Tag: #AIM24

  • AIM24 Bawa Pembaharuan dengan Anugerah Lagu Paling Tinggi Distrim & Kepentingan ISRC

    Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan mengenai kategori anugerah ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24). Menurut RIM, pemenang bagi kategori ini ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman yang dibekalkan kepada pihak mereka oleh penyedia data pihak ketiga melalui proses automatik tanpa sebarang campur tangan manual.

    RIM turut menjelaskan mengenai kedudukan lagu “Old Love” nyanyian Yuji dan Putri Dahlia yang tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM, iaitu carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia. Keadaan ini berlaku disebabkan isu teknikal berkaitan pendaftaran kod ISRC bagi lagu berkenaan.

    ISRC atau International Standard Recording Code merupakan pengenal pasti unik dan kekal bagi setiap rakaman bunyi serta rakaman video muzik yang diterbitkan. Ia berfungsi sebagai cap jari digital yang membolehkan penjejakan jualan, penstriman dan royalti dilaksanakan dengan tepat merentasi pelbagai perkhidmatan serta platform di seluruh dunia. Bagi memastikan sesebuah lagu dapat dikenal pasti sebagai keluaran tempatan Malaysia dalam Carta Domestik RIM, ISRC yang didaftarkan perlu bermula dengan awalan negara “MY”. Tag ini digunakan bagi membolehkan sistem automatik mengklasifikasikan rakaman tersebut sebagai sebahagian daripada hasil rakaman tempatan.

    Dalam kes lagu “Old Love”, pendaftaran dilakukan dengan tiga ISRC berbeza yang bermula dengan awalan luar negara seperti SE, TL dan QZ, bukannya MY. Akibatnya, sistem automatik tidak dapat mengenal pasti lagu tersebut sebagai rakaman tempatan Malaysia. Hal ini menjelaskan mengapa walaupun “Old Love” mencapai jumlah strim yang tinggi, ia tidak diambil kira dalam Carta Domestik RIM dan seterusnya tidak layak dipertimbangkan dalam kategori AIM24 ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’.

    RIM mengambil maklum terhadap isu ini dan menegaskan kepentingan mendaftarkan ISRC melalui RIM bagi semua rakaman muzik yang diterbitkan di Malaysia. Langkah tersebut amat penting bagi memastikan artis serta penerbit tempatan menerima pengiktirafan sewajarnya dalam carta rasmi industri muzik dan juga dalam pertimbangan anugerah.

    RIM turut menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri muzik termasuk label, pengedar dan artis bebas untuk bekerjasama dengan RIM dalam memastikan pendaftaran kod ISRC menggunakan awalan negara “MY” bagi semua rakaman tempatan. Tindakan ini bukan sahaja akan mengelakkan isu seumpamanya berulang pada masa hadapan, malah turut menjamin penonjolan karya muzik serta bakat artis Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

  • Universal Music Malaysia Rangkul 10 Trofi di AIM24

    Universal Music Malaysia (UM) sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam industri muzik tanah air apabila mendominasi Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan meraih 10 trofi hasil kerjasama bersama Faithful Music. Pencapaian ini terus mengekalkan status UM sebagai syarikat rakaman nombor satu di Malaysia.

    Antara kemenangan besar yang dicatat termasuk kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu Masing-Masing dendangan Ernie Zakri dan Ade Govinda, Kulit Single atau Album Terbaik yang dimenangi oleh Iman melalui karya Irfan Ramos, Rakaman Lagu Terbaik untuk Aura hasil sentuhan John Jeeves, Album Terbaik menerusi Belagu II terbitan Aubrey Suwito dan diedarkan oleh UM serta Lagu Paling Tinggi Distrim yang juga diraih oleh Masing-Masing.

    Lebih manis, album Belagu II yang dipersembahkan oleh Dayang Nurfaizah turut menerima penghargaan utama iaitu Dana Kandungan Digital bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. Album ini merupakan hasil kerjasama erat bersama UM, menjadikannya antara sorotan penting malam berprestij tersebut.

