Latihan Pestapora Malaysia 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh warna selepas berlangsung selama 12 jam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026. Edisi kedua acara muzik ini menghimpunkan peminat dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah perayaan yang meraikan kepelbagaian muzik serta hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Dianjurkan bersama oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, Latihan Pestapora Malaysia 2026 tampil dengan skala yang lebih menyeluruh menerusi barisan 19 artis daripada pelbagai genre termasuk pop, rock, indie, ska, R&B dan muzik nostalgia.
Lebih daripada sekadar festival muzik, acara ini terus memainkan peranan sebagai platform yang mempertemukan artis, peminat dan komuniti muzik Malaysia serta Indonesia dalam satu ruang yang sama.
Antara detik paling dinanti-nantikan ialah penampilan sulung Last Child di Malaysia. Kumpulan pop-punk alternatif dari Indonesia itu menerima sambutan hangat daripada peminat menerusi lagu-lagu popular seperti “Duka”, “Seluruh Nafas Ini” dan “Sekuat Hatimu”.
Nyanyian bersama daripada ribuan penonton menjadi antara momen paling berkesan sepanjang persembahan, sekali gus memperlihatkan sejauh mana karya muzik Indonesia mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik Malaysia.

Latihan Pestapora Malaysia 2026 turut menampilkan gabungan artis popular, nama berpengalaman serta bakat generasi baharu dari kedua-dua negara. Antara artis yang membuat persembahan ialah Tulus, Tipe-X, Ruffedge, Romantic Echoes, Mahalini, Lah Ahmad, Juicy Luicy, Insomniacks, FUGŌ, Disko Santan & Friends dan Bernadya.
Kepelbagaian barisan artis memberikan pengalaman muzik yang dinamik sepanjang festival, dengan setiap persembahan membawa identiti tersendiri serta menarik kelompok peminat yang berbeza.
Salah satu tarikan utama edisi kali ini ialah tiga persembahan kolaborasi khas yang direka khusus untuk Latihan Pestapora Malaysia 2026.
Antara kolaborasi tersebut ialah Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials, Nadhif Basalamah bersama Aziz Harun dan Aisha Retno, serta Masdo bersama Gerhana Skacinta.

Gabungan artis daripada generasi, genre dan latar muzik berbeza itu menghasilkan momen istimewa di atas pentas, selain memperlihatkan bagaimana muzik Malaysia dan Indonesia boleh digabungkan dalam interpretasi baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata penganjuran edisi kedua membawa makna penting dalam usaha membina sebuah festival serantau yang mampu berkembang bersama artis dan peminatnya.
Menurut beliau, sokongan daripada peminat Malaysia dan Indonesia menjadi antara perkara utama yang mendorong pihak penganjur untuk terus mengembangkan Latihan Pestapora Malaysia.
Kerjasama bersama Boss Creator juga memberi ruang kepada pihak penganjur untuk meneroka lebih banyak idea, kolaborasi serta peluang baharu kepada artis dari kedua-dua negara.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, berkata setiap penganjuran menjadi satu proses pembelajaran bagi pasukan dalam usaha membina pengalaman festival yang lebih baik.
Beliau menjelaskan bahawa maklum balas yang diterima selepas edisi pertama telah diambil kira dalam perancangan tahun ini, memandangkan pengalaman festival bukan hanya bergantung kepada barisan artis di atas pentas tetapi turut merangkumi keseluruhan perjalanan pengunjung sepanjang acara.
Menurutnya, setiap komen dan pandangan daripada peminat akan terus digunakan sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan untuk edisi akan datang.
Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, pula berkata sambutan terhadap Latihan Pestapora Malaysia memperlihatkan hubungan yang kukuh antara komuniti muzik Malaysia dan Indonesia.
Beliau turut melihat festival ini sebagai ruang untuk memperkenalkan artis Malaysia dengan lebih dekat kepada komuniti muzik Indonesia, selain membawa lebih ramai artis Indonesia untuk bertemu peminat mereka di Malaysia.
Kolaborasi antara artis kedua-dua negara juga dilihat sebagai antara elemen penting yang boleh terus dikembangkan bagi menghasilkan karya dan persembahan baharu.
Selain persembahan muzik, pengunjung Latihan Pestapora Malaysia 2026 turut menikmati pengalaman festival menerusi lebih 20 vendor makanan dan minuman, ruang bergambar interaktif serta zon Music is Universal di Universal Music Corner.
Pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang acara memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati festival bukan hanya melalui persembahan di atas pentas, tetapi juga menerusi komuniti, makanan, aktiviti dan pengalaman bersama rakan-rakan.
Latihan Pestapora Malaysia 2026 dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator bersama Perbadanan Stadium Malaysia sebagai Rakan Lokasi, Warrior sebagai Rakan Minuman, Sunway Putra Hotel sebagai Rakan Hotel, Malaysia Airlines sebagai Rakan Travel dan D’Mart Travel & Tours sebagai Rakan Pengangkutan.
Acara ini turut disokong oleh ERA FM, HITZ FM, MIX FM, SINAR FM dan THR GEGAR sebagai Rakan Radio, manakala Astro Gempak, MeleTOP, World of Buzz dan KL Foodie bertindak sebagai Rakan Media dengan sokongan Visit Malaysia 2026.
Dengan gabungan artis daripada dua negara, persembahan kolaborasi istimewa serta pengalaman festival yang lebih menyeluruh, Latihan Pestapora Malaysia 2026 sekali lagi membuktikan bahawa muzik mampu menjadi jambatan yang menghubungkan peminat dan komuniti kreatif Malaysia serta Indonesia.
