Malam Gemilang AIM24 Dimeriahkan Artis Ternama

Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) terus memperkukuhkan reputasinya sebagai acara muzik paling berprestij di tanah air apabila mengumumkan senarai barisan penghibur, pasangan hos serta penyampai trofi yang bakal memeriahkan malam kemuncak pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands.

Sherry Al-Hadad dan Alif Satar sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudikan acara besar itu. Gandingan mereka yang sebelum ini mendapat pujian kerana keserasian dan kelancaran mengendalikan pentas dijangka akan mengekalkan momentum serta menjadikan AIM24 lebih meriah.

Persembahan daripada barisan artis ternama turut dinantikan dengan kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Exists, Shila Amzah, Ernie Zakri, Black Hanifah, Ara Johari, Masdo dan ramai lagi yang bakal menggegarkan pentas dengan persembahan istimewa. Kehadiran Dolla pula menjadi tumpuan kerana bakal bergandingan dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii, sekali gus membuktikan bahawa AIM24 memberi ruang kepada kolaborasi rentas negara.

Ernie Zakri juga akan tampil dengan persembahan istimewa bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia, menambahkan lagi nilai antarabangsa pada malam berprestij itu. AIM24 kali ini turut meraikan artis baharu dengan memberikan peluang kepada finalis kategori Artis Baru Terbaik untuk mempersembahkan bakat masing-masing di pentas utama.

Selain itu, pemenang 11 kategori terpilih bakal membawa pulang dana berjumlah RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif yang diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi. Anugerah Album Terbaik menawarkan ganjaran RM200,000 manakala kategori lain seperti Lagu Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik serta Artis Baru Terbaik masing-masing akan menerima dana RM50,000.

Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim berkata, pemilihan barisan hos, artis dan penyampai dibuat berdasarkan kemampuan mereka yang konsisten dalam industri serta sejajar dengan tema AIM24, “Kemuncak Segala-Galanya”.

AIM24 yang mempertandingkan 30 kategori keseluruhan termasuk empat kategori baharu akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV2 dan portal RTM Klik bermula jam 9 malam dengan acara karpet merah seawal jam 8 malam.