonimus, yang membawa agenda tersendiri.
Menurut Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, “Ejen Ali The Movie 2 mencerminkan kekuatan dan kreativiti anak tempatan. Kami berbangga dengan pencapaian francais ini dan percaya ia mampu melangkah lebih jauh, mengangkat nama Malaysia di persada animasi antarabangsa.”
Bagi Usamah Zaid Yasin, Pengarah filem dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, pembikinan filem ini adalah hasil dedikasi bertahun-tahun. “Sejak pengumuman awal filem ini sebelum pandemik, peminat tidak pernah berhenti memberikan sokongan. Kami berterima kasih atas kesetiaan mereka, dan percaya filem ini akan menyentuh emosi serta menghidupkan kembali semangat Ejen Ali yang mereka cintai.”
Elemen muzik memainkan peranan penting dalam memperkuat impak naratif EATM2. Filem ini menampilkan runut bunyi mengesankan seperti Hanya Kamu nyanyian Dato’ M. Nasir, Teman Sejati oleh Nidji, dan Penjuara dari Hael Husaini. Lagu-lagu ini bukan sahaja memperkayakan cerita, malah memberikan identiti tersendiri kepada watak-watak serta momen penting dalam filem.
Tayangan perdana turut menyaksikan sambutan luar biasa daripada peminat dan rakan industri. Persembahan tarian penuh tenaga diiringi lagu Penjuara, gimik mengejutkan serta penampilan khas Dato’ M. Nasir yang menyampaikan Hanya Kamu secara langsung, berjaya menghidupkan suasana malam penuh emosi. Turut mencuri perhatian ialah kemunculan semula lagu ikonik Mamak Maju menerusi flash mob bertenaga – membangkitkan nostalgia dan keterujaan penonton.
Sambutan terhadap filem ini sangat luar biasa. Tayangan pratonton khas di sembilan lokasi GSC seluruh negara habis terjual dalam masa singkat. Jualan tiket awal kini dibuka di lebih 70 pawagam, menjelang musim cuti sekolah yang bakal memeriahkan lagi tontonan keluarga. Peminat juga boleh mendapatkan barangan eksklusif seperti figurine tumblers SATRIA & Ali edisi terhad, peranti interaktif IRIS, serta koleksi bucket popcorn bertemakan watak ikonik filem ini.
Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. Filem ini bukan sahaja menjanjikan hiburan penuh aksi, tetapi turut mengetengahkan nilai keberanian, setia kawan dan perjuangan – sesuai ditonton oleh semua peringkat usia.
Sahut panggilan misi! Tonton Ejen Ali The Movie 2 di pawagam bermula 22 Mei 2025 dan lengkapkan misi anda dengan mengikuti kandungan eksklusif serta kemas kini terkini melalui YouTube rasmi Ejen Ali dan media sosial Primeworks Studios.