    Malam AIM24 juga mencatat momen istimewa apabila Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menerima pengiktirafan tertinggi, Anugerah Sri Wirama, atas sumbangan gemilang beliau sepanjang lebih 30 tahun berkarya dalam dunia muzik. Siti yang juga rakan kerjasama UM menerusi syarikat miliknya SN Legacy terus menjadi ikon unggul dalam arena seni.

    Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, kejayaan ini adalah bukti komitmen syarikat dalam mengangkat bakat tempatan ke persada antarabangsa. Beliau menegaskan bahawa setiap kemenangan mencerminkan dedikasi seluruh pasukan dalam membentuk dan mengembangkan bakat seni yang mampu bersaing di peringkat global.

    Ernie Zakri yang membawa pulang dua anugerah AIM24 turut meluahkan rasa syukur. Katanya, kemenangan bagi lagu Masing-Masing dan album Aura bukan hanya miliknya tetapi hasil usaha seluruh pasukan kreatif. Beliau percaya pencapaian ini membuktikan muzik Malaysia berpotensi untuk terus diterima di rantau Asia Tenggara.

    Selain kejayaan besar, AIM24 turut diserikan dengan persembahan hebat daripada artis UM dari Malaysia dan Nusantara. Antara yang mencuri perhatian ialah persembahan pembukaan DOLLA bersama Tobii dari Def Jam Thailand, kolaborasi Ernie Zakri bersama Anggi Marito dari Universal Music Indonesia serta persembahan penuh emosi Ernie dengan Ade Govinda dari MyMusic Records.

    Turut menjadi tumpuan ialah kejayaan Faizal Tahir yang membawa pulang empat anugerah menerusi lagu Campak Bintang bersama Datuk M Nasir bagi kategori Vokal Duo atau Kolaborasi Terbaik, Biar Satu Dunia Tahu bersama Mirwana untuk Lagu Nasyid Terbaik, Bendera bagi kategori Lagu Perpaduan Terbaik serta Santai yang mencatat hasilan video tertinggi di TikTok. Faizal dalam ucapannya menekankan bahawa muzik adalah amanah yang membawa mesej bermanfaat, sekali gus mengharapkan pencapaiannya mampu menjadi inspirasi buat generasi baharu pencipta muzik tempatan.

    AIM24 turut menjadi pentas bersejarah buat beberapa nama baharu yang pertama kali diraikan dengan kemenangan. Antara mereka ialah Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat. Pencapaian ini mengukuhkan AIM24 sebagai platform penting dalam mengiktiraf kepelbagaian bakat dan usaha generasi baharu serta penggiat muzik mapan yang terus memberi warna kepada industri hiburan tanah air.

  • Malam Gemilang AIM24 Dimeriahkan Artis Ternama

    Malam Gemilang AIM24 Dimeriahkan Artis Ternama

    Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) terus memperkukuhkan reputasinya sebagai acara muzik paling berprestij di tanah air apabila mengumumkan senarai barisan penghibur, pasangan hos serta penyampai trofi yang bakal memeriahkan malam kemuncak pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands.

    Sherry Al-Hadad dan Alif Satar sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudikan acara besar itu. Gandingan mereka yang sebelum ini mendapat pujian kerana keserasian dan kelancaran mengendalikan pentas dijangka akan mengekalkan momentum serta menjadikan AIM24 lebih meriah.

    Persembahan daripada barisan artis ternama turut dinantikan dengan kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Exists, Shila Amzah, Ernie Zakri, Black Hanifah, Ara Johari, Masdo dan ramai lagi yang bakal menggegarkan pentas dengan persembahan istimewa. Kehadiran Dolla pula menjadi tumpuan kerana bakal bergandingan dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii, sekali gus membuktikan bahawa AIM24 memberi ruang kepada kolaborasi rentas negara.

    Ernie Zakri juga akan tampil dengan persembahan istimewa bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia, menambahkan lagi nilai antarabangsa pada malam berprestij itu. AIM24 kali ini turut meraikan artis baharu dengan memberikan peluang kepada finalis kategori Artis Baru Terbaik untuk mempersembahkan bakat masing-masing di pentas utama.

