Legenda Pop Rock Dunia, MLTR Siap Temui Malaysia Semula November Ini

Kumpulan pop rock tersohor dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) yang terdiri daripada Jascha Richter selaku vokalis, Mikkel Lentz sebagai pemain gitar dan Kåre Wanscher di posisi dram, bakal kembali menemui peminat Malaysia menerusi konsert utama mereka yang dinanti-nantikan. Konsert bertajuk Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia akan berlangsung pada 9 November 2025 (Ahad), jam 6 petang bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Penganjuran kali ini merupakan kesinambungan daripada sambutan hangat yang diterima MLTR setiap kali mereka beraksi di tanah air. Diterajui oleh MMIC Entertainment Group selaku penganjur bersama JS Concert Productions sebagai Promoter, konsert ini dijangka mengubat rindu para peminat yang telah mengikuti perjalanan seni MLTR sejak dekad 90-an.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1988, MLTR telah menjadi salah satu kumpulan yang paling konsisten dalam dunia muzik pop rock, mengumpul lebih 11 juta album terjual dan 1.5 bilion penstriman di seluruh dunia. Mereka juga telah mengadakan hampir 1,000 persembahan langsung di pelbagai negara dan meraih pelbagai anugerah emas serta platinum atas kejayaan lagu-lagu mereka. Antara karya ikonik yang sentiasa menambat hati pendengar termasuk “Take Me To Your Heart”, “Paint My Love”, “25 Minutes”, “Sleeping Child” dan “That’s Why (You Go Away)”. Lagu-lagu ini bukan sekadar memori, tetapi turut menjadi pengikat emosi antara generasi peminat dengan kumpulan ini.

Konsert kali ini turut memperlihatkan perkembangan signifikan MLTR dalam karier seni mereka. Daripada persembahan di lokasi-lokasi kecil pada awal kemunculan, kini mereka mampu menarik ribuan peminat ke lokasi berskala besar seperti Arena of Stars bukti bahawa populariti dan kehadiran mereka dalam industri masih kukuh dan relevan.

Tiket bagi menyaksikan konsert ini akan mula dijual menerusi dua fasa. Pra-jualan khusus untuk ahli Genting Rewards akan dibuka pada 4 Ogos 2025, jam 12 tengah hari melalui laman web rwgenting.com. Manakala jualan umum pula akan bermula pada 8 Ogos 2025, juga pada jam 12 tengah hari, menerusi platform rasmi etix.my, rwgenting.com dan trip.com. Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori bermula daripada RM188 hingga RM988, tidak termasuk yuran pemprosesan RM4.

Menariknya, pembeli tiket bagi kategori Zon MLTR dan VIP turut berpeluang menikmati faedah istimewa seperti peluang bergambar bersama ahli kumpulan MLTR. Antara pengalaman eksklusif yang ditawarkan termasuk sesi foto peribadi dan foto berkumpulan, terhad kepada sejumlah pemenang bertuah yang akan dipilih.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mengikuti sebarang perkembangan terkini berkaitan konsert ini, peminat disarankan untuk mengikuti saluran rasmi MMIC Entertainment Group di Facebook dan Instagram, serta laman rasmi JS Concert Productions.

Michael Learns To Rock bukan sekadar nama dalam sejarah muzik pop rock dunia, tetapi sebuah fenomena yang terus hidup dalam jiwa pendengar. November ini, bersedialah untuk malam yang penuh dengan emosi, nostalgia dan magis dari kumpulan yang telah mencorakkan band muzik kita selama lebih tiga dekad.