    Selain itu, pemenang 11 kategori terpilih bakal membawa pulang dana berjumlah RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif yang diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi. Anugerah Album Terbaik menawarkan ganjaran RM200,000 manakala kategori lain seperti Lagu Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik serta Artis Baru Terbaik masing-masing akan menerima dana RM50,000.

    Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim berkata, pemilihan barisan hos, artis dan penyampai dibuat berdasarkan kemampuan mereka yang konsisten dalam industri serta sejajar dengan tema AIM24, “Kemuncak Segala-Galanya”.

    AIM24 yang mempertandingkan 30 kategori keseluruhan termasuk empat kategori baharu akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV2 dan portal RTM Klik bermula jam 9 malam dengan acara karpet merah seawal jam 8 malam.

  • AIM24: RIM Dedah Senarai 5 Finalis Bagi Setiap 26 Kategori

    AIM24: RIM Dedah Senarai 5 Finalis Bagi Setiap 26 Kategori

    Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G dengan sokongan Kementerian Komunikasi kini melangkah ke fasa yang lebih mendebarkan apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan senarai lima finalis bagi 26 kategori yang dipertandingkan.

    Lebih menarik, AIM24 turut menawarkan ganjaran bernilai RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi yang disalurkan melalui MyCreative Ventures (MyCV). Dana ini akan diberikan kepada pemenang dalam 11 kategori terpilih, termasuk RM200,000 untuk pemenang Album Terbaik serta RM50,000 untuk kategori seperti Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

    Sidang media yang berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur itu dipengerusikan oleh Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim. Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 130 finalis telah dipilih hasil penjurian telus oleh panel juri profesional. Keseluruhan permarkahan telah diaudit oleh firma Mazars, manakala urus tadbir penjurian dijalankan oleh Macomm Management Services Sdn. Bhd. Panel juri terdiri daripada penggiat industri muzik tempatan berpengalaman luas seperti komposer, penulis lirik, penyanyi, penerbit, guru vokal, pengarah video dan pakar teknikal muzik. Penjurian diketuai oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail sebagai Ketua Juri.

    Menurut Rosmin, senarai lima finalis ini menggabungkan bakat baharu yang sedang meningkat naik serta nama-nama besar dalam industri muzik tempatan. Beliau yakin dengan sokongan dana daripada MyCV, pemenang AIM24 akan mampu menghasilkan lebih banyak karya berkualiti yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

    Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Puan Noreen Iszani Yusak, Ketua Bahagian Jenama, Media dan Pemasaran Digital Samsung Malaysia Electronics, Puan Agnes Wong, serta barisan wakil penaja dan rakan strategik.

    Sebanyak 682 pencalonan diterima untuk AIM24 berdasarkan karya muzik yang diterbitkan dalam tempoh 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Penjurian awal telah dilaksanakan pada Julai lalu melibatkan kategori Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik serta kategori lain di Hotel Majestic Kuala Lumpur dan Timeless Studio.

    Malam kemuncak AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada Sabtu, 13 September 2025 bermula jam 9 malam, dengan siaran langsung eksklusif oleh RTM menerusi TV2 dan RTM Klik. Acara karpet merah akan bermula sejam lebih awal pada jam 8 malam. Sebelum itu, Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025 akan menyaksikan pengumuman enam kategori iaitu Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Paling Tinggi Distrim dan Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube.

    Secara keseluruhan, AIM24 mempertandingkan 30 kategori termasuk empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik. Acara kali ini turut mendapat tajaan Resorts World Genting sebagai Lokasi Rasmi serta sokongan rakan strategik seperti Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd. dan Timeless Studio.

    Sejak pertama kali dianjurkan pada 1993, AIM terus menjadi platform berprestij yang mengiktiraf pencapaian terbaik dalam industri muzik tanah air. Tahun ini, dengan penambahan kategori baharu dan sokongan dana kreatif, AIM24 dijangka menjadi edisi paling bersejarah dalam perjalanan industri muzik Malaysia.